Sebilangan pemimpin dunia telah mengucapkan tahniah kepada Encik Lawrence Wong selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei.
Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, mengucapkan tahniah kepada Encik Wong dengan berkata bahawa China amat mementingkan pembangunan hubungan China-Singapura, lapor agensi berita Xinhua.
Encik Li berkata selama lebih 30 tahun sejak pembentukan hubungan diplomatik pada 1990, China dan Singapura terus memperdalam kepercayaan politik bersama yang telah membuahkan hasil dalam pelbagai bidang.
Beliau juga ingin mengekalkan komunikasi dan kerjasama rapat dengan Encik Wong untuk menggalak kerjasama dua hala yang bermutu tinggi, dan membawa sumbangan lebih besar kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, lapor The Straits Times.
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, menulis di laman sosial X bahawa beliau berharap dapat bekerjasama rapat dengan PM Wong untuk memajukan perkongsian strategik kedua-dua negara.
Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida, pula berkata beliau ingin bekerjasama dengan rakan sejawatannya di Singapura untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kededua negara.
Encik Kishida menambah bahawa beliau menantikan ulang tahun ke-60 jalinan hubungan Jepun-Singapura pada 2026.
Bagi Perdana Menteri Britain, Encik Rishi Sunak, Singapura adalah salah satu rakan kongsi terpenting Britain di Asia Tenggara.
Dalam suratnya, Encik Sunak berkata terdapat potensi besar bagi kedua-dua negara meningkatkan kerjasama, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi nuklear awam dan pertahanan digital.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau yakin Singapura akan terus maju dan makmur di bawah “kepimpinan berkebolehan” Encik Wong, sambil menambah bahawa hubungan kukuh antara Malaysia dengan Singapura dibina atas dasar rasa hormat dan kerjasama bersama.
“Kami berharap dapat memperdalam lagi perkongsian kami dalam bidang kepentingan bersama, termasuk pembangunan ekonomi, pendidikan dan perdagangan,” katanya menerusi X.
Beliau juga melahirkan “terima kasih yang mendalam” kepada pendahulu Encik Wong – Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong – atas kepimpinannya yang berwawasan dan komitmen untuk memupuk hubungan dua hala yang kukuh.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, pula menyatakan negaranya berharap untuk bekerjasama dengan PM Wong untuk mengukuhkan perkongsian strategiknya dengan Singapura dan menegakkan norma dan piawaian antarabangsa di rantau Indo-Pasifik.
Sementara itu, Presiden Maldives, Encik Mohamed Muizzu; dan Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Mohamed bin Zayed Al Nahyan, juga berharap dapat bekerjasama dengan PM Wong dalam mengukuhkan hubungan dua hala.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg