Singapura mengekalkan kedudukannya sebagai bandar paling mahal di dunia bagi golongan kaya buat tahun keempat berturut-turut.

Rekod itu mencerminkan nilai tinggi yang diletakkan oleh pelabur sejagat terhadap faktor kestabilan, mata wang kukuh serta perlindungan selamat bagi modal.

Tatkala golongan kaya mula menilai semula gaya hidup dan kemampanan kewangan mereka, tumpuan mereka kini beralih daripada faktor kos kepada nilai.

Mereka mencari bandar yang menawarkan gabungan terbaik antara kestabilan, mutu hidup serta keseimbangan antara pendapatan dengan perbelanjaan.

Demikian menurut Laporan Kekayaan dan Gaya Hidup Global Julius Baer 2026 yang diterbitkan pada 7 Julai.

Pengurus Cawangan Julius Baer Singapura, Encik Yee Kim Tan, berkata Singapura terus menonjol sebagai “pilihan semula jadi” ketika golongan berkenaan mempertimbangkan aset yang ingin dipegang dan lokasi aset tersebut patut disimpan.

“Ia (Singapura) dihargai atas faktor kestabilan, kedaulatan undang-undang yang kukuh serta rasa selamat yang ditawarkannya bagi perancangan jangka panjang.

“Bagi kebanyakan keluarga, ia merupakan sebahagian daripada peruntukan lebih luas dan disengajakan merentasi pelbagai wilayah, di samping Eropah dan benua Amerika,” katanya.

Kedudukan Singapura di tangga teratas Indeks Gaya Hidup bank Switzerland itu mencerminkan harga hartanah kediaman dan kereta yang tinggi – iaitu dua kategori yang membawa nilai wajaran tertinggi – selain kekuatan dolar Singapura berbanding dolar Amerika Syarikat.

Indeks Gaya Hidup Julius Baer menjejaki harga bagi sekumpulan 20 barangan dan perkhidmatan mewah – termasuk yuran sekolah privet, penjagaan kesihatan, hartanah kediaman dan kereta – di 25 bandar serata dunia.

Data berkenaan dikumpul dalam dua pusingan antara November 2025 dengan Mac 2026.

Singapura terus kekal sebagai tempat paling mahal di dunia untuk membeli kereta dan menduduki tempat ketiga bagi hartanah kediaman.

Sementara itu, Singapura, bersama Hong Kong, Shanghai, Sydney, Bangkok, Taipei, Tokyo, Jakarta, Mumbai dan Manila, berkongsi kedudukan pertama di peringkat sejagat sebagai wilayah paling mahal untuk melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Laporan itu menyatakan bahawa Asia Pasifik kini menjadi wilayah paling mahal untuk memperoleh segulung MBA.

Namun, meskipun Singapura menduduki tempat ketiga paling mahal bagi penjagaan kesihatan pada 2025, kedudukannya menjunam ke tangga ke-23 pada 2026.

Sao Paulo di Brazil, Zurich di Switzerland dan London masing-masing menduduki tiga tangga teratas bagi kategori berkenaan.

Zurich, yang sekian lama dianggap sebagai antara bandar paling mahal di dunia, naik daripada kedudukan kelima pada 2025 untuk mengambil alih tempat London sebagai bandar kedua paling mahal di dunia.

Kenaikan itu didorong oleh pengukuhan nilai mata wang franc Swiss berbanding dolar Amerika.

Kekuatan franc didorong oleh kestabilan politik dan kewangan Switzerland, yang menyaksikan franc bertindak sebagai aset simpanan nilai yang selamat ketika mengharungi tempoh tidak menentu, jelas laporan tersebut.

Monaco menduduki kedudukan tiga teratas buat kali pertama, sekali gus menurunkan Hong Kong ke tempat keempat. 

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pengukuhan mata wang euro yang meningkatkan kos keseluruhan dalam ukuran dolar Amerika, di samping harga hartanah kediaman lebih tinggi.

Mata wang bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi indeks 2026 tersebut.

Peningkatan kos bahan mentah – terutama emas yang nilainya melonjak lebih dua kali ganda sejak 2024 – turut menyebabkan kenaikan harga barangan mewah seperti barang kemas dan jam tangan.

Meskipun harga lebih tinggi, permintaan daripada pengguna kaya kekal berdaya tahan. 

Keadaan itu membolehkan jenama mewah terus menaikkan harga bagi mengekalkan sifat eksklusif mereka, selain menyelaraskan harga sejagat dengan perubahan mata wang, logistik dan tarif.