Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura paling inovatif di dunia, atasi lebih 70 negara lain

Jan 10, 2025 | 7:44 PM
Daripada 25 negara yang dinamakan juara inovasi sejagat, Singapura menerima skor komposit tertinggi, melonjak daripada kedudukan ke-15 pada 2023. 
Daripada 25 negara yang dinamakan juara inovasi sejagat, Singapura menerima skor komposit tertinggi, melonjak daripada kedudukan ke-15 pada 2023.  - Foto ZAOBAO

LAS VEGAS (Amerika Syarikat): Singapura dinamakan sebagai negara paling berinovasi di dunia, mengambil tempat pertama dalam ranking negara berdasarkan petunjuk yang meluas seperti tahap pendidikan tenaga kerja dan kadar penciptaan perniagaan baru.

Ia mengatasi Amerika Syarikat untuk mengungguli Kad Skor Inovasi Sejagat terkini, kedudukan dwitahunan 74 negara dan Kesatuan Eropah oleh Persatuan Teknologi Pengguna (CTA).

Badan perdagangan Amerika itu telah menyusun kad skor tersebut sejak 2019.

Daripada 25 negara yang dinobatkan sebagai juara inovasi sedunia, Singapura menerima skor komposit tertinggi, melonjak daripada kedudukan ke-15 pada 2023, lapor The Straits Times.

Menggenapkan lima negara berinovasi teratas ialah Amerika, New Zealand, Sweden dan Switzerland.

Republik ini diberikan anugerah Juara Inovasi Sejagat pada 9 Januari di CES 2025, pameran teknologi terbesar dunia, tempat syarikat-syarikat mempamerkan produk dan prototaip terbaru mereka, di Las Vegas.

Pameran empat hari itu, yang dahulunya dikenali sebagai Pameran Elektronik Pengguna, berakhir pada 10 Januari.

CTA berkata kad skornya mengukur negara berdasarkan keadaan sebenar daripada sudut politik, ekonomi dan kajian penduduk untuk melihat sejauh mana kedudukan mereka untuk memacu inovasi teknologi.

Edisi terkini menilai negara-negara pada julat metrik yang lebih luas berbanding sebelum ini.

Walaupun kad skor 2023 mempunyai 40 penunjuk, yang terkini mempunyai 56, yang terdiri daripada pelbagai sumber data daripada agensi seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Pertubuhan Harta Intelek Dunia dan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Singapura mencapai markah tertinggi dalam empat daripada 16 kategori yang diukur: daya tahan persekitaran perniagaan dan ketelusan data; sifat proinovasi persekitaran undang-undangnya; keramahannya terhadap pemula dan perniagaan kecil; dan dasar cukainya untuk syarikat.

Republik ini juga mendapat markah yang baik dalam kategori lain, seperti kepelbagaian etnik dan pekerja asing dalam tenaga kerjanya; keterbukaan kepada telekesihatan dan aliran data rentas sempadan; dan kelajuan jalur lebar.

Ketua Eksekutif CTA, Encik Gary Shapiro, berkata dalam satu majlis ringkas bahawa kad skor itu melihat sama ada negara-negara mempunyai persekitaran yang memangkinkan penginovasi mereka untuk mencipta masa depan yang lebih baik.

Seperti biasa, negara yang mendapat kedudukan tertinggi dalam kad skor itu menunjukkan kerjasama terbaik antara pemerintah dengan perusahaan, tambah Encik Shapiro.

Dalam hantaran di Facebook pada 9 Januari, agensi perdagangan Enterprise Singapore berkata Republik ini bangga menjadi juara inovasi dengan skor tertinggi bagi semua negara yang dinilai.

“Penghormatan tertinggi ini mengiktiraf tenaga kerja mahir Singapura, sambungan jalur lebar yang maju, iklim keusahawanan dan keterbukaan kepada teknologi baru,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg