Singapura mengekalkan kedudukan sebagai pasport paling berkuasa dunia.
Rakyatnya menikmati perjalan tanpa visa ke 195 dari 227 destinasi pelancongan.
Demikian menurut Indeks Pasport Henley 2025.
Indeks itu mengeluarkan dua set kedudukan pada 2024.
Singapura berkongsi kedudukan teratas dengan lima negara lain pada Januari 2024, tetapi merebut semula kedudukan tunggal sebagai pasport paling berkuasa di dunia pada Julai 2024.
Dalam indeks terkini yang dikeluarkan pada 8 Januari, Jepun berada di tempat kedua, dengan rakyatnya mempunyai akses ke 193 destinasi tanpa visa.
Finland, Perancis, Jerman, Italy, Korea Selatan dan Sepanyol berkongsi kedudukan ketiga dengan akses ke 192 destinasi.
Sebaliknya, Afghanistan, Syria dan Iraq mempunyai pasport yang paling kurang berkuasa.
Pemegang pasport Afghanistan boleh memasuki hanya 26 destinasi tanpa visa, manakala pemegang pasport Syria boleh memasuki 27 destinasi dan Iraq membenarkan rakyatnya ke 31 destinasi.
Sementara itu, pasport China telah mencapai kemajuan ketara sepanjang dekad lalu, meningkat daripada tempat ke-94 pada 2015 ke tempat ke-60 pada 2025, dengan rakyatnya menikmati perjalanan tanpa visa ke 40 lagi destinasi.
Sebaliknya, Amerika Syarikat mengalami kemerosotan dari segi daya kekuatan pasport mereka, dari tempat kedua pada 2015 kepada kedudukan kesembilan.
Indeks Pasport Henley menilai kuasa pasport berdasarkan data Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) dan penyelidikannya sendiri.
Ia menyenaraikan negara berdasarkan bilangan destinasi yang boleh diakses warganegara mereka tanpa visa, atau visa semasa ketibaan, visa elektronik, atau pengaturan serupa tersedia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg