Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura kongsi falsafah pastikan setiap warga main peranan jayakan negara

Jun 19, 2024 | 4:00 PM
Forum Tadbir Urus Sosial (SGF) Singapura-China Keempat di Hotel Shangri-La pada 19 Jun dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean (kiri), dan Anggota Biro Politik Parti Komunis China (CPC) yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pusat Suruhanjaya Hal Ehwal Politik dan Undang-Undang (PLAC) CPC, Encik Chen Wenqing (kanan). Turut hadir dan menyampaikan ucapan semasa forum tersebut ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah).
Forum Tadbir Urus Sosial (SGF) Singapura-China Keempat di Hotel Shangri-La pada 19 Jun dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean (kiri), dan Anggota Biro Politik Parti Komunis China (CPC) yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pusat Suruhanjaya Hal Ehwal Politik dan Undang-Undang (PLAC) CPC, Encik Chen Wenqing (kanan). Turut hadir dan menyampaikan ucapan semasa forum tersebut ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah). - Foto ST

Dalam hal tadbir urus sosial, Singapura berpegang teguh pada falsafah memastikan setiap warga mempunyai peranan dalam kejayaan Singapura secara keseluruhan.

Ini dilakukan melalui tiga bidang utama – mengurus kaum dan agama yang berbeza; menguruskan hubungan pekerja melalui kerjasama tiga pihak; dan memupuk rasa pemilikan melalui perumahan dan masyarakat setempat.

Demikian dikongsi Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, dalam ucaptamanya semasa Forum Tadbir Urus Sosial (SGF) Singapura-China Keempat di Hotel Shangri-La pada 19 Jun.

Encik Teo berkata semasa Singapura di bawah jajahan British, penduduk berlainan bangsa dan agama dipisahkan dan tinggal dalam kawasan masing-masing.

Namun, apabila Singapura merdeka, model tersebut tidak lagi sesuai.

“Kami harus bersatu sebagai satu warga. Pengalaman yang kami lalui bersama telah membentuk nilai dan pendekatan kami terhadap pembangunan negara.

“Setiap warga Singapura, tanpa mengira kaum atau agama mereka, akan mempunyai kepentingan yang sama di Singapura,” katanya.

Prinsip layanan sama rata ini membentuk sistem tadbir urus Singapura pada asasnya, jelas beliau.

Ini dilakukan dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang dikongsi sama, memberi semua orang tidak kira latar belakang bahasa mereka, pengalaman yang saksama untuk berjaya di tempat kerja.

Singapura juga telah membentuk sistem politiknya dengan memastikan kaum minoriti diwakili.

Ini dilakukan dengan adanya Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) bagi memastikan golongan minoriti tetap diwakili di Parlimen.

Singapura turut memupuk rasa pemilikan dalam kemajuan Singapura dalam warganya melalui hubungan dengan pekerja.

Ini dilakukan melalui perkongsian tiga pihak yang unik antara pekerja, majikan dan pemerintah.

Cara ketiga Singapura memupuk rasa pemilikan dalam diri warganya adalah melalui perumahan, jelas Encik Teo.

“Sejak merdeka, bapa pengasas kita mahu membina masyarakat pemilik rumah, supaya setiap rakyat mempunyai kepentingan sebenar dalam negara.

“Pemilikan rumah telah membantu memupuk rasa berakar umbi (sense of rootedness) di Singapura.

“Warga Singapura juga tahu bahawa rumah mereka memberi mereka kepentingan yang ketara dan berharga dalam pertumbuhan Singapura.

“Jika Singapura stabil dan makmur, rumah mereka akan menjadi simpanan nilai yang baik.

“Pemilikan rumah mendorong warga Singapura untuk bekerja keras dan melabur dalam membina Singapura yang lebih baik,” ujar Encik Teo.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkongsi tentang usaha Singapura dalam peneguhan kompak sosial melalui pengukuhan keluarga dan mengekalkan mobiliti sosial dalam ucapannya di forum tersebut.

“Agenda utama di hadapan Singapura ialah membina Singapura Mesra Keluarga, sebuah Singapura yang menyokong keluarga merentasi pelbagai bab kehidupan. Dan usaha untuk mengukuhkan keluarga ini adalah usaha seluruh masyarakat,” kata Encik Masagos.

Beliau turut mengetengahkan isu mobiliti sosial sebagai antara cabaran utama yang dihadapi negara ini.

“Kami mahu menjadi sebuah masyarakat dengan warga Singapura akan sentiasa mempunyai peluang membentuk kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri, tanpa mengira permulaan mereka.

“Kami mahu mengelak daripada menjadi seperti negara lain dengan peningkatan ketidaksamaan sosial membawa kepada pelapisan masyarakat – ketidakpercayaan yang semakin meningkat terhadap pemerintah dan perpecahan dalam kalangan rakyat,” tambahnya.

SGF merupakan antara wadah kerjasama dua hala antara Singapura dengan China dan memberi peluang kepada kedua-dua negara bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman mengenai perkara berkaitan dengan tadbir urus sosial.

SGF keempat itu dipengerusikan bersama oleh Encik Teo dan Anggota Biro Politik Parti Komunis China (CPC) yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pusat Suruhanjaya Hal Ehwal Politik dan Undang-Undang (PLAC) CPC, Encik Chen Wenqing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg