Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Indonesia perluas kerjasama rentas bidang digital, tenaga hijau, kemampanan
S’pura, Indonesia perluas kerjasama rentas bidang digital, tenaga hijau, kemampanan
PM Wong serlah ‘potensi luar biasa’ dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Indonesia
S’pura, Indonesia perluas kerjasama rentas bidang digital, tenaga hijau, kemampanan
Singapura dan Indonesia telah bersetuju untuk memperluaskan kerjasama merentas pelbagai bidang, termasuk tenaga boleh diperbaharui dan kemampanan.
Kededua negara itu juga sedang meneroka cara untuk mempererat hubungan antara rakyat, meningkatkan ketersambungan, dan hubungan institusi antara kededua negara.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, membuat pengumuman itu di sidang media bersama Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, di Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia – yang kedua antara dua pemimpin negara itu – yang diadakan di Istana Merdeka pada 6 Julai.
“Saya sangat gembira hari ini kerana berpeluang untuk mengadakan perbincangan dari hati ke hati yang sangat bermanfaat, terbuka dan terus terang dengan Presiden Prabowo mengenai cara kita dapat membawa kerjasama kita lebih jauh.
“Singapura mempunyai keyakinan penuh terhadap masa depan Indonesia. Kami mahu Indonesia berjaya, kerana masa depan kami saling berkait rapat,” tambah beliau.
Semasa Rahat Pemimpin itu, sebanyak 26 Memorandum Persefahaman (MOU) dan perjanjian telah dibentangkan oleh wakil dari kededua agensi pemerintah dan perniagaan.
Dalam ucapannya, Encik Prabowo berkata pencapaian itu mencerminkan kerjasama semakin luas dan mendalam antara Indonesia dengan Singapura.
Beliau berkata kerjasama ekonomi antara Singapura dengan Indonesia tetap menjadi tonggak utama dalam pertumbuhan kededua negara.
“Perkongsian yang kuat dibangunkan atas dasar kepercayaan, bukan hanya antara pemerintah, tetapi juga antara rakyat kededua negara.
“Kerana itu, keterhubungan pelancongan, pendidikan, dan kerjasama antara pemuda menjadi sangat penting,” kata Encik Prabowo.
Mengulas tentang MOU berkaitan tenaga boleh diperbaharui, Encik Wong berkata perkembangan terkini di Timur Tengah menjadi peringatan tentang betapa pentingnya keselamatan dan kepelbagaian tenaga.
Beliau menambah bahawa Indonesia mempunyai “potensi yang luar biasa” dalam tenaga boleh diperbaharui, dan Singapura ingin bekerjasama dengan Indonesia dalam membuka potensi ini.
“Itulah sebabnya kami bersama-sama membina salah satu projek tenaga suria terbesar di Indonesia di Morowali di Sulawesi Tengah,” kata Encik Wong, sambil menambah bahawa projek tersebut akan menyediakan bekalan elektrik bersih kepada industri kuasa di sana.
Tiga syarikat Singapura – Keppel Electric, Sembcorp Industries dan Singapore Energy Interconnections – turut menandatangani MOU dengan Danantara, sebuah syarikat pelaburan Indonesia.
MOU baharu itu akan menyediakan peta jalan yang jelas untuk rundingan dan perbincangan antara empat syarikat itu, sekali gus membuka jalan untuk projek elektrik rentas sempadan antara kededua negara.
“Kami percaya projek sebegini merupakan inisiatif yang memberi manfaat kepada kededua negara, dan ia juga akan menjadi asas penting untuk grid kuasa Asean yang lebih luas yang akan memperkukuh keselamatan tenaga di seluruh rantau kita,” kata Encik Wong.
Semasa sidang media itu, Encik Wong berkata kededua pemimpin juga bersetuju untuk memperkukuh hubungan antara rakyat, dengan rancangan untuk menggalak pertukaran belia melalui program Sekolah Garuda, sebuah inisiatif yang dimulakan Encik Prabowo.
Encik Wong turut melahirkan harapan untuk melihat lebih banyak ketersambungan penerbangan ke pelbagai bandar di Indonesia, yang akan membolehkan pelancong menikmati keindahan negara itu, menyokong perjalanan perniagaan, dan memudahkan lebih banyak interaksi antara rakyat kededua negara.
Sehingga Jun 2026, Singapura dihubungkan dengan 17 destinasi di Indonesia, menyusuli pelancaran penerbangan Scoot ke Labuan Bajo, Medan, Palembang, Semarang, Belitung, dan Pontianak.
Rakyat Singapura secara konsisten menjadi antara pelawat utama ke Indonesia, dengan kira-kira 1.5 juta ketibaan pada 2025.
Antara lain, kededua pemimpin itu juga bersetuju untuk memperkukuh hubungan institusi antara Singapura dengan Indonesia.
Encik Wong menekankan hubungan baik antara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang membantu memupuk kepercayaan antara kededua negara.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan khususnya menekankan sumbangan Presiden Prabowo dan peranan penting yang dimainkan beliau dalam memupuk hubungan kukuh antara tentera kita semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan,” kata Encik Wong.
