Singapura dan China menyasarkan untuk memuktamadkan lebih 20 perjanjian dan inisiatif dalam pelbagai sektor di mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) yang akan datang, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 21 November.

“Kami menjangkakan lebih 20 hasil kerjasama dimuktamadkan, merangkumi pendigitalan perdagangan, penyepaduan kewangan serta penyelidikan dan inovasi dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan,” kata Encik Wong dalam ucapan pembukaan semasa bertemu Perdana Menteri China Encik Li Qiang di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai, Beijing, pada 21 November.

Naib Perdana Menteri China, Encik Ding Xuexiang, dijangka melawat Singapura bagi menghadiri mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) dari 22 November hingga 23 November.

JCBC merupakan mekanisme dua hala tertinggi bagi menilai kerjasama dan menetapkan hala tuju strategik hubungan Singapura-China.

Dalam pertemuannya dengan Encik Li pada 21 November, Encik Wong turut menyatakan bahawa keadaan dunia semakin tidak menentu dan rumit.

“Justeru, semakin penting bagi Singapura dan China untuk terus memperkukuh hubungan, menangani cabaran bersama dan mengenal pasti bidang kerjasama baharu,” katanya.

Encik Li berkata: “Sebagai negara jiran yang sekian lama menjalin hubungan persahabatan, China bersedia memperkukuh rundingan strategik dengan Singapura, memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang dan memajukan ‘Perkongsian Berorientasikan Masa Depan Bermutu Tinggi Secara Menyeluruh’ bagi mencapai lebih banyak hasil nyata dan terus meningkatkan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.”

Kededua pemimpin turut menghadiri Sidang Puncak Asean-China di Manila pada 16 November, apabila Encik Wong menyeru kerjasama lebih erat bagi memperkukuh keamanan dan kemantapan serantau, memperdalam penyepaduan ekonomi serta memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sementara itu, Encik Li menegaskan semula pendirian China untuk mendukung multilateralisme dan perdagangan bebas meskipun sekatan perdagangan antarabangsa semakin meningkat, serta menggesa Asean dan China memperluas kerjasama.

Selepas pertemuan dua hala itu, Encik Li meraikan Encik Wong dan delegasinya dalam majlis makan tengah hari di Diaoyutai.

Delegasi Singapura turut disertai Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann; Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Foo Cexiang, dan Anggota Parlimen (AP), Dr Hamid Razak.

Rumah Tetamu Negara Diaoyutai ialah kompleks diplomatik bersejarah di Beijing yang menerima kunjungan pemimpin dan pembesar asing sejak beberapa dekad lalu.

Dibina di tapak bekas tempat peristirahatan maharaja, kompleks itu digunakan untuk mesyuarat diplomatik peringkat tinggi sejak 1959.

Pertemuan itu berlangsung sehari selepas Encik Wong bertemu Presiden China Encik Xi Jinping di Shenzhen pada 20 November, apabila kedua-dua pemimpin menyeru kerjasama dua hala yang lebih erat di tengah-tengah ketidaktentuan dunia yang semakin meningkat.

Singapura dan China turut mengumumkan permulaan rundingan untuk mempertingkat lagi perjanjian perdagangan bebas antara kededua negara.

Encik Wong berada di Shenzhen bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada 19 November, yang dianjurkan Encik Xi.

Encik Wong turut bertemu Setiausaha Parti Komunis China bagi Beijing Encik Yin Li pada 20 November. Mereka kali terakhir bertemu ketika Encik Yin melawat Singapura pada Februari 2026.

Dalam hantaran media sosial, Encik Wong berkata Encik Yin telah memberi taklimat mengenai perubahan pesat Beijing, termasuk pembangunan Daerah Tongzhou dan rancangan mempererat penyepaduan wilayah Beijing-Tianjin-Hebei.

“Perkembangan ini membuka peluang kerjasama menarik dalam bidang teknologi, inovasi, pembangunan mampan dan pendidikan,” tulisnya di Facebook.