Jepun dan Singapura menegaskan semula komitmen mereka untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dalam bidang utama seperti pendigitalan, peralihan hijau dan penjagaan kesihatan.

Dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Four Seasons di Orchard pada 2 Julai, Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) memperbaharui memorandum kerjasama (MOC) mereka untuk tempoh tiga tahun lagi.

Di bawah perjanjian perkongsian itu, kededua agensi disokong pemerintah tersebut akan memberi lebih tumpuan dalam bidang kerjasama sedia ada bagi mencerminkan matlamat bersama kedua-dua negara.

Perjanjian tersebut merangkumi bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pengkomputeran kuantum, serta penyelesaian tenaga bersih seperti angin luar pesisir dan hidrogen.

Ia turut memperkenalkan satu bidang keutamaan baharu – iaitu sains hayat dan penjagaan kesihatan, meliputi bidang seperti kesihatan digital, perubatan jitu dan bioteknologi.

Pemilihan bidang-bidang tersebut adalah berdasarkan kekuatan saling melengkapi serta kepentingan bersama kedua-dua negara, sekali gus mewujudkan potensi besar bagi jalinan kerjasama berkenaan.

Kedua-dua agensi akan meluaskan sokongan mereka melangkaui syarikat pemula, dan merangkumi syarikat kecil dan sederhana (SME) dengan kadar pertumbuhan tinggi, serta syarikat korporat lebih besar dengan keupayaan teknologi dan inovasi yang kukuh.

Langkah ini akan membolehkan lebih banyak perusahaan yang mempunyai matlamat rentas sempadan mempercepatkan pertumbuhan mereka dan meraih manfaat daripada perkongsian berkenaan.

Perjanjian tersebut ditandatangani ketika Jetro menyambut ulang tahun ke-70 kehadirannya di Singapura, selepas mula bertapak di negara ini pada 1956 sebagai Pusat Perdagangan Jepun.

Kedua-dua negara, Singapura dan Jepun, juga bakal meraikan ulang tahun ke-60 jalinan hubungan diplomatik mereka.

Langkah ini juga menyusuli perjanjian yang ditandatangani pada Mac 2026 oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Jepun, Encik Sanae Takaichi, yang menaik taraf hubungan kedua-dua negara kepada perkongsian strategik.

Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, berkata perjanjian antara EnterpriseSG dengan Jetro merupakan satu contoh bagaimana kedua-dua negara berhasrat untuk menterjemahkan perkongsian strategik tersebut kepada kerjasama ekonomi yang praktikal.

“Apabila saya melihat hubungan Singapura-Jepun, apa yang paling menonjol bukan hanya hubungannya yang terjalin lama, malah juga keakrabannya,” kata Cik Gan.

Jepun merupakan salah satu rakan ekonomi paling signifikan Singapura, dan sentiasa berada dalam kelompok 10 rakan perdagangan dan pelaburan utamanya.

Pada 2025, perdagangan barangan dua hala mencatatkan nilai melebihi $56 bilion. 

Jepun juga merupakan sumber pelaburan langsung asing ketiga terbesar Singapura.

“Di sebalik angka keseluruhan itu, kekuatan hubungan kita mungkin paling jelas dilihat melalui kehadiran kukuh syarikat Jepun di Singapura,” jelas Cik Gan.

Terdapat lebih 5,300 syarikat Jepun di sini, dengan kebanyakannya memilih Singapura sebagai pangkalan operasi serantau dan global mereka.

Pengerusi EnterpriseSG, Encik Lee Chuan Teck berkata:

“Pembaharuan MOC kita hari ini menekankan kekuatan hubungan dua hala serta matlamat bersama untuk memupuk kerjasama lebih kukuh antara syarikat kami dengan ekosistem lebih luas, bagi menangani cabaran baharu dalam persekitaran global yang semakin kompleks.”

Sementara itu, Presiden Jetro, Encik Susumu Kataoka, berkata: 

“Ketika Jetro menandakan 70 tahun operasinya di Singapura, pembaharuan MOC ini mencerminkan perkongsian kami yang telah lama terjalin serta matlamat bersama untuk masa akan datang.”

“Berlandaskan asas kukuh antara Jepun dengan Singapura, Jetro akan terus menyokong peluasan global perniagaan inovatif, memperdalam kerjasama rentas sempadan, serta menyumbang kepada pengukuhan ekosistem ekonomi yang mampan dan saling terhubung di serata Asean dan melangkaui wilayah lain,” tambahnya.