Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura hantar bantuan kemanusiaan keempat ke Gaza

Sejumlah 1,000 tan beras putih, 300 tan sardin dalam tin disumbang untuk rakyat Palestin di Jaluran Gaza
Jul 22, 2024 | 7:04 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (dua dari kiri), serta wakil bukan bermastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi (kiri), menyerahkan pakej kemanusiaan kepada Kuasa Usaha Amiriah Arab Bersatu (UAE), Cik Dhabia Jumaa Salem Al Mehairbi (dua dari kanan), dan Konsul Kehormat Republik Cyprus di Singapura, Encik Raja Bose (kanan), di Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 22 Julai.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (dua dari kiri), serta wakil bukan bermastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi (kiri), menyerahkan pakej kemanusiaan kepada Kuasa Usaha Amiriah Arab Bersatu (UAE), Cik Dhabia Jumaa Salem Al Mehairbi (dua dari kanan), dan Konsul Kehormat Republik Cyprus di Singapura, Encik Raja Bose (kanan), di Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 22 Julai. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Singapura menyampaikan bantuan kemanusiaan keempat dalam sembilan bulan untuk Gaza, yang mengandungi kira-kira 300 tan sardin halal dalam tin dan 1,000 tan beras putih.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang menyerahkan bantuan itu secara rasmi pada 22 Julai di Kementerian Ehwal Luar (MFA), menyatakan bantuan keempat itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Singapura untuk menyokong operasi bantuan kemanusiaan di Gaza.

“Konflik di Gaza kini memasuki bulan kesembilan. Rakyat Singapura sangat susah hati dan berduka atas situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza.

“Sejak bermulanya konflik, Singapura secara aktif menyokong usaha kemanusiaan di Gaza,” ujar Dr Balakrishnan.

Beliau mengatakan Singapura sedar akan kekurangan makanan yang menjadi kebimbangan di Gaza, lantas mereka memutuskan untuk memberikan bantuan kemanusiaan yang keempat ini.

Menurutnya, setakat ini Singapura telah menyumbang derma sebanyak lebih $17 juta untuk Gaza.

Ini termasuk $8.1 juta dana yang dikumpul oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), serta lebih $2 juta, yang turut dikumpul RLAF untuk Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Majlis penyampaian bantuan kemanusiaan pada 22 Julai itu turut dihadiri oleh wakil bukan bermastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi; Kuasa Usaha Amiriah Arab Bersatu (UAE), Cik Dhabia Jumaa Salem Al Mehairbi; dan Konsul Kehormat Republik Cyprus di Singapura, Encik Raja Bose.

Bantuan kemanusiaan kali ini merupakan hasil kerjasama Singapura dengan UAE dan Cyprus, dan bekalan akan dibawa melalui pengangkutan laut komersial dari Singapura ke Larnaca, Cyprus, sebelum dihantar ke Gaza.

Dr Balakrishnan menambah Singapura akan tetap bekerjasama dengan negara serantau supaya bantuan tiba kepada mereka yang memerlukan dengan pantas dan berkesan.

Beliau turut memuji usaha bantuan kemanusiaan yang telah dilakukan badan setempat seperti Yayasan Rahmatan Lil Alamin, Mercy Relief dan Palang Merah Singapura.

Singapura menghantar bantuan kemanusiaan pertamanya ke Gaza pada November 2023, apabila Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan) telah berangkat ke Kahirah, Mesir untuk menyerahkan sumbangan derma warga Singapura serta barangan kemanusiaan dari Palang Merah Singapura, seperti bekalan perubatan dan makanan, kit pembersihan kepada mangsa di Gaza.

Pada bulan itu juga, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah menghantar 10 tan bekalan kemanusiaan sebelum melakukan penghantaran bekalan makanan kedua sebanyak 20 tan, yang dibantu Kerajaan Jordan pada Mac 2024.

Selain daripada menghulurkan bantuan ini, Dr Balakrishnan juga mengharapkan gencatan senjata dapat dilaksanakan serta-merta di Gaza, supaya kesemua tebusan dapat dibebaskan dan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan kepada mangsa di Gaza.

“Dalam jangka panjang, penyelesaian menyeluruh, adil dan berpanjangan mesti ditemui untuk konflik Palestin-Israel.”

“Pendirian Singapura dalam isu penempatan Israel adalah jelas dan konsisten. Kami melihat petempatan Israel di Tebing Barat menyalahi undang-undang antarabangsa,” ujar Dr Balakrishnan, yang berpendapat petempatan yang dilakukan Israel ini menjadikan lebih sukar untuk mencapai penyelesaian dua negara.

Singapura secara konsisten telah mengundi untuk menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak petempatan Israel di Tebing Barat.

Ia juga telah mengundi untuk menyokong setiap resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menyeru Israel untuk membatalkan semua langkah sebelah pihak atau unilateral untuk menukar status Baitulmakdis.

“Kami akan terus mencari cara praktikal yang mana Singapura boleh terus membantu rakan-rakan Palestin kami dalam masa yang paling sukar ini,” ujar Dr Balakrishnan.

Dalam satu hantaran Facebook pada 22 Julai, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berterima kasih kepada penduduk Singapura atas kemurahan hati mereka.

Beliau, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menyatakan bahawa bantuan keempat itu melambangkan iltizam berterusan Singapura untuk membantu penduduk Palestin sambil menekankan keperluan mendesak untuk bantuan sampai kepada penduduk Gaza.

“Saya amat berterima kasih atas sokongan rakan kongsi kami, termasuk Mesir dan Jordan. Tanpa sokongan mereka, kami tidak akan dapat menghantar bekalan kepada orang awam yang terjejas,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg