Rakyat S’pura lega selamat tiba di tanah air sedang peperangan berlarutan di Timur Tengah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat S’pura lega selamat tiba di tanah air sedang peperangan berlarutan di Timur Tengah

Mar 8, 2026 | 1:06 AM

Rakyat S’pura lega selamat tiba di tanah air sedang peperangan berlarutan di Timur Tengah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Rasa gementar Encik Amin Rasidi (kiri) dan isterinya Cik Nur Hayati Abdul Aziz (kanan) menyusuli letupan bertubi-tubi berdekatan kediaman mereka berakhir dan tatkala menerima panggilan daripada pihak Kementerian Ehwal Luar (MFA) yang menawarkan penerbangan pemindahan dari Muscat, Oman untuk pulang ke Singapura.
Rasa gementar Encik Amin Rasidi (kiri) dan isterinya Cik Nur Hayati Abdul Aziz (kanan) menyusuli letupan bertubi-tubi berdekatan kediaman mereka berakhir dan tatkala menerima panggilan daripada pihak Kementerian Ehwal Luar (MFA) yang menawarkan penerbangan pemindahan dari Muscat, Oman untuk pulang ke Singapura. - Foto BH oleh AMIRUL IBRAHIM

Rasa terkejut dan gementar mula memuncak dalam diri Encik Amin Rasidi serta isterinya Cik Nur Hayati Abdul Aziz tatkala mendengar siri letupan berdekatan dengan kediaman mereka di Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Encik Amin, 60 tahun, yang sudah bekerja sebagai Pengarah Perancangan Bandar di UAE sejak 2006, hari pertama bermulanya peperangan itu cukup menggerunkan.

Beliau berkata:

“Pada hari pertama serangan berlaku, bunyi dentuman tetap kuat walaupun tempat kejadian berada jauh antara 20 dengan 30 kilometer daripada rumah kami.

“Mula-mula kami rasa takut dan mula sembunyi di ruang persembunyian bawah tanah di rumah kami.

“Suasana semakin mendebarkan pada Khamis (5 Mac), apabila serangan berlaku lagi dekat dengan kediaman kami di sekitar kawasan Pantai Al Raha.

“Letupan itu yang membawa kesan ‘dentuman sonik’ dengan bunyi yang amat kuat meninggalkan kesan gegaran yang dapat dirasakan di rumah kami.”

Menurut Encik Amin lagi, sejak itu, serangan peluru berpandu telah dilancarkan secara bertali arus lebih 10 kali.

Hal tersebut meresahkan lagi pasangan tersebut sedang mereka menantikan hari perjalanan darat menaiki bas ke Oman sebelum diterbangkan kembali ke Singapura.

Isteri beliau, Cik Hayati, 54 tahun, yang merupakan seorang suri rumah juga berkongsi:

“Kami sebenarnya sudah membuat tempahan tiket penerbangan awal untuk pulang ke Singapura sempena Hari Raya.

“Namun, penerbangan saya pada 1 Mac telah dibatalkan serta merta apabila peperangan di Timur Tengah itu tercetus.”

Mujur bagi mereka harapan untuk pulang beraya di Singapura kembali cerah setelah menerima panggilan daripada pihak konsulat Singapura yang menawarkan penerbangan pemindahan untuk pulang ke tanah air dari Muscat, Oman.

“Selepas penerbangan saya dibatalkan pada 1 Mac, saya cuba untuk tempah tiket penerbangan pada 6 Mac pula.

“Suami saya juga berura-ura merancang untuk memandu keluar daripada Abu Dhabi kemudian tempah tiket penerbangan dari Oman sendiri.

“Namun, selepas menerima panggilan daripada pihak konsulat, kami rasa itu pilihan yang terbaik dan jalan terselamat untuk pulang ke Singapura,” jelas Cik Hayati.

Encik Amin dan Cik Nur Hayati antara empat keluarga yang ditemui Berita Harian (BH) yang berjaya pulang dengan selamat ke Singapura pada 7 Mac menerusi penerbangan pemindahan pertama yang diuruskan Kementerian Ehwal Luar (MFA) dari Muscat, Oman, di tengah-tengah peperangan Amerika Syarikat dan Israel menentang Iran.

Mereka tiba di Dewan Ketibaan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi sekitar 9.20 malam menerusi pesawat Singapore Airlines SQ8001.

Menurut MFA, seramai 152 rakyat Singapura termasuk ahli keluarga mereka selamat tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi menerusi penerbangan tersebut.

Para penumpang disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh beserta sepanduk berwarna-warni sempena kepulangan mereka ke tanah air.

Difahamkan, sebelum itu mereka berkumpul di Kedutaan Singapura di Abu Dhabi dan Dubai untuk menaiki bas ke Muscat, yang mengambil masa kira-kira 20 jam, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura dari Muscat selama sekitar 12 jam.

Bagi sebahagian rakyat Singapura yang berada di rantau itu, kepulangan ke tanah air disambut dengan rasa lega selepas melalui detik mencemaskan sepanjang konflik yang semakin serius.

Encik Ricominoroy Purnama (empat dari kanan) berasa lega selepas dapat pulang ke tanah air dengan selamat pada 7 Mac berikut keadaan di Timur Tengah.
Encik Ricominoroy Purnama (empat dari kanan) berasa lega selepas dapat pulang ke tanah air dengan selamat pada 7 Mac berikut keadaan di Timur Tengah. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Antaranya ialah Encik Ricominoroy Purnama, 52 tahun, yang berada di Abu Dhabi ketika keadaan keselamatan di rantau itu kian meruncing.

Menurutnya, bunyi letupan kerap kedengaran pada waktu malam, sehingga sekitar dua dan tiga pagi.

“Kadang-kala waktu sahur pun masih boleh dengar bunyi dentuman. Memang rasa takut kerana apa-apa sahaja yang boleh berlaku.

“Orang rumah asyik tanya saya, ‘Boleh balik tak? Bila boleh balik? Ada juga rasa macam mungkin tak dapat pulang kerana keadaan yang tak menentu,” ujarnya.

Encik Ricominoroy, yang bekerja sebagai jurulatih respons kecemasan, menzahirkan rasa syukur apabila mendapat tahu tentang penerbangan pemindahan yang diatur MFA, selepas pihak syarikatnya dapat membuat persiapan untuk beliau pulang.

“Kami terus ambil peluang itu, tak fikir dua kali,” kata beliau sambil mendakap isterinya, Cik Norislinda Mohamad Esah, 47 tahun.

Kini selamat di tanah air, Encik Ricominoroy berkata beliau berharap dapat menikmati suasana Ramadan dan menjelang Aidilfitri bersama keluarganya.

Encik Abdul Rahim Abdullah (tiga dari kanan) disambut keluarganya, termasuk anaknya, Encik Amirul Asraff Abdul Rahim (dua dari kanan) sebaik sahaja beliau selamat tiba di Singapura pada 7 Mac sekitar 9.20 malam.
Encik Abdul Rahim Abdullah (tiga dari kanan) disambut keluarganya, termasuk anaknya, Encik Amirul Asraff Abdul Rahim (dua dari kanan) sebaik sahaja beliau selamat tiba di Singapura pada 7 Mac sekitar 9.20 malam. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Bagi keluarga di Singapura pula, berita tentang penerbangan pemindahan itu membawa kelegaan yang dinantikan.

Encik Amirul Asraff Abdul Rahim, 38 tahun, menanti kepulangan ayahnya di Dewan Ketibaan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dengan penuh rasa syukur.

Ayahnya, Encik Abdul Rahim Abdullah, 64 tahun, bekerja sebagai jurulatih bomba di Abu Dhabi sejak 2023.

Menurut Encik Amirul, ayahnya biasanya pulang ke Singapura setiap dua minggu sempena hari rehat.

Namun kali ini, kepulangannya dipercepatkan ekoran keadaan keselamatan yang membimbangkan di rantau itu.

“Kami sekeluarga memang risau kerana penginapan ayah saya terletak kira-kira 14 kilometer sahaja dari pangkalan tentera Amerika Syarikat.

“Jadi lokasinya agak dekat dengan kawasan yang berpotensi menjadi sasaran. Ayah saya beritahu kami yang beliau ada dengar letupan kuat di sana,” terang Encik Amirul, seorang anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Tambahnya, ayahnya sering memberi perkembangan harian tentang keadaannya di sana bagi menenangkan keluarga di Singapura.

Encik Amirul berkata beliau sudah berasa lega sebaik sahaja menerima berita bahawa pesawat yang membawa bapanya telah berlepas dari Oman.

Sepasang lagi suami isteri, Encik Ahmad Shafiq Ghazali dan Cik Azlina Abdul Aziz berkongsi bahawa perjalanan mereka untuk pulang ke Singapura agak lancar hasil urusan beberapa pihak.

Encik Ahmad, 44 tahun yang bekerja sebagai Pengurus Produksi berkata bahawa syarikatnya telah mengizinkan beliau untuk bekerja secara dalam talian demi membolehkannya pulang mengikut penerbangan pemindahan yang telah diaturkan MFA.

Isterinya, Cik Azlina, 43 tahun, berkata:

“Kami bersyukur dengan aturan kerja suami saya. Tambahan itu, pihak kedutaan Singapura juga telah banyak membantu dalam memastikan kepulangan kami lancar dan selamat.”

Walaupun bersyukur, pasangan itu turut khuatir akan kesejahteraan rakan mereka yang masih di Dubai dan tidak dapat pulang ke Singapura atas sebab tertentu.

“Kami masih memikirkan dan mendoakan keselamatan teman-teman kami di sana yang masih tidak dapat pulang kerana ada antara mereka yang sedang hamil dan ada juga yang punyai haiwan peliharaan.

“Keadaan itu tidak mengizinkan mereka untuk pulang dan mereka terpaksa kekal di sana,” ujar Cik Azlina.

Walaupun bersyukur kepulangan mereka ke Singapura telah dipermudah, Encik Ahmad Shafiq Ghazali dan Cik Azlina Abdul Aziz tetap memikiran dan mendoakan keselamatan para teman mereka yang tidak dapat pulang bersama atas sebab tertentu.
Walaupun bersyukur kepulangan mereka ke Singapura telah dipermudah, Encik Ahmad Shafiq Ghazali dan Cik Azlina Abdul Aziz tetap memikiran dan mendoakan keselamatan para teman mereka yang tidak dapat pulang bersama atas sebab tertentu. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Dalam satu hantaran media sosial pada 7 Mac, MFA berkata ia akan mengaturkan penerbangan pemindahan kedua dari Muscat pada 8 Mac.

“Kami juga sedang berusaha mengatur satu penerbangan pemindahan dari Arab Saudi dalam beberapa hari akan datang bagi membantu lebih ramai rakyat Singapura kembali ke tanah air,” tulis pihak MFA.

Menurut MFA, penerbangan pemindahan warga Singapura itu pada 7 Mac turut membawa warga Malaysia dan Republik Korea bagi mengisi tempat duduk pesawat yang masih tersedia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg