Singapura dan Korea Selatan menegaskan semula “perkongsian yang kukuh dan telah lama bertahan” semasa lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, ke negara itu.
Encik Heng dijemput rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Dr Lee Ju-ho, untuk makan tengah hari di Seoul pada 19 November, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan.
“Mereka telah mengadakan perbincangan produktif mengenai peluasan kerjasama dalam bidang sains dan penyelidikan antara universiti dengan institut penyelidikan mereka, serta menterjemahkan (kerjasama) ini ke dalam inovasi dan hasil perusahaan, bagi memacu pertumbuhan ekonomi masa depan,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, Encik Heng dan Dr Lee turut berbincang mengenai kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pendidikan lain untuk menyokong pelajar dan guru dengan lebih baik, serta meningkatkan hasil pembelajaran.
Mereka juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama bagi meningkatkan hubungan antara kededua negara kepada Perkongsian Strategik menjelang 2025, bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Korea Selatan.
Encik Heng, yang juga pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), berada di Korea Selatan dari 17 hingga 21 November, lapor The Straits Times (ST).
Selain berada di Seoul, beliau telah melawat wilayah Gyeonggi, dan dijamu makan malam oleh Gabenor Kim Dong-yeon.
Di Gyeonggi, Encik Heng mengunjungi Pangyo Technovalley, Gwanggyo Bio Hub dan Kubu Hwaseong di Suwon.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menyifatkan kedudukan Gyeonggi sebagai pusat ekonomi dan inovasi.
Menurutnya, terdapat “banyak peluang kerjasama antara syarikat-syarikat kita di Singapura dengan Gyeonggi untuk memanfaatkan sains, teknologi, dan inovasi bagi mencipta peluang baru dan pekerjaan untuk rakyat kita”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg