Sama ada Singapura membina loji tenaga nuklear adalah sesuatu untuk rakyat Singapura putuskan.
Namun, jika ia memutuskan untuk berbuat demikian, negara ini berada dalam kedudukan yang baik untuk menerima pakai teknologi itu, kata Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Mariano Grossi.
Bercakap kepada media semasa lawatannya ke Singapura pada 25 Julai, Encik Grossi berkata walaupun Singapura belum membuat keputusan, beliau “sangat optimistik Singapura dapat menjadi negara nuklear pada masa depan”.
“Singapura perlu membuat keputusan dan ini belum berlaku. Perbualan saya hari ini dengan Perdana Menteri, Tuan Presiden...dan lain-lain menunjukkan minat yang jelas mengenai isu ini.
“Tetapi keputusan perlu diambil. Sebaik sahaja keputusan diambil, dengan ciri-ciri Singapura, ia tidak sepatutnya mengambil masa terlalu lama. Tetapi sekali lagi, saya tidak mahu membuat andaian, kerana belum ada keputusan,” kata Encik Grossi.
Beliau berkata Singapura “mempunyai semua potensi untuk melakukannya” memandangkan ia mempunyai kapasiti teknologi dan keupayaan kewangan untuk membina loji nuklear atau meneroka teknologi nuklear.
“Mereka mempunyai institusi kawal selia, mungkin, dari segi konteks Asean, salah satu yang terbaik.
“Tetapi sekali lagi, tiada keputusan telah diambil dan apabila keputusan itu telah dibuat, pembinaan loji itu boleh dilakukan dengan agak cepat,” kata Encik Grossi.
Namun, beliau berkata Singapura tidak semestinya perlu membina loji nuklear di negara ini dan boleh meneroka membina loji tersebut dengan negara-negara jiran lain.
Encik Grossi berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ceramah dengan Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura (SNRSI) menjadi tuan rumah pada acara di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Encik Grossi sedang mengadakan lawatan sehari ke Singapura pada 25 Julai dan berkesempatan untuk bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Istana.
Pada Februari, semasa ucapan Belanjawan 2025, PM Wong mengumumkan bahawa Singapura akan mengkaji potensi penggunaan tenaga nuklear di sini dan mengambil langkah selanjutnya untuk membina keupayaan secara sistematik dalam bidang ini.
Semasa ucapannya, PM Wong berkata beberapa negara di rantau ini sedang merancang untuk menerima pakai teknologi nuklear dalam campuran tenaga mereka.
Justeru, Singapura memerlukan keupayaan baru untuk menilai pilihan dan mempertimbangkan sama ada terdapat penyelesaian yang boleh digunakan dengan cara yang selamat dan berbaloi.
Sehingga kini, Singapura belum membuat keputusan untuk menjadi negara nuklear.
Pada 25 Julai, Singapura juga telah memperbaharui Memorandum Persefahaman (MOU) dengan IAEA untuk membenarkan Singapura meneruskan usaha membangun program latihan dan membina keupayaan dalam teknologi nuklear.
Perjanjian Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) itu akan membenarkan Singapura membina keupayaan menyokong pembangunan negara anggota IAEA, seperti dalam bidang kesihatan manusia, radiografi industri, pemantauan dan analisis radioaktiviti alam sekitar, dan sains pemecut.
Mengulas mengenai perjanjian itu, Encik Grossi berkata Singapura adalah sebuah negara yang “telah dipandang tinggi dalam kalangan dunia membangun”.
Beliau menambah Singapura telah “mampu bergerak dengan sangat konsisten dan serius dalam membina institusi dan mewujudkan keadaan untuk ekonomi yang berfungsi dengan baik”.
“Kerjasama ini telah mengambil beberapa dimensi yang mempunyai kaitan dengan aplikasi nuklear, bukan sahaja tenaga nuklear pada dasarnya, tetapi juga aplikasi nuklear dalam perubatan, dalam makanan, pertanian, alam sekitar, dan lain-lain.
“Kami telah bekerjasama dengan pelbagai institusi Singapura. Kini, sudah tentu, terdapat minat untuk beralih ke tenaga nuklear, dan ini akan menambah kekerapan, mungkin intensiti, hubungan yang kita miliki,” kata Encik Grossi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg