Singapura dan Indonesia telah menandatangani perjanjian baharu untuk bekerjasama dalam kredit karbon di bawah Perkara 6 Perjanjian Paris pada 6 Julai, menyediakan rangka kerja untuk menyalurkan pembiayaan iklim ke dalam projek berintegriti tinggi.

Ini termasuk usaha seperti melindungi hutan dan memulihkan ekosistem pesisir, dan menggunakan penyelesaian teknologi bersih yang mengurangkan pelepasan dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.

Memorandum Persefahaman (MOU) itu telah ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Alam Sekitar Indonesia, Dr Mohammad Jumhur Hidayat, semasa Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia.

Rahat tersebut, yang berlangsung di Istana Merdeka, Jakarta turut dihadiri Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.

“Singapura komited untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai dalam membina pasaran karbon yang boleh dipercayai, telus dan saling menguntungkan,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Di bawah MOU itu, Singapura dan Indonesia akan bertukar maklumat dan kepakaran teknikal mengenai pasaran karbon dan berusaha ke arah Perjanjian Pelaksanaan yang selaras dengan Perkara 6 Perjanjian Paris, serta mengenal pasti projek kredit karbon berintegriti tinggi.

Projek itu akan menyokong pencapaian Sumbangan Yang Ditentukan Negara (NDC) kededua negara dan memberikan manfaat ketara kepada masyarakat tempatan dan peribumi di Indonesia seperti dalam aspek penciptaan pekerjaan, pendapatan dan perlindungan alam sekitar.

“Yang penting, projek-projek ini akan menyokong mata pencarian dan membawa manfaat langsung kepada masyarakat tempatan dan peribumi yang paling terjejas oleh perubahan iklim,” kata Encik Gan.

Naib Presiden Kanan dan Pengerusi Eksekutif Konservasi Indonesia, Cik Meizani Irmadhiany, berkata kerjasama yang diperluas antara Indonesia dengan Singapura akan membantu menyokong projek karbon berintegriti tinggi.

Ini seterusnya akan mengurangkan pelepasan, membantu membalikkan proses kehilangan biodiversiti, meningkatkan daya tahan dan menjana mata pencarian mampan untuk masyarakat yang paling dekat dengan hutan, bakau dan ekosistem pesisir pantai yang tidak terganti ini.”

Perjanjian kredit karbon merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif ekonomi yang diumumkan di Rahat Pemimpin tersebut.

Sebanyak 26 MOU dan perjanjian telah dibentangkan oleh wakil daripada agensi pemerintah dan perniagaan semasa pertemuan dua negara itu.

Kededua negara juga mengumumkan perkongsian dua tahun untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) mengembangkan perdagangan rentas sempadan melalui alat digital, penglibatan dasar dan pembinaan keupayaan.

MOU tersebut telah ditandatangani oleh Pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Mark Lee dan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perusahaan Indonesia (Kadin), Encik Anindya Novyan Bakrie.

Di bawah perjanjian itu, SBF dan Kadin akan bekerjasama dalam tiga bidang utama – pembolehan digital, penglibatan dasar dan pembinaan keupayaan.

Encik Lee berkata: “Kerjasama SBF dengan Kadin dibina berdasarkan hubungan jangka panjang kami dan mencerminkan komitmen bersama kami untuk membantu SME berjaya di luar pasaran asal mereka.

“Kami kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan sejawat kami di Indonesia bagi menyediakan sokongan praktikal kepada perniagaan untuk mengemudi perdagangan rentas sempadan dengan keyakinan yang lebih tinggi dan membuka peluang baharu di seluruh Asean.”

Inisiatif utama di bawah perkongsian itu ialah Penasihat AI Perdagangan (Taia), platform digital berkuasa AI generatif yang dibangunkan oleh SBF.

TAIA kini menyediakan panduan atas permintaan dan mudah difahami buat syarikat yang berpangkalan di Singapura mengenai keperluan perdagangan rentas sempadan, pertimbangan kemasukan pasaran dan prosedur kawal selia.

Di bawah perjanjian itu, kededua pihak bersetuju melanjutkan Taia bagi meliputi rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Indonesia dan menawarkan versi Bahasa Indonesia.