Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Korea S tingkat hubungan ke arah perkongsian strategik
S’pura, Korea S tingkat hubungan ke arah perkongsian strategik
Lawatan kerja Vivian ke 13 negara penting bagi S’pura perkukuh hubungan, daya tahan dalam pelbagai aspek
S’pura, Korea S tingkat hubungan ke arah perkongsian strategik
Dalam dunia yang semakin tidak menentu dan berpecah belah, peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik mencerminkan komitmen antara Singapura dengan Korea Selatan untuk memperhebat kerjasama, terutamanya dalam bidang yang kian berkembang.
Menerusi hantaran Facebook pada 28 Mei, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menegaskan bahawa hubungan sekian lama dan pelbagai bentuk antara Singapura dengan Korea Selatan adalah berteraskan hubungan ekonomi yang kukuh, ikatan sesama rakyat yang teguh, serta momentum pertukaran pada peringkat tinggi yang tekal sejak kebelakangan ini.
Dr Balakrishnan telah mengadakan lawatan kerja beliau ke Asia Timur Laut, di mana beliau telah melawat China dari 24 hingga 26 Mei, Korea Utara (26 hingga 27 Mei), sebelum ke Korea Selatan (27 hingga 28 Mei).
Semasa di Korea Selatan, Dr Balakrishnan bertemu dengan Menteri Luar negara itu, Encik Cho Hyun, di Seoul.
“Kami mengesahkan semula hubungan kukuh antara Singapura dengan Korea Selatan, sambil meraikan kejayaan melaksanakan Perkongsian Strategik kami.
“Kami juga membincangkan cara-cara untuk terus memperkukuhkan kerjasama Asean dan Korea Selatan dalam aspek menyatukan ekonomi, ketersambungan digital serta daya ketahanan serantau.
“Korea Selatan merupakan rakan kongsi Dialog Asean yang penting, dan juga penyokong kuat kepada Keutamaan Asean, dengan ikatan yang mendalam dan lama terjalin dengan Asia Tenggara,” kata Dr Balakrishnan dalam hantaran tersebut.
Menurutnya, beliau juga bertemu dengan Pengarah Keselamatan Nasional, Encik Wi Sung Lac, Menteri Penyatuan Semula, Encik Chung Dong Young dan Ahli Perhimpunan Kebangsaan merangkap Pengerusi Kumpulan Persahabatan Parlimen Korea Selatan-Singapura, Cik Lee Un Ju.
Dalam pertemuan beliau itu, Dr Balakrishnan berkata beliau telah mengadakan perbincangan yang luas mengenai perkembangan serantau dan sejagat, termasuk keadaan di Timur Tengah, Asia Timur Laut, hubungan Amerika Syarikat dengan China dan Semenanjung Korea.
Mengenai keadaan di Timur Tengah, Dr Balakrishnan dan rakan sejawatnya mengesahkan semula kepentingan menegakkan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) 1982, serta hak laluan transit tanpa halangan melalui Selat yang Digunakan untuk Pelayaran Antarabangsa.
Mereka juga menegaskan kepentingan aliran trafik maritim di Selat Hormuz dipulih, tambah beliau.
“Sebagai negara yang mempunyai pandangan serupa dan bergantung kepada perdagangan, Singapura dan Korea Selatan akan terus bekerjasama bagi menegakkan perdagangan secara bebas, perintah pelbagai hala berasaskan peraturan, serta keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata Dr Balakrishnan di Facebook.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 28 Mei, Dr Balakrishnan dan Encik Cho Hyun, menaruh harapan mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Berpandu Bersama antara kedua-dua Kementerian Ehwal Luar pada 2026, serta penyelesaian perundingan bagi menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas Korea-Singapura.
Kedua-dua menteri turut bersetuju mengenai kepentingan memperhebatkan kerjasama antara Asean dengan Korea Selatan.
Menurut MFA, Dr Balakrishnan menggariskan bahawa Singapura, selaku penyelaras bagi hubungan ekonomi Asean-Korea Selatan, berharap dapat bekerjasama rapat dengan Korea Selatan dalam usaha menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas Asean-Korea (AKFTA).
Sementara itu semasa pertemuan beliau dengan media Singapura pada 28 Mei, Dr Balakrishnan telah merumuskan lawatan kerjanya ke 13 negara dalam tempoh sebulan yang lalu, termasuk negara di Timur Tengah, Amerika Selatan, Asia Tenggara dan Asia Timur Laut.
Dr Balakrishnan menekankan bahawa lawatan tersebut amat penting bagi negara kecil seperti Singapura bagi memperkukuh hubungan dan daya tahan dalam pelbagai aspek, terutama di tengah-tengah ketidaktentuan sejagat akibat perang dan konflik.
Mengenai perkembangan di Timur Tengah, Dr Balakrishnan berkata Singapura dan negara di situ berkongsi pendirian terhadap kepentingan memastikan Selat Hormuz kekal terbuka sebagai, aliran tenaga dan bekalan lain ke dan dari Selat Hormuz lancar.
Selain itu, beliau menyifatkan negara-negara yang dilawat sebagai rakan kongsi dan sumber bekalan tenaga yang penting untuk Singapura, sekali gus menegaskan kepentingan untuk terus menzahirkan sokongan terhadap mereka.
Dr Balakrishnan juga melawat tiga negara di Amerika Selatan – Panama, Guyana dan Suriname – di mana beliau memperkukuhkan hubungan di aspek seperti kerjasama ekonomi, daya ketahanan rantaian bekalan, pengurusan pelabuhan dan lain-lain.
Dr Balakrishnan menegaskan bahawa hubungan bersama China “berada dalam keadaan yang amat baik”, setelah menilai semula projek bersama China dengan Menteri Ehwal Luar China, Encik Wang Yi.
Antara topik yang disentuh, ialah komitmen Singapura dan China terhadap mengekalkan operasi Selat yang Digunakan untuk Pelayaran Antarabangsa (SUIN) agar terus terbuka pada setiap masa, baik dalam keadaan aman mahupun ketika berdepan dengan tempoh yang mencabar.
Dr Balakrishnan turut berkongsi beberapa perkembangan di Korea Utara selepas lawatan terakhirnya pada 2018, seperti perkembangan ekonomi dan prasarana.
Namun, beliau juga menampilkan pendirian teguh Korea Utara untuk menolak penyatuan semula dengan Korea Selatan.
Korea Utara juga enggan melibatkan diri dengan hubungan luar, termasuk dengan Amerika Syarikat dan Korea Selatan, dan telah memilih untuk memperkukuhkan daya ketahanan dan keupayaan pertahanan.
Bagaimanapun, Dr Balakrishnan tetap menyeru pihak Korea Utara agar mempertimbangkan penglibatan di peringkat antarabangsa yang sesuai.
Mengulas pertanyaan media tentang bagaimana lawatan kerjanya dapat membentuk keutamaan Singapura sebelum menjadi Pengerusi Asean pada 2027, Dr Balakrishnan menegaskan bahawa pertemuan secara bersemuka semakin penting untuk memperkukuhkan dan memperluaskan hubungan di tengah-tengah konflik sejagat, rantaian bekalan yang terjejas serta ketidaktentuan hubungan diplomatik.
“Bagi Asean, agenda mengenai penyepaduan yang lebih mendalam, memastikan Asean kekal aman, serta usaha mempertingkat integrasi dan kerjasama erat, termasuk memperluas perdagangan, pelaburan, dan ketersambungan, adalah perkara yang amat baik untuk dilaksanakan,” kata Dr Balakrishnan.
Sambil itu, bagi negara kecil seperti Singapura yang bergantung kepada perdagangan, keadaan maritim dan rantaian bekalan yang stabil, kesejahteraan antara pelbagai negara di peringkat serantau dan sejagat amat penting, tambah Dr Balakrishnan.
“Perkara utamanya ialah perintah dunia masih belum stabil, jadi kita kini berada dalam fasa peralihan antara perintah dunia lama dengan perintah dunia baharu.
“Bagi sebuah negara kota yang kecil seperti Singapura, yang mempunyai kepentingan kritikal di China dan Amerika, dan juga terhadap kelancaran keseluruhan sistem globalisasi berasaskan peraturan, undang-undang antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Piagam PBB, ia amat penting untuk kita bersikap sangat peka dan memahami apa yang sedang berlaku,” ujar Dr Balakrishnan.
