Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura kekalkan keharmonian, ambil pendirian sifar toleransi terhadap ucapan kebencian

Dec 31, 2025 | 5:22 PM
k shanmugam, Charis Tabernacle, bertafakur untuk mangsa gaza
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam (dua dari kanan, kemeja hijau) serta pemimpin agama dan sukarelawan dirakam dalam sesi bertafakur seminit semasa acara membungkus bantuan kemanusiaan bagi Gaza pada 31 Disember di gereja Charis Tabernacle, di Tanjong Katong Road. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Singapura, sebuah negara kecil yang majmuk, berjaya memelihara keharmonian sosial, didukung oleh rangka kerja kukuh yang menggariskan batasan jelas terhadap ucapan yang menyerang kaum atau agama, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam pada 31 Disember.

Bagaimanapun, dengan kejadian terbaru di dalam dan luar negara, beliau menambah, terdapat pengajaran yang boleh diambil oleh Singapura, sambil menekankan Singapura mengamalkan pendirian sifar toleransi terhadap ucapan kebencian.

“Keadaan kelahiran Singapura, jika kita kembali ke 1965 dan sedikit sebelumnya, berlaku rusuhan kaum dan konfrontasi agama.

“Kita mempunyai satu kelompok pemimpin yang, dengan mengambil kira keadaan itu, telah mewujudkan satu rangka kerja, khususnya mengenai kebebasan bersuara dan ucapan kebencian, dengan menetapkan garis panduan yang sangat jelas, tiada ucapan kebencian yang melampaui atau menyerang kaum atau agama lain.

“Jadi, keadaan kita berbeza. Kita kecil, berbilang kaum dan budaya sejak lahir, dengan satu set keadaan yang sangat berbeza yang membawa kepada kemerdekaan negara.

“Dalam rangka kerja itu, saya rasa kita telah melakukannya dengan agak baik. Tetapi kita juga mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di tempat lain,” ujar Encik Shanmugam.

Beliau berkongsi demikian ketika ditemui pihak media di gereja Charis Tabernacle, di Tanjong Katong Road, semasa edisi kelima membungkus bantuan kemanusiaan bagi Gaza.

Encik Shanmugam merujuk kepada kejadian dalam negara seperti kes penghantaran bungkusan daging babi ke beberapa masjid; peletakan barangan menyerupai alat letupan buatan di premis Gereja St Joseph; kes contengan grafiti di Praisehaven – The Salvation Army; dan serangan di Pantai Bondi, Sydney, Australia.

Menjelaskan perbezaan antara insiden di dalam dan luar negara itu beliau berkata, berdasarkan kenyataan pemerintah Australia, kejadian di Pantai Bondi adalah satu peristiwa pengganasan yang jelas, jumlah mangsa yang terkorban juga serius.

Mengulas lanjut, beliau membandingkan masyarakat maju yang pesat membangun, seperti Australia, United Kingdom, yang telah melalui tempoh panjang untuk bersatu sebagai sebuah negara.

Masyarakat sedemikian mempunyai nilai teras yang kuat tentang makna negara bagi mereka, dan keupayaan untuk berbincang secara terbuka walaupun melangkaui batas kaum dan agama, kata Encik Shanmugam.

Namun, nilai asal itu, dalam dua atau tiga dekad kebelakangan ini, telah terhakis oleh media sosial, insiden antarabangsa, dan ucapan kebencian di seluruh dunia, di samping kemasukan imigran dan individu dengan pandangan berbeza.

Hal tersebut berbeza dengan Singapura yang telah memperkukuh rangka kerja dan menggubal lebih banyak undang-undang mengenai ucapan kebencian dan kebebasan bersuara.

Bagi insiden penghantaran daging babi ke masjid, beliau berkata suspek masih dalam proses pendakwaan, dan kejadian itu tidak kelihatan seperti masjid menjadi sasaran utama.

“Sasaran sebenar adalah orang lain. Jadi, dari sudut itu, ia bukan serangan yang disengajakan terhadap masjid, sasarannya adalah orang lain dengan motif tertentu.

“Bagi kejadian vandalisme, siasatan masih berjalan. Manakala ancaman bom, kesannya sudah jelas dengan sendirinya,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg