Singapura sedang memantau kesan laporan pembatalan pensijilan Program Pertukaran Pelajar dan Pelawat (SEVP) Universiti Harvard terhadap prospek akademik pelajar Singapura, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 27 Mei.
Perkembangan itu susulan keputusan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, membatalkan hak universiti tersebut menerima warga asing sebagai pelajar dan sarjana.
Langkah tersebut diumumkan oleh Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Cik Kristi Noem, pada 22 Mei dan sejak itu, hampir 6,800 pelajar antarabangsa di Amerika berada dalam keadaan tidak menentu.
Pelajar yang terjejas diberi dua pilihan – berpindah ke institusi lain atau berdepan risiko dihantar pulang, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Pejabat Antarabangsa Harvard, terdapat seramai 151 pelajar dan sarjana Singapura yang sedang mengikuti pengajian di universiti itu.
Pada 23 Mei, seorang hakim Amerika mengeluarkan perintah sementara yang menghalang pentadbiran Encik Trump menarik balik hak universiti itu untuk menerima pelajar antarabangsa.
Tindakan tersebut diambil selepas Harvard memfailkan aduan di Mahkamah Persekutuan Boston pada hari yang sama, menyifatkan langkah tersebut sebagai satu “pelanggaran terang-terangan” terhadap Perlembagaan Amerika dan undang-undang persekutuan lain.
MFA berkata Kedutaan Singapura di Washington DC telah berhubung dengan Jabatan Negara dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika.
Kementerian itu juga telah mewujudkan saluran sokongan bagi pelajar terjejas, termasuk saluran komunikasi berkumpulan yang dikendalikan oleh Jabatan Konsular MFA dan Rangkaian Global Singapura.
Pelajar Singapura di Harvard yang terjejas boleh mendaftar di pautan https://go.gov.sg/singaporeanharvardstudents untuk dimasukkan ke dalam saluran tersebut.
Duta Singapura di Washington akan mengadakan sesi dialog maya bersama pelajar Singapura di Harvard pada 5 petang, 30 Mei (5 pagi, 31 Mei waktu Singapura).
MFA turut menasihatkan pelajar Singapura di Harvard agar terus berhubung dengan Perkhidmatan Pelajar Antarabangsa universiti itu untuk mendapatkan maklumat terkini.
Langkah Encik Trump melarang pelajar antarabangsa mendaftar di Harvard merupakan episod terbaru dalam perselisihannya dengan universiti tersebut, yang didakwa “gagal menangani anti-Semitisme (fahaman anti-Yahudi) dan gangguan etnik di kampus”.
Sebelum ini, hampir AS$3 bilion ($3.8 bilion) kontrak dan geran penyelidikan persekutuan universiti itu telah dibekukan.
Langkah itu selari dengan usaha pentadbiran Presiden Republikan itu membentuk semula sistem pendidikan Amerika.
Beliau menuduh kampus-kampus elit negara itu dikuasai oleh ideologi anti-Amerika, Marxis dan fahaman berhaluan kiri.
Pada 2024, kampus-kampus di Amerika digegarkan dengan protes solidariti dengan rakyat Palestin – dan protes balas pro-Israel – susulan meletusnya perang di Gaza pada Oktober 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg