Singapura telah memberikan kelulusan bersyarat untuk mengimport 1.75 gigawatt (GW) tenaga suria dari Wilayah Utara Australia melalui projek Sun Cable yang bernilai AS$24 bilion ($31.5 bilion).
Ia akan bermula selepas 2035, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, pada 22 Oktober semasa hari kedua Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (Siew) di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.
Projek itu akan melibatkan pembinaan loji tenaga solar yang luas di wilayah utara melalui Darwin, sebelum bekalan elektrik tersebut disalurkan melalui kabel bawah laut sepanjang 4,200km dari Darwin ke Singapura.
Dr Tan berkata projek itu adalah projek yang bercita-cita tinggi, disebabkan oleh skala dan jarak antara Australia dengan Singapura.
Beliau menambah bahawa pemerintah akan terus melaksanakan projek mengimport elektrik bersih yang boleh dipercayai walaupun ia mengambil masa lebih lama untuk direalisasikan, selepas 2035.
Dalam pada itu, Singapura menaikkan sasaran import elektrik bersihnya kepada 6GW pada September, yang akan menyumbang kira-kira 30 peratus daripada permintaan elektrik menjelang 2035.
Selain daripada projek Sun Cable, 5.6GW tawaran import telah ditandatangani dengan Indonesia, Kemboja dan Vietnam setakat ini.
Dr Tan menambah bahawa Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) mengiktiraf projek Sun Cable sebagai “berdaya maju dari segi teknikal dan komersial” berdasarkan cadangan dan maklumat yang dikemukakan setakat ini.
Untuk projek itu maju ke peringkat pembangunan selanjutnya dan menerima kelulusan kawal selia, Sun Cable perlu menawarkan “harga berdaya maju secara komersial yang boleh diterima oleh pelanggan”, kata EMA.
Ketua Eksekutif Sun Cable, Encik Mitesh Patel, berkata antara sekarang dengan 2035, syarikat itu sedang berusaha untuk menandatangani perjanjian pembelian jangka panjang dengan pembeli korporat di Singapura, yang terdiri daripada syarikat teknologi besar hingga firma farmaseutikal, untuk penjualan elektrik bersih.
Fasa pertama projek solar itu akan membekalkan 800 hingga 900 megawatt tenaga suria ke kawasan perindustrian di Darwin, dengan baki 1.75GW dieksport ke Singapura.
Ia memerlukan loji solarnya untuk mempunyai kapasiti antara 17 dengan 20 GW-puncak, menjadikannya salah satu “pemasangan tenaga boleh diperbaharui yang terbesar di dunia”.
Sistem penyimpanan baterinya akan mempunyai kapasiti antara 37 dengan 42 GW-jam agar ia dapat sampai ke tahap ketersediaan tenaga, memandangkan matahari tidak sentiasa bersinar sepanjang masa.
Dr Tan berkata untuk memajukan projek itu, Sun Cable perlu mengesahkan lagi pelan teknikal dan komersialnya serta mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan daripada bidang kuasa yang berkaitan, termasuk negara yang akan dilalui oleh kabel itu.
Encik Patel menambah bahawa syarikatnya telah menyelesaikan tinjauan dasar laut untuk kira-kira 70 peratus daripada laluan projek tersebut setakat ini.
Menjelang 2027, beliau menjangkakan Sun Cable akan mencapai penutup kira-kira, iaitu apabila keseluruhan projek dan perjanjian pembiayaan telah ditandatangani.
Pada masa itu, kegiatan pembinaan dijangka bermula.
Ini akan terdiri daripada tiga elemen, iaitu pembinaan loji tenaga suria, bersama-sama dengan sistem penyimpanan bateri, talian penghantaran atas atau overhead dari loji tenaga suria ke Darwin dan pembinaan kabel dasar laut dari Darwin ke Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg