Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, telah membincangkan cara untuk memperkukuh jalinan perniagaan dalam satu pertemuan pada 6 Mei.

Demikian menurut jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Jurucakap tersebut menambah bahawa Encik Lee dan Datuk Wan Rosdy, yang juga Naib Presiden Umno, telah mengiktiraf hubungan dua hala antara kedua-dua pihak berada dalam keadaan baik.

“Ini merupakan kali pertama Datuk Wan Rosdy bertemu dengan Encik Lee.

“Dalam pertemuan tersebut, Encik Lee dan Datuk Wan Rosdy akur bahawa hubungan dua hala berada dalam keadaan baik, serta membincangkan cara-cara untuk memperkukuh jalinan perniagaan antara Singapura dengan Pahang,” ujar jurucakap itu.

Pertemuan yang berlangsung pada pagi 6 Mei di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang itu disertai barisan pemimpin negeri Pahang yang lain.

Encik Lee, dalam satu hantaran Facebook pada 6 Mei, berkata beliau dan Datuk Wan Rosdy, telah menilai status hubungan Singapura dengan Pahang dan akur bahawa hubungan dua hala itu kekal kukuh.

“Saya berharap dapat membina atas asas hubungan ini dan memajukan lagi kerjasama kita,” tambah Encik Lee.

Dalam satu hantaran Facebook yang berasingan pada 6 Mei, Datuk Wan Rosdy berkata, pertemuan tersebut telah membuka ruang perbincangan yang amat bermakna dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Pahang dengan Singapura

Memberikan contoh, beliau berkata tumpuan perbincangan itu melibatkan aspek seperti pelaburan, pembangunan ekonomi, pelancongan, pendidikan serta kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Semoga hubungan baik yang telah terjalin antara negeri Pahang dengan Singapura akan terus diperkukuh demi kemakmuran bersama, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi impak positif kepada rakyat dan pembangunan negeri,” kata Dr Wan Rosdy dalam hantaran yang sama.

Di samping itu, Encik Lee telah menghadiri majlis makan tengah hari di Kafe Gerabak, di Pekan, sekitar sejam perjalanan dari Kuantan.

Bandar Pekan, yang juga dikenali sebagai Bandar Diraja, pernah menjadi ibu negeri dan pusat pentadbiran negeri Pahang Darul Makmur.

Jamuan itu dihoskan oleh Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ia turut disertai oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (Pelaburan, Perindustrian, Teknologi dan Inovasi), Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Awal dari itu, Tunku Azizah telah membawa Encik Lee dan Cik Lee berkunjung ke Penjara Penor, Kuantan, bagi melihat seni pembuatan Tenun Pahang Diraja.

Mereka kemudian mengunjungi Muzium Sultan Abu Bakar yang terletak bersebelahan dengan Kafe Gerabak.

Di Muzium Sultan Abu Bakar, Encik Lee dan Cik Lee menelusuri pameran di Galeri Daulat Tuanku dan Galeri Sejarah Pemerintahan Pahang yang memaparkan, antara lain, salasilah pemerintahan Pahang, busana dan portret keluarga diraja Pahang.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dilihat memberi penerangan mengenai beberapa artifak yang dipamerkan itu kepada Encik Lee and Cik Lee.

Muzium itu pernah diduduki Sultan Abu Bakar dan dikenali sebagai Istana Kota Beram pada 1948.

Pada 5 Mei, Encik Lee telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Sultan Abdullah sebelum menikmati santapan tengah hari di Istana Abdulaziz.

Encik Lee sedang berada dalam rangka lawatan lima hari ke Pahang disusuli Terengganu dari 4 hingga 8 Mei.

Beliau dijangka akan bertemu dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan pemimpin negeri lain pada 7 Mei.

Encik Lee diiringi Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Anggota Parlimen, Cik Joan Pereira; dan pegawai dari Kementerian Ehwal Luar (MFA).