Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura mula gugur pakej bantuan kemanusiaan di Gaza

Aug 16, 2025 | 3:56 PM
S’pura, bantuan kemanusiaan, Gaza
Bantuan kemanusiaan digugurkan ke Gaza dari pesawat C-130 RSAF. - Foto FACEBOOK MINDEF

Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah mula menggugurkan pakej bantuan kemanusiaan di Gaza pada 15 Ogos, dengan operasi kemanusiaan itu dijangka diteruskan selama beberapa hari lagi.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik di media sosial pada 16 Ogos, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata bahawa RSAF dan Tentera Singapura menjalankan operasi itu dengan penyelarasan rapat Angkatan Udara Diraja Jordan serta tentera udara negara lain.

Pakej bantuan kemanusiaan itu digugurkan dari udara menggunakan pesawat C-130 RSAF yang berlepas ke Jordan dari Singapura pada 12 Ogos.

Pakej tersebut berisi bekalan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH) di samping bekalan makanan daripada badan amal seperti Humanity Matters, Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiative Singapore (Charis), Mercy Relief dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Seramai 58 anggota pertahanan dan tentera Singapura telah dikerah bagi menyokong operasi yang diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC).

Menurut laporan sebelum ini, Singapura menghantar pakej bantuan kali ini atas undangan kerajaan Jordan.

Operasi ini merupakan kali kedua Singapura menggugurkan bantuan kemanusiaan dari udara bagi membantu warga Gaza yang dibelenggu konflik kemanusiaan akibat perang berlarutan dengan Israel.

Operasi pertama dilaksanakan pada 20 Mac, dengan bantuan terdiri daripada lebih 20 tan bekalan makanan, bersamaan lebih 59,000 hidangan.

Secara keseluruhan, ini merupakan pakej bantuan kemanusiaan kesembilan yang dihantar Singapura untuk penduduk Palestin sejak konflik bermula.

Sejauh ini, pakej bantuan yang disampaikan Singapura dan warga Singapura bernilai lebih $22 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg