Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Indonesia komited pastikan Selat Melaka kekal selamat, terbuka
S’pura, Indonesia komited pastikan Selat Melaka kekal selamat, terbuka
PM Wong, Presiden Prabowo tekankan hubungan erat, kepercayaan bersama semasa Rahat Pemimpin kededua negara
S’pura, Indonesia komited pastikan Selat Melaka kekal selamat, terbuka
Singapura dan Indonesia akan memainkan peranannya untuk memastikan Selat Melaka dan Selat Singapura kekal selamat, terbuka, dan boleh diakses oleh semua pengguna.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, membuat kenyataan tersebut semasa berucap di sidang media bersama pada 6 Julai di Istana Merdeka susulan Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia – yang kedua antara dua pemimpin itu.
Semasa pertemuan itu, Encik Wong berkata kedua-dua pemimpin telah membincangkan tentang perkembangan di Timur Tengah dan implikasinya terhadap Singapura, terutamanya di Selat Melaka.
Sebagai negara pesisir yang bersempadan dengan Selat Melaka dan Selat Singapura, Encik Wong berkata kedua-dua Singapura dan Indonesia mempunyai kepentingan strategik yang sehaluan dalam isu tersebut.
“Kedua-dua Presiden Prabowo dan saya bersetuju bahawa kami akan memainkan peranan kami, bersama-sama dengan negara pesisir yang lain, untuk memastikan Selat Melaka dan Selat Singapura kekal selamat, terbuka dan boleh diakses oleh semua,” kata Encik Wong.
Encik Wong menambah bahawa kedua-dua negara berkongsi kepentingan dalam menegakkan hak dan kebebasan pelayaran, dan memastikan saluran komunikasi laut terbuka kepada semua.
Ini termasuk hak laluan transit kapal tanpa halangan mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos), yang juga merupakan undang-undang lazim antarabangsa.
Semasa ucapannya pula, Encik Prabowo berkata Singapura dan Indonesia mempunyai kepentingan bersama untuk menjaga Selat Melaka sebagai lintasan yang bebas untuk semua pengguna.
Beliau menambah bahawa kedua-dua negara perlu menjaga keamanan di selat itu, dan juga melindunginya daripada pencemaran dan kemalangan.
“Ini merupakan kepentingan penting antara negara-negara di sekitar Selat Melaka,” kata Encik Prabowo.
“Kami akan terus bekerjasama dengan Malaysia dan Thailand untuk mengekalkan apa yang selaras dengan Unclos 1982.
“Selat Melaka sentiasa terbuka kepada semua – selamat dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja yang memerlukan akses,” tambah beliau.
Semasa rahat itu, Encik Wong berkata beliau telah mengadakan perbincangan terbuka dan terus terang dengan Encik Prabowo mengenai cara bagi kedua-dua negara itu membawa kerjasama mereka ke tahap yang lebih luas.
Beliau berkata Rahat Pemimpin itu merupakan ciri unik hubungan Singapura-Indonesia, yang mencerminkan hubungan erat, serta kepercayaan, rasa hormat dan persefahaman bersama antara kedua-dua negara.
Beliau menambah bahawa Singapura mempunyai keyakinan penuh terhadap masa depan Indonesia dan mahu Indonesia berjaya kerana masa depan kedua-dua negara itu saling berkait rapat.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata Singapura telah melabur secara konsisten di Indonesia selama bertahun-tahun.
“Pelaburan ini lebih daripada sekadar aliran modal – ia mewujudkan perniagaan, industri hiliran (iaitu industri yang memproses bahan mentah menjadi produk bernilai tambah), infrastruktur digital, peluang dan pekerjaan yang baik untuk rakyat Indonesia,” kata Encik Wong.
Singapura merupakan pelabur asing utama Indonesia sejak 2014, dengan jumlah pelaburan melebihi AS$75 bilion ($96.91 bilion) sepanjang lima tahun lalu.
Rahat Pemimpin itu turut menyaksikan sebanyak 26 Memorandum Persefahaman (MOU) dan perjanjian dibentangkan oleh wakil daripada agensi pemerintah dan perniagaan kedua-dua negara.
Ini termasuk kerjasama dalam bidang seperti tenaga boleh diperbaharui dan kemampanan, selain usaha memperkukuh hubungan antara rakyat, meningkatkan ketersambungan, serta mengeratkan jalinan institusi antara kedua-dua negara.
Encik Wong berkata syarikat Singapura terus melihat banyak peluang di Indonesia, sambil menonjolkan minat pelabur yang kukuh di wilayah Batam, Bintan dan Karimun (BBK).
Beliau menambah bahawa wilayah BBK sedang menyaksikan perkembangan pesat menjadi hab digital yang bertenaga dan menarik syarikat-syarikat terkemuka untuk melabur.
Encik Wong juga memuji kerja-kerja pengembangan Taman Perindustrian Kendal, sebuah kompleks perindustrian antarabangsa yang dikendalikan oleh kedua-dua syarikat Singapura dan Indonesia.
Taman perindustrian itu, yang meraikan ulang tahun ke-10 pada 2026, akan diperluaskan sebanyak 1,000 hektar lagi, selepas ia mencapai kapasiti penuh.
Pengembangan ini, kata Encik Wong, akan mendorong lebih banyak pelaburan, mewujudkan lebih banyak pekerjaan serta menyokong pembangunan dan pertumbuhan berterusan Indonesia.
“Dengan lebih banyak hubungan perdagangan dan pelaburan, kita juga komited untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan kita, supaya kedua-dua negara dapat saling menyokong satu sama lain dengan lebih baik sedang kita mengharungi sebarang kejutan luaran,” kata Encik Wong.
