Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan Naib Presiden Muis meninggal dunia

Oct 11, 2025 | 5:51 PM
Shafawi Ahmad, muis
Allahyarham Shafawi Ahmad merupakan anggota Majlis Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang paling lama berkhidmat, dari 1986 hingga 2020. Sepanjang tempoh itu, beliau pernah memainkan peranan sebagai Pemangku Presiden Muis dari Januari hingga Jun 1991 dan Naib Presiden Muis dari Julai 1991 hingga Ogos 1995.  - Foto FACEBOOK MUIS

Mantan Naib Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Allahyarham Shafawi Ahmad, telah meninggal dunia pada usia 92 tahun pada 11 Oktober.

Anak sulungnya, Encik Mustafa Shafawi, 63 tahun, berkata ayahnya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 11.15 pagi, 11 Oktober.

Menurutnya, Allahyarham masih mampu ke masjid untuk mendirikan solat Jumaat pada 10 Oktober, walau dalam keadaan bertongkat.

Pada pagi 11 Oktober, Encik Mustafa berkata Allahyarham mengadu tentang sakit di bahagian perutnya, lalu dibawa ke unit kemalangan dan kecemasan (A&E) hospital.

“Alhamdulillah, kami (sekeluarga) reda dengan pemergian beliau. Beliau telah menjalani kehidupan yang panjang dan baik.

“Sebagai seorang ayah, beliau sentiasa berpegang teguh pada prinsip dan mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi juga adil. Kami sangat merinduinya,” kata beliau semasa dihubungi Berita Harian (BH).

BH difahamkan jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di 11 Tagore Avenue pada pagi 12 Oktober.

Jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa ke Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio bagi solat jenazah selepas solat asar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak.

Seorang tokoh masyarakat yang disegani, Allahyarham menyumbang secara meluas kepada masyarakat termasuk menerusi Muis serta sektor masjid dan madrasah.

Menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi satu kenyataan, Muis berkata Allahyarham merupakan anggota Majlis Muis yang paling lama berkhidmat, dari 1986 hingga 2020.

Sepanjang tempoh itu, beliau pernah memainkan peranan sebagai Pemangku Presiden Muis dari Januari hingga Jun 1991 dan Naib Presiden Muis dari Julai 1991 hingga Ogos 1995.

“Sepanjang perkhidmatan beliau dalam Majlis Muis, Allahyarham terlibat dalam pelbagai keputusan dasar yang bertujuan memperkukuh kehidupan sosioagama dan kebajikan masyarakat Islam Singapura.

“Beliau melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh komitmen, dedikasi dan kebijaksanaan,” kata Muis dalam kenyataannya.

Menurut Muis, antara sumbangan lain Allahyarham, yang turut disampaikan Anugerah Jasa Cemerlang Muis pada 2020, ialah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Haji selama lebih dua dekad.

Allahyarham memastikan pengagihan kuota haji dilaksanakan secara adil dan berkesan, selain memastikan operasi tahunan haji berjalan lancar demi keselamatan dan kebajikan jemaah.

Allahyarham turut memimpin delegasi haji Singapura sebanyak tiga kali (1990, 1994 dan 2005), bersama pasukan doktor, jururawat dan pegawai kebajikan.

Sebagai Pengerusi Masjid Al-Muttaqin dari 1988 hingga 1991, Allahyarham menekankan peranan penting masjid sebagai pusat pendidikan Islam dan pembangunan sosial dalam kejiranan.

Allahyarham juga menerajui Jawatankuasa Pemandu bagi Pendidikan Madrasah Nasional yang memastikan kurikulum dan tahap pendidikan madrasah setara dengan piawai nasional, pada 2000.

Allahyarham juga merupakan antara anggota pengasas Yayasan Mendaki pada 1982 dan Pegawai Eksekutif Pendidikan pertama Mendaki, di mana beliau membimbing guru tuisyen serta membentuk struktur awal usaha pendidikan Mendaki.

“Sumbangan dan komitmen beliau meninggalkan legasi yang terus memberi manfaat kepada generasi sekarang,” ujar Mendaki.

Di peringkat nasional, Allahyarham turut menyumbang dalam beberapa lembaga dan jawatankuasa seperti Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Ncada) dan Jawatankuasa Probesyen.

Atas jasa dan sumbangan beliau, beliau dilantik sebagai Jaksa Pendamai pada 1989 dan anggota Majlis Presiden bagi Hak Kaum Minoriti dari 1996 hingga 2011.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut mengucapkan takziah dan mengiktiraf sumbangan Allahyarham dalam satu hantaran Facebook.

“Beliau mempunyai pengetahuan dan kepekaan yang sangat mendalam tentang masyarakat kita di peringkat akar umbi. Saya amat menghargai kebijaksanaannya dalam meneliti dan menangani isu-isu yang melibatkan masyarakat Islam.

Salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Khidmat bakti beliau dalam bidang pendidikan, masyarakat dan agama mencerminkan nilai amanah dan keikhlasan yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat kita,” tulisnya.

Dihubungi BH, Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin dan Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, berkata Allahyarham sentiasa memberi pandangan dan nasihat berharga kepada barisan kepimpinan Masjid Al-Muttaqin.

“Beliau seorang pemimpin veteran masjid yang berpandangan jauh dan amat menitikberatkan pendidikan masyarakat Islam,” katanya.

Encik Fairus berkata Allahyarham antara individu yang bertanggungjawab memperkenal Tadika Masjid Al-Muttaqin sebagai pendidikan awal bagi anak-anak.

“Program ini bukan sahaja memberikan pendedahan awal kepada nilai-nilai murni Islam, tetapi juga membina asas kemahiran penting sebagai persediaan untuk memasuki alam persekolahan.

“Selain itu, beliau turut aktif mengikuti program Santunan Emas di Masjid Al-Muttaqin setiap Rabu.

“Beliau sentiasa memberikan sokongan padu terhadap usaha kami serta berkongsi pandangan bernas untuk memperkukuh dan memperbaiki program masjid,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg