GYEONGJU, Korea Selatan: Sidang Puncal Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2025 bermula pada 31 Oktober dengan tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi, memelihara perdagangan bebas, dan mengurangkan sekatan unilateral yang semakin meningkat di rantau ini.
Perhimpunan dua hari itu menghimpunkan 21 pemimpin ekonomi anggota Apec, wakil negara tetamu serta organisasi antarabangsa bagi membincangkan langkah memperkukuh integrasi ekonomi serantau di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Antara pemimpin yang hadir ialah Presiden China, Encik Xi Jinping dan Perdana Menteri Jepun Cik Sanae Takaichi, manakala Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump tidak menyertai sesi utama selepas menghadiri forum perniagaan dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan Encik Lee Jae Myung serta Xi sebelum berlepas pulang ke Washington.
Dalam ucapan pembukaannya, Presiden Xi menyeru negara anggota Apec untuk bersatu mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala dan menolak sebarang bentuk proteksionisme ekonomi.
“Perubahan besar sedang berlaku di seluruh dunia perubahan yang belum pernah dilihat dalam satu abad,” kata Encik Xi. “Apabila ombak ekonomi global semakin bergelora, kita harus berpaut lebih erat antara satu sama lain. Inilah masanya untuk memperkukuh kerjasama, bukan bersaing,” tambahnya.
Encik Xi turut membentangkan lima cadangan utama bagi mewujudkan globalisasi ekonomi yang inklusif dan saling menguntungkan. Cadangan itu termasuk mengekalkan kestabilan rantaian bekalan antarabangsa, memperkukuh keterbukaan serantau serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk semua.
Langkah Encik Xi itu dibuat selepas beliau mencapai gencatan dagang rapuh dengan Presiden Trump, yang bersetuju menghentikan sekatan terhadap eksport bahan nadir bumi China - bahan penting dalam industri teknologi global.
Sebagai tuan rumah, Presiden Korea Selatan Encik Lee Jae Myung menyeru kerjasama lebih erat dalam kalangan negara anggota Apec untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan perubahan landskap perdagangan antarabangsa.
“Kita kini berada di titik perubahan yang kritikal dalam sistem perdagangan bebas dunia,” ujar Encik Lee. “Ketidaktentuan global semakin meningkat, momentum perdagangan dan pelaburan semakin lemah. Namun jalan menuju masa depan yang lebih baik hanya boleh dicapai melalui solidariti dan kerjasama,” katanya.
Dalam ucapan alu-aluan di sesi pembukaan bertema “Ke Arah Rantau yang Lebih Dihubungkan dan Berdaya Tahan”, Encik Lee menegaskan bahawa semangat kerjasama Apec mesti diperkukuh semula. “Kita tidak akan sentiasa berada di pihak yang sama, tetapi kita boleh berdiri bersama menuju matlamat kemakmuran bersama,” katanya.
Apec mewakili 50 peratus perdagangan global dan 61 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, menjadikannya platform penting bagi pertumbuhan ekonomi dan kestabilan rantau Asia Pasifik.
Pejabat Presiden Korea Selatan memaklumkan bahawa sidang kali ini menekankan tiga keutamaan utama iiaitu mengembalikan komitmen terhadap semangat kerjasama serantau;
mengukuhkan integrasi ekonomi Asia Pasifik, dan menyediakan langkah konkrit untuk menjadikan Apec forum ekonomi utama masa depan.
Korea Selatan berharap hasil sidang ini dapat dimuktamadkan melalui “Deklarasi Gyeongju”, yang akan menonjolkan komitmen bersama terhadap keterbukaan perdagangan, transformasi digital, dan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Sepanjang dua sesi perbincangan, para pemimpin dijangka menilai cadangan pegawai kanan Apec mengenai usaha memperkukuh rantaian bekalan global dan mempercepat peralihan digital sebagai tonggak utama pemulihan ekonomi pasca-pandemik dan pasca-konflik.
Walaupun semangat kerjasama terserlah, para penganalisis menjangkakan cabaran besar dalam mencapai konsensus bersama berhubung hala tuju perdagangan antarabangsa.
Perbezaan pandangan terhadap sistem perdagangan bebas berasaskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta isu sekatan unilateral yang dilaksanakan oleh beberapa ekonomi besar masih menjadi batu penghalang utama.
Menurut laporan Kementerian Luar Korea Selatan, kenyataan bersama menteri Apec hampir dimuktamadkan selepas rundingan intensif. “Kami sangat hampir mencapai persetujuan akhir,” kata Menteri Luar Cho Hyun kepada media. “Kami menjangkakan dokumen itu akan diterima pakai pada Sabtu (1 November) apabila pemimpin mengadakan sesi penutup.” Deklarasi pemimpin hanya boleh diluluskan jika mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua anggota.
Walaupun Presiden Trump tidak menghadiri sesi utama, Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent hadir sebagai wakil rasmi Washington. Dalam satu kenyataan ringkas, Encik Bessent menegaskan bahawa Amerika Syarikat tetap komited terhadap pertumbuhan ekonomi rantau ini. “Kami menyokong sistem perdagangan terbuka yang adil dan saling menguntungkan,” katanya.
Namun, ketidakhadiran Trump selepas hanya menghadiri forum perniagaan dilihat oleh beberapa pemerhati sebagai tanda bahawa Washington memberi keutamaan kepada perjanjian dua hala berbanding inisiatif serantau multilateralisme.
Di luar isu perdagangan, Apec turut memberi perhatian kepada cabaran ketidaksamaan ekonomi, perubahan iklim dan krisis tenaga, selain usaha mengurangkan jurang pembangunan antara ekonomi besar dan kecil di rantau ini.
Encik Lee dalam ucapannya turut menyentuh mengenai revolusi teknologi dipacu kecerdasan buatan (AI) yang membawa peluang dan risiko besar. “Teknologi AI boleh menjadi punca krisis, tetapi juga kunci peluang baharu. Pilihan kita akan menentukan arah masa depan,” katanya.
Encik Xi pula mengakhiri ucapannya dengan mesej optimistik: “Rantau Asia Pasifik pernah menjadi peneraju pertumbuhan global. Jika kita bersatu dan saling percaya, kita boleh memastikan masa depan yang makmur dan inklusif untuk semua.”
Sidang pincak Apec 2025 dijangka menutup tirainya pada 1 November ini dengan penerbitan Deklarasi Gyeongju, yang bakal menjadi simbol perpaduan rantau ini dalam menghadapi dunia yang semakin berpecah dan tidak menentu.- Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg