Masyarakat Melayu/Islam Singapura kehilangan seorang tokoh masyarakat perintis yang telah mengabdikan hidupnya dengan penuh jiwa dan raga dalam memartabatkan kemaslahatan masyarakat Melayu/Islam, khususnya dalam bidang pendidikan.
Bahkan Allahyarham Shafawi Ahmad, 92 tahun, disifatkan sebagai seorang yang tegas, ikhlas dan tidak lelah bekerja keras di belakang tabir untuk menyemarakkan obor yang sehingga kini masih mekar menyala dalam badan agama dan masyarakat setempat.
Demikian dikongsi beberapa pemimpin masyarakat yang ditemui Berita Harian (BH) pada 12 Oktober ketika mereka hadir untuk memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham di kediamannya di Tagore Avenue dan di Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio, di mana jenazahnya disolatkan.
Sumbangan beliau yang tidak terkira itu dapat dilihat merentasi pelbagai peranan penting yang pernah digalasnya, termasuk sebagai anggota Majlis Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang paling lama berkhidmat, dari 1986 hingga 2020.
Sepanjang tempoh itu, beliau pernah memainkan peranan sebagai Pemangku Presiden Muis dari Januari hingga Jun 1991 dan Naib Presiden Muis dari Julai 1991 hingga Ogos 1995.
Antara lain, Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dari 1972 hingga 1978, dan 1981 hingga 1988, serta sebagai antara anggota pengasas Yayasan Mendaki pada 1982.
Mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Yatiman Yusof, semasa ditemui di kediaman Allahyarham, berkata Singapura kehilangan seorang “perwira masyarakat” yang telah mengorbankan hidupnya membina masyarakat Islam Singapura yang terpandang.
“Allahyarham merupakan seorang yang tidak banyak menguar-uar di depan media. Kerjanya senyap dibuat dengan cukup prihatin dan komitmen. Beliau bekerja dalam diam, bersungguh-sungguh, dan ini menjadi contoh kepada kita.
“Bak kata pepatah diam-diam ubi, tapi berisi, Allahyarham mencerminkan falsafah ini dalam kerja-kerja kemasyarakatannya dan sumbangannya yang telah beliau berikan sejak 1970-an hingga kini,” kata Encik Yatiman.
Mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Hawazi Daipi mengingati Allahyarham sebagai seorang yang bertungkus lumus membantu membangunkan masyarakat.
Sebagai Presiden 4PM, Allahyarham juga telah memberi peluang kepada anak muda, termasuk bagi Encik Hawazi sendiri dahulu, untuk tampil dan bersama-sama membangunkan masyarakat.
“Sebagai Presiden 4PM, beliau memberi dorongan yang sangat kuat kepada rakan-rakan saya yang sama usia dan sama muda untuk bergiat cergas dalam pembangunan masyarakat.
“Beliau memberi peluang kepada kami untuk menampilkan usaha kami melalui projek-projek yang beliau sokong. Beliau memberikan kami peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat,” kata Encik Hawazi.
Presiden 4PM sekarang, Encik Nassar Mohamad Zain, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang “gergasi” yang telah berkhidmat lama dalam masyarakat Melayu/Islam serta merupakan tokoh yang telah melakar hala tuju awal 4PM.
Sambil menahan sebak semasa bercakap dengan BH, beliau mengimbas kembali nasihat yang pernah diberikan oleh Allahyarham kepadanya tatkala beliau menggalas peranan sebagai Presiden 4PM.
“Nasihat beliau satu sahaja: jaga 4PM. Saya rasa itu adalah tanggungjawab yang berat.
“Tidak semua orang sanggup untuk melakukan peranan yang penting dalam masyarakat tapi beliau tampil dan telah menjadi inspirasi buat saya dan juga generasi pemimpin yang baru,” kata Encik Nassar.
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, yang turut hadir untuk menunaikan solat jenazah di Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio, mengingati Allahyarham sebagai seorang yang berjiwa masyarakat sejak 1970-an.
Beliau mengimbau jasa Allahyarham yang telah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Haji selama lebih dua dekad.
“Bersama beliau, saya juga berkhidmat dalam Jawatankuasa Haji dan saya dapati beliau seseorang yang amat tegas dari segi pendiriannya dan menganggap serius tanggungjawabnya kepada masyarakat.
“Saya dapati dalam tugasnya, beliau sangat prihatin tentang keperluan jemaah kita dari segi perubatan dan juga keselesaan mereka apabila mereka menunaikan haji,” katanya.
Dalam satu hantaran Facebook pada 11 Oktober, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut mengucapkan takziah dan mengiktiraf sumbangan Allahyarham.
“Saya berasa sedih mendengar berita pemergian Allahyarham Haji Shafawi Ahmad. Allahyarham telah mencurahkan seluruh kehidupannya kepada pendidikan, khidmat masyarakat dan usaha membangunkan masyarakat.
“Kepimpinannya telah melahirkan lebih ramai pendidik dan pemimpin belia yang terus berbakti dengan penuh semangat dan keikhlasan,” kata Dr Faishal.
Allahyarham, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 11 Oktober, meninggalkan seorang balu dan tiga anak.
Jenazah Allahyarham telah dibawa ke Masjid Al-Muttaqin, di mana beliau berbakti sebagai pengerusi dari 1988 hingga 1991, untuk disolatkan pada 12 Oktober selepas asar, dan selamat dikebumikan di Pusara Aman selepas itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg