Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, New Zealand setuju tingkat hubungan dua hala, jalin kerjasama erat

Perkongsian Strategik Menyeluruh meliputi projek lebih inovatif perkukuh keselamatan makanan
Oct 10, 2025 | 4:37 PM
Singapura, New Zealand, kerjasama, jalin
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon, menandatangani Perkongsian Strategik Menyeluruh Singapura-New Zealand di Pavilion, Rumah Pemerintah di Auckland, New Zealand, pada 10 Oktober. - Foto ST

AUCKLAND: Singapura dan New Zealand telah bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala mereka dan telah merangka jalan untuk bekerjasama lebih rapat dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, keselamatan, inovasi dan ketahanan rantaian bekalan.

Usaha mempertingkat hubungan ini, lantas membawa pada satu Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) pada 10 Oktober terjalin apabila kededua negara meraikan 60 tahun hubungan diplomatik dan 25 tahun sejak mereka menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

FTA tersebut adalah yang pertama bagi Singapura dan membuka peluang untuk lebih banyak inisiatif bercita-cita tinggi antara kededua negara, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada 10 Oktober, lapor The Straits Times (ST).

Ini termasuk perjanjian Pacific-4 (P4), yang berkembang menjadi Perjanjian Menyeluruh dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik, sebuah FTA antara 12 negara.

Encik Wong berkata setelah lebih 40 inisiatif dilaksanakan sejak 2019, CSP ini akan membawa Singapura dan New Zealand bekerjasama dalam projek yang lebih inovatif dan bercita-cita tinggi.

Ini termasuk mesyuarat tahunan pemimpin untuk memandu kerjasama, memperdalam pelaburan dan kerjasama pasaran modal, serta membina perkongsian strategik bagi mengukuhkan keselamatan makanan, kata Encik Wong dalam sidang media bersama Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon.

Sidang media di Rumah Pemerintah di Auckland itu diikuti dengan satu majlis menandatangani satu kenyataan visi bersama oleh kededua pemimpin, yang menetapkan arah kerjasama untuk dekad akan datang, merangkumi 72 inisiatif.

Salah satu aspek utama CSP itu adalah dalam memajukan keutamaan strategik bersama, termasuk menyokong rantau yang lebih luas dengan menjalankan program pembangunan kapasiti bersama negara-negara Pasifik, kata Encik Wong.

Kededua negara juga sedang membincangkan cadangan untuk perkongsian ekonomi hijau antara beberapa negara, berdasarkan pengalaman mereka bekerjasama dalam Perjanjian Ekonomi Digital (Depa), yang diasaskan oleh Singapura, New Zealand, dan Chile pada 2020.

Korea Selatan menyertai Depa pada 2024, manakala Canada, China, Costa Rica, El Salvador, Peru, Ukraine, dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), telah memohon bagi menyertainya, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Dengan menyepadukan perdagangan dan tindakan iklim, perjanjian hijau yang sedang dipertimbangkan bertujuan menguatkan pertumbuhan dan kemampanan secara saling memperkukuhkan, kata Encik Wong.

Di bawah CSP, Singapura dan New Zealand bersetuju mengenai perjanjian perdagangan bekalan penting, yang mengikat kededua negara untuk mengurangkan gangguan rantaian bekalan dan memastikan aliran barangan seperti makanan, bahan bakar, dan ubat-ubatan diteruskan dengan lancar semasa krisis.

Encik Luxon berkata perjanjian ini mencerminkan naluri dan niat kededua negara untuk mencapai hasil saling menguntungkan, memandangkan Singapura mengimport sebahagian besar makanannya, sementara New Zealand mengimport bahan bakar dan farmaseutikal.

Dalam bidang pertahanan, kededua negara juga sedang meneroka bidang-bidang baru untuk kerjasama, seperti teknologi tanpa pemandu.

Pada Mei, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) memperluaskan kehadiran latihannya di New Zealand dengan menjalankan latihan pertama mereka menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) di Kawasan Latihan Ketenteraan Tekapo.

“Singapura dan New Zealand mungkin kecil dari segi saiz, tetapi kami telah menunjukkan berulang kali kuasa kerjasama kami jauh lebih besar daripada skala kami,” kata Encik Wong.

Kededua pemimpin menekankan walaupun perintah antarabangsa berubah, negara kecil tetap berkuasa membentuk peraturan dan norma, dan mereka percaya perkongsian mereka boleh menjadi model piawaian global.

“Kerana kami adalah dua ekonomi kecil dan terbuka, kami sentiasa mencari cara untuk lebih maju dan menetapkan piawaian yang lebih inovatif dan tinggi,” kata Encik Wong sambil menyifatkan P4, Depa, perkongsian ekonomi hijau dan perjanjian bekalan sebagai aspek penting.

“Dan kami berharap bahawa piawaian-piawaian baru ini, pada masa akan datang, akan diterima pakai oleh Asean.”

Kedua-dua negara juga mengenal pasti peningkatan hubungan Asean-New Zealand kepada CSP sebagai keutamaan strategik bersama yang akan mereka usahakan.

Asean kini mempunyai perjanjian CSP sedemikian dengan Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat, yang merupakan beberapa rakan dialog blok serantau itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg