Singapura dan China telah memeterai 29 perjanjian dalam bidang perdagangan dan kewangan, sains dan teknologi, serta kesihatan awam pada akhir forum dua hala tertinggi kedua-dua negara pada 23 November.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang merupakan pengerusi bersama forum itu dengan Naib Perdana Menteri China, Encik Ding Xuexiang, menyaksikan pengumuman perjanjian dua hala berkenaan dalam satu majlis selepas mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC).

Encik Gan berkata skop perbincangan yang luas itu mencerminkan perkembangan berterusan dalam perkongsian kedua-dua negara.

Ciri utama yang membezakan hubungan Singapura-China selama ini adalah keupayaan untuk kekal relevan dan berpandangan jauh merentasi pelbagai peringkat pembangunan kedua-dua negara, kata Encik Gan dalam ucapan penutup.

“Meskipun keadaan berubah, kedua-dua pihak terus menyesuaikan diri, memanfaatkan kekuatan mereka yang saling melengkapi dan meneroka bidang kerjasama praktikal yang baharu,” tambahnya.

Singapura dan China bergilir-gilir menjadi tuan rumah bagi JCBC, yang kini memasuki edisi ke-22.

Rundingan tahun ini yang menyaksikan pemeteraian 29 perjanjian –  jumlah tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini – berlangsung selama lebih dua jam di hotel Shangri-La Singapore.

Pada 2025, JCBC yang diadakan di bandar raya Chongqing di barat daya China menghasilkan 27 perjanjian, manakala pada 2024, sebanyak 25 perjanjian dicapai di Singapura.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Mengulas lanjut mengenai perjanjian tahun ini, Encik Gan berkata kedua-dua pihak memperbaharui Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai perdagangan perkhidmatan yang akan membuka peluang kepada syarikat untuk bekerjasama.

Ia turut membolehkan pengguna memanfaatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan, penjagaan warga emas, khidmat profesional, guaman dan perkhidmatan lain.

Dalam bidang kewangan, beliau berkata rantaian sistem pembayaran pantas bagi pemindahan bayaran bernilai kecil – yang berpotensi merangsang perdagangan dan jumlah pelancong – sedang dalam perbincangan.

“Ini akan melengkapi rangkaian saluran pembayaran renminbi (yuan China) yang semakin berkembang antara kedua-dua negara, selain memudahkan rakyat dan perniagaan kita di Singapura mengakses pasaran China.”

Dalam bidang kesihatan awam, agensi dari kedua-dua negara menandatangani perjanjian baharu yang akan memudahkan proses pertukaran dan pembelajaran bersama, tambahnya.

Dalam ucapan penutupnya, Encik Ding berkata mesyuarat itu membuahkan hasil yang memberangsangkan, dengan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dalam pelbagai isu.

Beliau berkata kedua-dua negara perlu terus memperdalam dan meluaskan kerjasama praktikal merentasi semua sektor, termasuk dalam bidang baharu seperti inovasi sains dan teknologi, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) serta industri hijau.

Kedua-dua pihak juga harus terus memanfaatkan projek antara pemerintah yang sedia ada dan menjadikannya sebagai satu pemangkin, di samping terus memperluas pertukaran sesama rakyat, tambahnya.

“Saya harap jabatan masing-masing akan bekerjasama rapat bagi melaksanakan kata sepakat yang dicapai hari ini secara berkesan, sekali gus memajukan lagi kerjasama China-Singapura serta meraih pencapaian lebih besar,” kata Encik Ding.

“Saya menantikan peluang untuk mengalu-alukan kehadiran rakan sejawat dari Singapura ke China pada tahun hadapan (2027).”

Pegawai Singapura yang menghadiri JCBC termasuk Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; serta Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Encik Ding pula diiringi pegawai kanan China seperti Timbalan Ketua Setiausaha Majlis Negara, Encik Wang Yang; Naib Menteri Luar, Cik Hua Chunying; dan Duta Besar China ke Singapura, Encik Cao Zhongming.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti