Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, M’sia undi sokong resolusi PBB bagi konflik Israel-Hamas

Oct 30, 2023 | 7:38 PM
NYAWA TERANCAM: Kepulan asap dilihat semasa pengeboman Israel di Jaluran Gaza pada 30 Oktober.
NYAWA TERANCAM: Kepulan asap dilihat semasa pengeboman Israel di Jaluran Gaza pada 30 Oktober. - Foto AFP

Kedua-dua Singapura dan Malaysia mengundi dalam menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa bagi bantuan kemanusiaan dan membawa pendamaian demi kemanusiaan dalam konflik Israel-Hamas.

Ini walaupun kededua negara mempunyai perbezaan hubungan dengan Israel dan Pihak Berkuasa Palestin.

Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, berkata perbezaan seperti itu dalam situasi diplomatik mereka tidak akan menjejaskan hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama untuk Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia di Istana pada Isnin.

Rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan resolusi PBB baru-baru ini yang menggesa gencatan senjata di Timur Tengah.

“Kedudukan itu disokong bersama oleh kededua negara dan majoriti negara di dunia,” kata Datuk Anwar.

Enck Lee menambah, kededua Singapura dan Malaysia telah menyuarakan pandangan masing-masing mengenai konflik itu.

“Singapura telah membuat kenyataan berulang kali mengenainya dan mengutuk apa yang berlaku… dan berharap bahawa kededua pihak dapat mencapai kemajuan ke arah penyelesaian dua negara yang dirundingkan pada Timur Tengah,” kata beliau.

Mengenai Malaysia, Encik Lee berkata: “Situasi mereka tidak sama dengan kami sebab kami mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

“Jadi, situasi diplomatik tidak sama, tetapi tiada sebab untuknya menyebabkan kesukaran antara Malaysia dan Singapura,” kata Encik Lee.

Kededua pemimpin itu memberi komen tersebut apabila ditanya oleh media apakah pendekatan khusus yang akan diambil oleh negara mereka untuk memastikan bahawa reaksi terhadap perang Israel-Hamas dan sentimen awam tidak mempunyai kesan limpahan, terutamanya dalam pelaburan bersama, kerjasama dua hala dan hubungan yang telah lama terjalin.

Encik Anwar berkata apa yang genting buat masa ini ialah keamanan dan untuk menghentikan pembunuhan orang awam, bayi dan wanita.

Jelasnya, beliau telah berhubung dengan ramai pemimpin Arab dan telah menyatakan sokongan Malaysia untuk penyelesaian konflik secara aman.

Encik Anwar berada di Singapura sejak  Ahad untuk Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia yang ke-10 atas jemputan Encik Lee.

Rahat Pemimpin dua hari itu, yang merupakan wadah tahunan utama bagi kedua-dua perdana menteri bertemu dan membincangkan isu dua hala, adalah yang pertama diadakan sejak pandemik Covid-19 melanda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg