Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel gempur utara Gaza, perluas serangan darat ke atas Hamas

Lagi lebih 30 trak bantuan memasuki Gaza: PBB
Oct 30, 2023 | 5:39 PM

BELUM REDA: Asap kelihatan berkepul-kepul semasa serangan Israel ke atas Gaza pada Isnin, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dengan Hamas. 
BELUM REDA: Asap kelihatan berkepul-kepul semasa serangan Israel ke atas Gaza pada Isnin, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dengan Hamas.  - Foto REUTERS

GAZA: Penduduk Palestin di utara Gaza telah melaporkan serangan udara dan artileri yang sengit ketika tentera Israel yang disokong oleh kereta kebal melakukan serangan darat ke dalam wilayah tersebut – sesuatu yang menarik peningkatan seruan antarabangsa untuk melindungi orang awam, lapor agensi berita Reuters.

Serangan udara Israel berkisar di kawasan berhampiran hospital Shifa dan Al-Quds di Gaza, dan militan Palestin bertempur dengan tentera Israel di kawasan sempadan timur bandar Khan Younis, di selatan kawasan itu, lapor media Palestin.

Tiada komen daripada Hamas atau tentera Israel mengenai pertempuran pada awal Isnin itu.

Pengeboman itu berlaku beberapa jam selepas Israel mengeluarkan imej kereta kebalnya berada di pantai barat wilayah Palestin, menandakan potensi usahanya untuk mengepung bandar utama Gaza.

Beberapa gambar yang disiarkan dalam talian juga menunjukkan tentera Israel mengibarkan bendera Israel jauh di dalam Gaza.

Dalam masa yang sama, lebih 30 trak bantuan memasuki Gaza, pada Ahad – konvoi terbesar sejak seminggu lalu ke wilayah Palestin yang sedang diserang.

OCHA, agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata sejumlah 33 trak yang membawa air, makanan dan bekalan perubatan ke Gaza melalui sempadan Rafah dan Mesir.

“Ini penghantaran bantuan kemanusiaan terbesar sejak 21 Oktober, dengan penghantaran terhad diteruskan,” kata OCHA dalam kemas kini mengenai situasi di Gaza, awal Ahad.

Fasa kedua serangan Israel dalam perang tiga minggu menentang Hamas itu sebahagian besarnya telah dijauhkan daripada pandangan umum, dengan pasukannya bergerak di bawah kegelapan dan pemadaman khidmat telekomunikasi – telefon dan Internet – pada Ahad.

Syarikat pembekal telekomunikasi Paltel berkata bahawa serangan udara Israel telah menyebabkan perkhidmatan Internet dan telefon terputus di bahagian utara Gaza tetapi dipulihkan selepas 34 jam.

Selain menimbulkan suasana panik, gangguan itu juga telah menjejas operasi menyelamat mangsa yang cedera semasa serangan Israel.

Serangan yang dilaporkan berhampiran hospital berlaku selepas Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata pada Ahad bahawa ia telah menerima amaran daripada pihak berkuasa Israel supaya segera mengosongkan hospital Al-Quds yang juga merupakan tempat perlindungan bagi 14,000 penduduk.

Israel menuduh Hamas menempatkan pusat arahan dan infrastruktur ketenteraan lain di hospital Gaza, sesuatu yang dinafikan oleh kumpulan itu.

Pegawai Palestin berkata kira-kira 50,000 orang juga berlindung di Hospital Shifa yang juga terdedah kepada ancaman Israel yang berterusan terhadap kemudahan itu.

Israel telah mengetatkan sekatan dan mengebom Gaza sejak Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober yang menyebabkan sekitar 1,400 orang terbunuh dan lebih 220 orang ditawan sebagai tebusan.

Israel berkata ia mahu memusnahkan kumpulan militan itu. Tindakan tentera Israel itu telah mengorbankan lebih 8,000 orang di Gaza.

Serangan tanpa henti Israel itu telah menarik kecaman dan seruan antarabangsa agar kedua-dua pihak menghentikan sementara peperangan bagi membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza.

Dalam pada itu, rundingan yang diusahakan Qatar antara Israel dan Hamas diteruskan pada Ahad. Perbincangan juga menyentuh kemungkinan pembebasan tebusan, kata satu sumber.

Menurut laporan, Hamas mahukan pertempuran dihentikan selama lima hari bagi membolehkan bantuan dan bahan api disalurkan ke Jaluran Gaza sebagai balasan kepada pembebasan semua tebusan awam yang ditahannya, kata sumber itu, yang tidak mahu namanya disiarkan.

Lebih separuh tebusan memegang pasport asing daripada 25 negara, termasuk 54 warga Thailand, menurut pemerintah Israel.

Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai oleh 193 anggota mengundi pada hari Jumaat dengan gesaan gencatan senjata kemanusiaan segera dilaksanakan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg