Penghargaan mencurah-curah untuk Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, termasuk daripada pemimpin Melayu/Islam dan pertubuhan tempatan, yang menzahirkan ucapan terima kasih mereka kepada Encik Lee, Perdana Menteri ketiga Singapura, atas sumbangannya selama 20 tahun menerajui tampuk pimpinan negara.
Encik Lee, yang dilantik Perdana Menteri pada 12 Ogos 2004, telah melepaskan jawatan itu kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Pada 15 Mei, Encik Lawrence Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura, bersama-sama dengan barisan Kabinet barunya di Istana.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, dalam hantarannya di Instagram pada 15 Mei, berkongsi bahawa beliau telah mengirimkan surat penghargaannya kepada Encik Lee.
Dalam surat itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Encik Lee atas kepercayaan dan keyakinannya kepada masyarakat Melayu/Islam untuk menjalani kehidupan beragama, yang memperkaya fabrik sosial dan menyumbang kepada perpaduan sosial Singapura.
Dr Nazirudin menambah, Encik Lee sentiasa menjadi penyokong setia daya utama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), yang menyumbang kepada identiti sosioagama Singapura yang unik dan model pelbagai agama yang harmoni.
“Di bawah kepimpinan beliau, semua lapisan masyarakat telah secara kolektif memperkukuh model ini,” kata Dr Nazirudin.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Encik Lee dalam peranannya pada masa hadapan dan kami berharap untuk meneruskan perjalanan ini bersama kepimpinan baru Singapura.
“Semoga Singapura terus menjadi pelita harapan dan keamanan dalam dunia yang sangat mencabar.”
Mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, turut memuji kepimpinan Encik Lee sebagai Perdana Menteri.
“Kayu ukur kejayaan atau kegagalan adalah hasilnya. Dengan semua langkah di bawah kepimpinan Lee Hsien Loong, Singapura telah makmur dan menubuhkan tempatnya di peringkat global,” kata Puan Halimah dalam hantarannya di Facebook pada 16 Mei.
Puan Halimah juga menekankan ciri penting seorang pemimpin, iaitu wawasan dan empati, sambil menambah bahawa sifat Encik Wong yang rendah hati dan terbuka untuk mendengar meletakkan beliau di landasan kepimpinan yang tepat.
Encik Wong, ketika berucap semasa majlis angkat sumpah di Istana pada 15 Mei, berkata beliau ingin mendekati masyarakat dan mendengar suara rakyat.
“Semoga PM Lawrence Wong selamat maju jaya. Semoga SM Lee Hsien Loong berjaya juga semasa beliau memulakan peranan barunya,” ujar Puan Halimah.
Sementara itu, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menghargai “kesan mendalam” bimbingan Encik Lee yang berwawasan untuk mengembangkan perniagaan Melayu setempat.
Menurut kenyataannya bertarikh 22 April, DPPMS berkata di bawah kepimpinan Encik Lee, langkah proaktif dan sokongan padu telah memupuk persekitaran yang kondusif untuk inovasi, pertumbuhan, dan kejayaan keusahawanan.
Ini termasuk memperkenalkan Program Bakat SME (syarikat kecil dan sederhana), yang membolehkan ahli dan komuniti DPPMS berkembang dan menerima bantuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja.
“Dengan pengalaman dan pengetahuan selama bertahun-tahun, kami menantikan peranannya sebagai Menteri Kanan dan bimbingannya yang pasti akan membawa kita ke tahap yang lebih tinggi. Kepimpinan beliau akan memberi inspirasi kepada generasi akan datang, dan sumbangannya akan dikenang dan dihargai oleh negara,” kata DPPMS.
Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef) pula mengenang usaha Encik Lee dalam menangani masalah berkaitan tenaga kerja.
Sepanjang kepimpinannya, pemerintah kendalian Encik Lee telah memperkukuh pakatan tiga pihak, memperkenalkan Model Gaji Progresif (PWM) untuk pekerja bergaji rendah dan pantas bertindak menghadapi krisis seperti Krisis Kewangan Global 2008 dan pandemik Covid-19.
“Sesungguhnya, kemajuan Singapura hari ini adalah hasil usaha kepimpinan PM Lee dan pasukannya yang berkebolehan.
“Disebabkan sokongan kuat beliau terhadap pakatan tiga pihak, kami dapat mengekalkan hubungan harmoni industri kami untuk menyediakan persekitaran yang stabil bagi kedua-dua majikan dan pekerja untuk berkembang maju,” kata Snef dalam kenyataannya pada 15 Mei.
“
“Kayu ukur kejayaan atau kegagalan adalah hasilnya. Dengan semua langkah di bawah kepimpinan Lee Hsien Loong, Singapura telah makmur dan menubuhkan tempatnya di peringkat global. Semoga PM Lawrence Wong selamat maju jaya. Semoga SM Lee Hsien Loong berjaya juga semasa beliau memulakan peranan barunya.”“
“Di bawah kepimpinan beliau, semua lapisan masyarakat telah secara kolektif memperkukuh model ini. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Encik Lee dalam peranannya pada masa hadapan dan kami berharap untuk meneruskan perjalanan ini bersama kepimpinan baru Singapura. Semoga Singapura terus menjadi pelita harapan dan keamanan dalam dunia yang sangat mencabar.”“
“Dengan pengalaman dan pengetahuan selama bertahun-tahun, kami menantikan peranannya sebagai Menteri Kanan dan bimbingannya yang pasti akan membawa kita ke tahap yang lebih tinggi. Kepimpinan beliau akan memberi inspirasi kepada generasi akan datang, dan sumbangannya akan dikenang dan dihargai oleh negara.”“
“Disebabkan sokongan kuat beliau terhadap pakatan tiga pihak, kami dapat mengekalkan hubungan harmoni industri kami untuk menyediakan persekitaran yang stabil bagi kedua-dua majikan dan pekerja untuk berkembang maju.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg