Singapura menggesa Israel untuk segera menghentikan rancangan peluasan petempatan di wilayah Tebing Barat, sambil mengulangi pendirian teguhnya bahawa pembinaan petempatan di kawasan itu menyalahi undang-undang antarabangsa, kata jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 24 Ogos.

Ia turut menyatakan bahawa cadangan pembinaan petempatan kediaman di kawasan E1, meliputi kira-kira 12 kilometer persegi antara Baitulmakdis Timur dengan petempatan Maale Adumim, akan memecahbelahkan lagi wilayah Tebing Barat.

Selain itu, projek tersebut secara langsung akan menjejas dengan teruk prospek ke arah penyelesaian dua negara yang berdaya maju.

“Singapura juga amat bimbang dengan peningkatan tindakan keganasan penduduk terhadap orang awam Palestin di Tebing Barat.

“Kami menyeru pemerintah Israel untuk mengambil tindakan tegas bagi mencegah keganasan sedemikian dan meminta mereka yang melakukan kesalahan itu agar dipertanggungjawabkan,” kata MFA.

Ia menambah bahwa penyelesaian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan, kekal sebagai satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk mencapai keamanan yang komprehensif, adil dan berkekalan.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari selepas beberapa kuasa Barat seperti Britain, Perancis, Jerman, Itali, dan Canada mengeluarkan satu kenyataan bersama pada 20 Ogos untuk mengecam keras projek petempatan Israel.

Israel dilaporkan telah membuka tender bagi pembinaan sekitar 1,234 unit rumah di kawasan E1, nama pentadbiran Israel untuk kawasan di Tebing Barat yang diduduki yang terletak di sebelah timur Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Kuasa Barat menyifatkan langkah tersebut sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima, terutamanya kerana pembinaan berkenaan dikhuatiri akan memisahkan bahagian utara dan selatan Tebing Barat, sekali gus memusnahkan prospek pembentukan sebuah negara Palestin yang bersambung dari segi geografi.