SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin bertemu Menteri Pertahanan Ng Eng Hen di Singapura semalam, dengan kededua pemimpin mengesah semula hubungan pertahanan dan melahirkan harapan melanjutkan kerjasama dalam bidang seperti pertahanan siber dan komunikasi strategik.
Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata Dr Ng dan Encik Austin mengesahkan semula hubungan pertahanan dua hala yang sangat baik dan lama dalam pertemuan mereka, dan menyatakan kepuasan bahawa kerjasama ketenteraan kekal kukuh meskipun berlaku pandemik Covid-19.
Mereka juga bertukar pandangan mengenai pembangunan geopolitik dan isu keselamatan serantau dan bersetuju mengenai pentingnya keterlibatan berterusan Amerika Syarikat di rantau ini.
Encik Austin, jeneral empat bintang yang sudah bersara, sedang membuat lawatan perkenalan ke Singapura sejak kelmarin hingga hari ini, sebagai sebahagian lawatan pertama ke Asia Tenggara oleh seorang anggota kanan pentadbiran Presiden AS Joe Biden.
Semalam, beliau juga bertemu Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Istana.
Menulis mengenai pertemuan itu di Facebook, Encik Lee berkata beliau dan Encik Austin mengadakan perbincangan baik mengenai perkembangan antarabangsa dan di rantau ini, selain berhubung kerjasama pertahanan.
Encik Austin telah melawat Vietnam sebelum ke Singapura dan dijadual pergi ke Filipina sebelum pulang ke Washington.
Beliau menyampaikan ucapan bertajuk 'The Imperative Of Partnership' di The Fullerton Hotel semalam, dan antara lain menyentuh mengenai usaha Amerika bekerjasama dengan rangkaian sekutu dan rakan kongsinya untuk memodenkan keupayaan, antara perkara lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg