S’pura komited perkukuh kerjasama antarabangsa tangani isu dadah
S’pura komited perkukuh kerjasama antarabangsa tangani isu dadah
Ingin terus sumbang melalui dasar berasas bukti bersama negara anggota Suruhanjaya Dadah Narkotik
Tiada negara yang mampu menangani masalah dadah dunia secara bersendirian, dan Singapura kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa bagi menangani isu itu secara berkesan.
Demikian kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim semasa menyampaikan Kenyataan Nasional Singapura di sesi ke-69 Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) yang diadakan di Vienna, Austria pada 9 Mac.
Dalam ucapannya, Dr Faishal berkata Singapura bersedia untuk memainkan peranan yang membina, dan bekerjasama dengan negara anggota bagi memangkin tindakan dan melindungi kesihatan, keselamatan, serta kesejahteraan rakyat.
“Singapura juga bekerjasama rapat dengan negara-negara jiran dalam Asean.
“Kami mengesahkan semula visi kami ke arah ‘Asean Bebas Dadah’ dan pendekatan toleransi sifar kami terhadap dadah haram,” kata Dr Faishal.
Semasa berucap, Dr Faishal turut menarik perhatian kepada statistik global yang membimbangkan, di mana jumlah pengguna dadah pada 2023 dianggarkan telah mencecah 316 juta orang.
Jumlah ini mencerminkan peningkatan sebanyak 8 peratus berbanding pada 2022, tambah Dr Faishal.
“Penyalahgunaan methamphetamine atau dikenali sebagai Ice, kekal menjadi kebimbangan serius bagi Asia Timur dan Tenggara, merangkumi kira-kira 70 peratus daripada semua individu yang menjalani rawatan untuk gangguan penggunaan dadah,” kata Dr Faishal.
Sebagai bukti kesungguhan dalam menyumbang kepada dasar dadah global, Dr Faishal berkata Singapura telah mengumumkan pencalonan bagi penggal kedua sebagai ahli CND bagi tempoh 2028 hingga 2031.
Singapura juga ingin terus menyumbang secara membina melalui dasar-dasar berasaskan bukti, dengan kerjasama erat dengan Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) dan negara-negara anggota CND yang lain.
“Selaras dengan komitmen ini, Singapura menaja satu bab dalam Laporan Dadah Dunia 2025 dan akan menaja bab tematik kedua dalam Laporan Dadah Dunia 2026, yang mengkaji kesan penggunaan dadah terhadap keselamatan awam,” kata Dr Faishal.
Acara di Vienna itu berlangsung dari 9 hingga 13 Mac, dan turut dihadiri pegawai dari Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB).
Selain penyampaian kenyataan rasmi, delegasi Singapura turut mengadakan pertemuan dua hala dengan 14 buah negara serta pemimpin badan antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama keselamatan.
Satu Forum Belia UNODC turut dianjurkan di luar mesyuarat CND untuk belia dari seluruh dunia bertukar pandangan mengenai dasar kawalan dadah dan membangunkan satu kenyataan bersama yang akan disampaikan kepada pembuat dasar di mesyuarat CND.
Mewakili Singapura di forum tersebut ialah Encik Mas Haziq Solihin Mas Omar, seorang belia yang telah menyumbang masa sebagai sukarelawan Rangkaian Advokasi SGBebasDadah.
Anak muda tersebut telah terlibat dalam pelbagai inisiatif untuk menguatkan mesej bebas dadah termasuk menyumbang kisah amaran untuk surat berita Advokasi SGBebasDadah bagi mengetengahkan bahaya dan akibat yang didorong oleh rasa ingin tahu tentang dadah.

