Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan membuat lawatan ke Canberra dan Sydney, Australia, dari 6 hingga 9 Oktober.
Beliau kemudian akan berkunjung ke Auckland, New Zealand, dari 9 hingga 11 Oktober.
Lawatan pengenalan pertama Encik Wong ke kededua negara sebagai Perdana Menteri diadakan sempena 60 tahun jalinan hubungan diplomatik antara Singapura dengan Australia dan New Zealand.
Ia turut mengesahkan hubungan dua hala yang baik, kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 6 Oktober.
Di Canberra, Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, akan menyambut Encik Wong dalam satu majlis makan malam.
Encik Wong akan menghadiri majlis sambutan rasmi di Bangunan Parlimen sebelum Mesyuarat Pemimpin Singapura-Australia ke-10 dengan Encik Albanese, di mana mereka bakal menandatangani deklarasi bersama untuk melancarkan Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP 2.0) yang dipertingkat.
Selain itu, Encik Wong akan bertemu dengan Gabenor Jeneral, Cik Sam Mostyn, serta Ketua Pembangkang, Cik Sussan Ley.
Di Sydney, Encik Wong akan bertemu dengan Perdana Menteri, New South Wales, Encik Chris Minns, dan pemimpin kanan perniagaan, serta mengadakan satu dialog di Institut Lowy.
Sempena lawatannya ke Auckland, Encik Wong akan disambut Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon, bagi jamuan makan malam.
Encik Wong akan turut mengambil bahagian dalam majlis sambutan rasmi di Bangunan Pemerintah.
Ini diikuti mesyuarat delegasi bersama Encik Luxon, dan mereka akan menandatangani Kenyataan Visi Bersama untuk melancarkan Perkongsian Strategik Menyeluruh Singapura-New Zealand dan menghadiri sidang akhbar bersama.
PMO menambah Encik Wong akan menyertai upacara meletak kalungan bunga di Memorial Perang Australia dan Muzium Memorial Perang Auckland.
Dalam pada itu, beliau akan berkumpul bersama warga Singapura yang berada di luar negara semasa majlis resepsi di Canberra dan Auckland bagi meraikan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60).
Encik Wong yang diiringi isterinya, akan ditemani Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng (hanya di Australia); Menteri Kemampanan dan Sekitaran, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu (hanya di New Zealand); Anggota Parlimen, Cik Nadia Ahmad Samdin dan Encik Victor Lye, serta pegawai-pegawai lain.
Sewaktu ketiadaannya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, akan menjadi Pemangku Perdana Menteri dari 6 hingga 8 Oktober.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional, Encik K. Shanmugam, akan menjadi Pemangku Perdana Menteri dari 9 hingga 11 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg