Singapura, Chile, dan New Zealand telah memulakan rundingan untuk perjanjian perdagangan hijau yang akan melibatkan kerjasama dalam bidang seperti bahan api penerbangan lestari, kredit karbon, dan sijil tenaga boleh diperbaharui.
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, Presiden Chile, Encik Gabriel Boric dan Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon mengumumkan perkara itu pada 31 Oktober di luar Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Gyeongju, Korea Selatan.
Berucap pada majlis pelancaran di Hotel Sono Calm Gyeongju, Encik Wong berkata perjanjian ini akan memodenkan dasar perdagangan dan pelaburan bagi menyokong aliran barangan dan perkhidmatan berkaitan alam sekitar, lapor The Straits Times (ST).
“Matlamat kami adalah untuk menetapkan peraturan dan piawaian bersama supaya terdapat keselarasan dan asas yang kukuh dalam usaha yang dijalankan,” katanya.
Dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Hijau (Gepa), perjanjian ini akan membuka peluang baru dalam ekonomi hijau untuk syarikat serta mewujudkan pekerjaan yang baik dalam sektor tersebut.
Ia juga akan mengurangkan halangan perdagangan sambil mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi hijau, tambahnya.
Antara bidang kerjasama lain yang dibincangkan termasuk langkah berkaitan iklim dalam perdagangan, yang menurut Encik Wong, boleh diselaraskan dengan lebih baik supaya tidak menjejas aliran perdagangan.
Beliau berkata sebelum ini, pertumbuhan ekonomi dan kemampanan sering dianggap sebagai matlamat yang bercanggah, namun kemajuan teknologi membuktikan kedua-duanya boleh saling melengkapi.
“Perdagangan boleh menjadi pemangkin kepada peralihan hijau kita bersama, dengan memudahkan aliran rentas sempadan barangan, perkhidmatan, teknologi dan pembiayaan yang menyokong usaha ini,” katanya.
Perjanjian untuk memulakan rundingan itu ditandatangani Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura, Cik Grace Fu; Menteri Luar Negeri Chile, Encik Alberto van Klaveren; dan Menteri Perdagangan dan Pelaburan New Zealand, Encik Todd McClay.
Upacara menandatangani itu disaksikan oleh Encik Wong, Encik Boric dan Encik Luxon.
Encik Wong berkata Singapura berbesar hati dapat bekerjasama dengan Chile dan New Zealand dalam usaha ini.
“Kami mungkin tiga negara kecil, tetapi kami mempunyai rekod kejayaan dalam merintis perjanjian inovatif bersama,” katanya.
Ketiga-tiga negara ini, bersama Brunei, pernah memulakan Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik yang kemudian berkembang menjadi Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP). Mereka juga memulakan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital (Depa), katanya.
CPTPP, yang merupakan perjanjian perdagangan bebas pertama kali ditandatangani pada 2018, kini mempunyai 12 anggota termasuk Jepun, United Kingdom, Canada dan Mexico. Depa, yang memudahkan perdagangan digital, ditandatangani pada 2020.
Korea Selatan menyertai sebagai anggota keempat pada 2024, manakala China dan sembilan ekonomi lain turut menunjukkan minat untuk menyertai.
Kededua perjanjian itu terus menarik minat negara lain – menunjukkan nilainya, kata Encik Wong.
Ketiga-tiga pemimpin turut berkongsi matlamat bersama dalam membentuk perjanjian tersebut. Encik Boric berkata ketiga-tiga negara berkongsi nilai dan pandangan yang sehaluan.
Beliau menambah Chile telah mempromosikan pelbagai inisiatif untuk mengembangkan ekonomi hijau, dan kini 70 peratus tenaga elektriknya datang daripada sumber yang lebih bersih.
Encik Luxon menekankan pendekatan bersama ketiga-tiga negara terhadap perdagangan global dan menyatakan pelancaran rundingan ini pada 2025 amat bertepatan dengan hubungan dua hala New Zealand, Singapura, dan Chile.
Pada awal Oktober, Singapura dan New Zealand telah menaik taraf hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Perjanjian baru ini didorong oleh pengiktirafan bahawa dunia kini beralih ke arah ekonomi yang lebih mampan dan hijau, yang membawa cabaran dan peluang ekonomi besar untuk kita semua,” kata Encik Luxon.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg