NEW DELHI: India dan Singapura meneroka kerjasama lebih erat mengenai pendigitalan, pembangunan kemahiran dan taman perusahaan dalam satu mesyuarat wadah dua hala utama pada 13 Ogos.
Perbincangan tersebut diadakan semasa lawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, ke negara Asia Selatan itu.
Encik Gan mengetuai delegasi Singapura seramai enam orang pada edisi ketiga rundingan Meja Bundar Menteri India-Singapura (ISMR), yang bertujuan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang baru yang sedang berkembang.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan berkata kedua-dua negara menegaskan sekali lagi ikatan akrab dan berpanjangan antara Singapura dengan India, yang disokong oleh hubungan ekonomi dan sesama rakyat yang kukuh.
Kedua-dua pihak menyemak kemajuan baik yang dicapai sejak mesyuarat terakhir di Singapura pada 2024, dan menyatakan sokongan terhadap kerjasama lebih mendalam dalam bidang seperti kemampanan, penjagaan kesihatan dan perubatan, pengilangan termaju, dan keterhubungan.
Kedua-dua menteri turut membincangkan kerjasama mengenai aliran data rentas sempadan dan pasaran modal melalui penggunaan ruang ujian, di samping kerjasama mengenai latihan kemahiran dalam semikonduktor, penyelenggaraan, khidmat pembaikan dan baik pulih, serta pusat kecemerlangan nasional India.
Anggota lain dalam delegasi Singapura ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.
Delegasi India diwakili Menteri Kewangan dan Ehwal Korporat India, Cik Nirmala Sitharaman; Menteri Ehwal Luar India, Encik S. Jaishankar; Menteri Perdagangan dan Industri, Encik Piyush Goyal; dan Menteri Elektronik dan Teknologi Maklumat, Kereta Api, Maklumat dan Penyiaran, Encik Ashwini Vaishnaw.
Lawatan Encik Gan juga mendahului kunjungan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ke India pada awal September, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan India, lapor The Straits Times (ST).
Encik Wong melancarkan perbincangan meja bundar yang diadakan buat kali pertama dalam lawatan rasmi beliau ke India pada September 2022, semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri.
Mesyuarat ISMR kedua diadakan di Singapura pada Ogos 2024, menjelang lawatan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, ke Singapura.
India dan Singapura sedang memperluas kerjasama dalam keadaan ekonomi sejagat yang tidak menentu disebabkan tarif timbal balas Amerika Syarikat.
India, ekonomi keempat terbesar di dunia, kini menjadi sasaran tarif yang sukar diramalkan oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang menyebabkan banyak perniagaan mungkin menghadapi tarif sebanyak 50 peratus.
Menurut beberapa penganalisis, semua itu meningkatkan keperluan India untuk meluaskan lagi hubungan ekonomi sedia ada dengan negara sahabat seperti Singapura.
Profesor Penyelidikan Pelawat di Institut Kajian Asia Selatan (ISAS) C. Raja Mohan, berkata:
“Dunia luar sedang berubah dengan begitu pesat. Kesan (tarif) Encik Trump kini semakin jelas.
“Singapura menghadapi (tarif) 10 peratus dan India berada dalam keadaan berbeza.
“Namun, keperluan bagi interaksi serantau menjadi semakin penting bagi mengurangkan sebahagian kesan negatif, termasuk bagi Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg