Perdana Menteri Greece, Encik Kyriakos Mitsotakis, mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bagi membincangkan usaha memperdalam kerjasama antara kededua negara di Istana pada 20 November.
Dalam satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 20 November, kedua-dua pemimpin membincangkan usaha bagi meluaskan kerjasama dalam bidang maritim, perdagangan dan keselamatan makanan.
Ini di samping pendigitilan dan pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pemerintah, peralihan sektor hijau dan perdagangan antarabangsa.
MFA menambah sebagai negara maritim, kedua-dua negara juga mengesahkan komitmen terhadap perdagangan bebas, memperkukuh kerjasama dua hala dan menegakkan undang-undang antarabangsa.
Encik Mitsotakis turut bertemu dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam sempena lawatan kerja beliau ke Singapura dari 20 hingga 22 November.
Semasa pertemuan dengan Tuan Presiden, kedua-dua pemimpin membincangkan isu berkaitan pembaharuan ekonomi dan pekerjaan, perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan serantau dan global.
Sehubungan itu, Encik Mitsotakis akan mengadakan lawatan ke ibu pejabat Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) di Hill Street pada 21 November.
Dalam lawatan itu, beliau akan mendengar taklimat dan bertukar pandangan mengenai transformasi digital dalam sektor awam dan strategi AI nasional masing-masing bagi kededua negara.
MFA berkata Encik Mitsotakis diiringi Menteri Tadbir Urus Digital dan AI, Encik Dimitris Papastergiou dan Menteri Negara, Penyelarasan Dasar Pemerintah, Encik Akis Skertsos, semasa lawatannya ke Singapura.
Ini merupakan pertemuan kedua Encik Mitsotakis dengan Perdana Menteri Singapura, menyusuli pertemuan beliau dengan mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sempena sidang kemuncak EU-Asean di Brussels, Belgium, pada Disember 2022.
Beliau akan turut menyertai Forum Ekonomi Baru Bloomberg, acara ekonomi terbesar di rantau ini yang berlangsung dari 19 hingga 21 November.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg