Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee hadiri upacara diraja sempena ulang tahun ke-80 Sultan Hassanal Bolkiah
SM Lee hadiri upacara diraja sempena ulang tahun ke-80 Sultan Hassanal Bolkiah
SM Lee hadiri upacara diraja sempena ulang tahun ke-80 Sultan Hassanal Bolkiah
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menghadiri perbarisan kawalan kehormatan diraja dan istiadat penganugerahan pada 15 Julai sebagai sebahagian daripada sambutan rasmi ulang tahun Sultan Hassanal Bolkiah.
Encik Lee juga berkesempatan bertemu Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Istana Nurul Iman di samping mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, dan isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Encik Lee, yang berada di Brunei selama lima hari dari 14 hingga 17 Julai, mewakili pemerintah Singapura sempena sambutan ulang tahun tersebut.
Demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang dikeluarkan pada 13 Julai.
Beliau juga akan menghadiri jamuan diraja pada 16 Julai, selain dijadual bertemu anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang menjalani latihan di negara itu.
Encik Lee diiringi isterinya serta Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming.
Kali terakhir Encik Lee melawat Brunei adalah lebih dua tahun lalu, kata beliau dalam satu hantaran media sosial pada 14 Julai.
“Kedua-dua negara berkongsi satu persahabatan istimewa yang dibina atas kepercayaan yang terjalin sejak sekian lama, kerjasama erat serta hubungan kukuh antara rakyat,” kata beliau.
Sempena ulang tahun ke-80 Sultan Hassanal Bolkiah, Encik Lee turut menulis surat tahniah kepada beliau.
Encik Lee berkata bahawa beliau amat berbesar hati dapat bersama-sama meneruskan persahabatan istimewa yang berteraskan kepercayaan antara Singapura dengan Brunei.
Beliau turut melahirkan rasa gembira melihat generasi baharu pemimpin di kedua-dua negara memahami sepenuhnya betapa pentingnya hubungan antara kedua-dua negara itu dan komited untuk terus memperkukuhkannya pada masa hadapan.
