Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura mula bina loji kuasa dengan keupayaan hidrogen

Dianggarkan sekitar $800j untuk dibina, ia dijangka siap jelang 31 Dis 2027; boleh jana kuasa buat 864,000 flat empat bilik 
Oct 23, 2024 | 8:36 PM
(Dari kiri) Cik Katy Wilner, Ketua Pegawai Komersial, Kuasa Gas (GE Vernova); Encik Yeoh Keong Hann, pengarah Lembaga YTLPS; Encik Lim Han Kwang, Timbalan CEO YTLPS; Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, pengerusi Lembaga YTLPS (YTL Group); Dr Tan See Leng, Menteri Tenaga Manusia; Encik John Ng, CEO YTLPS; Encik Puah Kok Keong, Ketua Eksekutif EMA; Datuk Seri Yeoh Seok Hong, pengarah Lembaga YTLPS; Encik Zhou Jiayi, Naib Presiden PowerChina International; dan Encik Kong Lingfeng, Naib Presiden SEPCOIII, bergambar di majlis pecah tanah Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) sedia hidrogen 600 megawatt di Pulau Jurong pada 23 Oktober.
(Dari kiri) Cik Katy Wilner, Ketua Pegawai Komersial, Kuasa Gas (GE Vernova); Encik Yeoh Keong Hann, pengarah Lembaga YTLPS; Encik Lim Han Kwang, Timbalan CEO YTLPS; Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, pengerusi Lembaga YTLPS (YTL Group); Dr Tan See Leng, Menteri Tenaga Manusia; Encik John Ng, CEO YTLPS; Encik Puah Kok Keong, Ketua Eksekutif EMA; Datuk Seri Yeoh Seok Hong, pengarah Lembaga YTLPS; Encik Zhou Jiayi, Naib Presiden PowerChina International; dan Encik Kong Lingfeng, Naib Presiden SEPCOIII, bergambar di majlis pecah tanah Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) sedia hidrogen 600 megawatt di Pulau Jurong pada 23 Oktober. - Foto YTL POWERSERAYA

Kerja pembinaan bagi loji kuasa yang mempunyai keupayaan dijana tenaga hidrogen di Pulau Jurong dimulakan pada 23 Oktober - satu langkah penting dalam aspirasi Singapura untuk kurangkan pelepasan karbon dan mewujudkan sumber tenaga yang mampan.

Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) 600 megawatt (MW) milik YTL PowerSeraya itu akan punyai keupayaan beroperasi menggunakan bahan api dengan kandungan 50 peratus hidrogen apabila ia siap dibina menjelang 31 Disember 2027, dengan potensi menggunakan 100 peratus hidrogen pada masa depan.

CCGT sedia hidrogen YTL PowerSeraya itu merupakan yang pertama yang akan dibina di bawah rangka kerja proses berpusat baru Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), yang menyelaraskan pelaburan sektor swasta secara strategik demi memastikan kapasiti penjanaan tenaga yang mencukupi menjelang 2028.

Dianggarkan menelan belanja sekitar $800 juta untuk dibina, CCGT itu boleh menjana kuasa untuk sekitar 864,000 flat empat bilik.

Satu majlis pecah tanah bagi pembinaan CCGT itu di tapak Stesen Kuasa Pulau Seraya telah diadakan pada 23 Oktober sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (Siew).

Hadir di majlis itu ialah Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.

Acara itu turut menyaksikan pelantikan rasmi GE Vernova, PowerChina dan SEPCOIII sebagai rakan konsortium untuk membangunkan teknologi penjanaan kuasa sedia hidrogen.

Projek tersebut akan menampilkan turbin gas 9 High Efficiency Air Cooled (9HA.01) oleh GE Vernova, yang diiktiraf di peringkat global bagi kecekapan unggul dalam penjanaan tenaga.

Gambaran artis projek Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) sedia hidrogen 600 megawatt YTL PowerSeraya di Pulau Jurong.
Gambaran artis projek Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) sedia hidrogen 600 megawatt YTL PowerSeraya di Pulau Jurong. - Foto YTL POWERSERAYA

Berucap di majlis tersebut, Dr Tan berkata semua CCGT baru yang dibina di Singapura sejak 2020 perlu mempunyai keupayaan beroperasi menggunakan hidrogen.

Beliau menambah bahawa permintaan elektrik di negara ini dijangka tumbuh sekitar 3 hingga 5 peratus setiap tahun, sepanjang sedekad seterusnya, untuk menyokong pertumbuhan kegiatan ekonomi dan pendigitalan.

“Penyiapan CCGT (milik YTL PowerSeraya) baru ini menjelang 2027 akan membolehkan kita memenuhi permintaan semakin meningkat ini,” kata beliau.

Selain hidrogen, Dr Tan berkata EMA telah melancarkan geran untuk menilai daya maju menyepadukan teknologi penangkapan karbon ke dalam operasi CCGT.

“EMA akan bekerjasama dengan rakan industri untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pada 2025.

“Teknologi penangkapan karbon mempunyai potensi menangkap sehingga 95 peratus pelepasan karbon dioksida daripada CCGT.

“Teknologi sedemikian akan membolehkan penggunaan gas asli yang berterusan dalam campuran tenaga kita, meskipun sedang Singapura mengkaji laluan tenaga rendah karbon lain,” kata Dr Tan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan di YTL PowerSeraya, Encik John Ng, berkata CCGT 600 MW yang akan dibina itu bukan hanya satu langkah ke arah tenaga lebih bersih, malah pemangkin bagi ekosistem tenaga yang berdaya tahan dan mampan di Singapura yang mencerminkan komitmen jangka panjang mereka bagi kestabilan tenaga negara ini.

“Sedang kami meneruskan perjalanan ke arah mencapai pelepasan sifar bersih, YTL PowerSeraya akan terus kekal di barisan hadapan dalam inovasi, memacu huraian yang menyokong kedua-dua jaminan tenaga dan penjagaan alam sekitar,” kata beliau.

Sementara itu, Dr Tan di majlis pecah tanah itu turut mengumumkan penubuhan entiti pemerolehan dan bekalan gas pusat (Gasco) sebagai sebuah syarikat milik pemerintah sepenuhnya menjelang hujung tahun kewangan ini, yang akan bertanggungjawab bagi pemerolehan dan bekalan gas untuk sektor kuasa.

Dr Tan juga berkata Singapore LNG Corporation (SLNG) juga akan membangunkan terminal gas asli cecair (LNG) dengan daya pengeluaran sehingga lima juta tan setiap tahun (mtpa) - pengembangan sekitar 50 peratus daripada kapasiti terminal sedia ada.

“Peralihan Singapura ke pelepasan sifar bersih menjelang 2050 adalah sebuah perjalanan berbilang dekad.

“Sebagai sebuah negara yang kurang kelebihan dari segi tenaga boleh diperbaharui, ia akan mengambil masa bagi Singapura untuk membangunkan dan meningkatkan sumber tenaga rendah karbon kita.

“Justeru, gas asli akan terus memainkan peranan utama dalam campuran tenaga kita, untuk menyokong jaminan tenaga kita dan menyediakan bekalan elektrik beban asas yang stabil,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg