Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura perkemas strategi siber, sekat akses laman pancing data, perisian hasad
S’pura perkemas strategi siber, sekat akses laman pancing data, perisian hasad
Satu perkhidmatan nasional baharu akan dapat menyekat pengguna di Singapura daripada mengakses laman web pancingan data (phishing) dan perisian hasad (malware) yang diketahui.
Langkah itu diambil sedang bilangan sistem komputer yang dijangkiti di sini meningkat dengan mendadak.
Dinamakan khidmat pelindung nama domain (PDNS), ia diumumkan pada 13 Oktober oleh Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan siber Singapura yang dikemas kini bagi menangani ancaman siber yang semakin meningkat.
Peralihan itu menuju ke model pertahanan nasional yang proaktif dan dipacu kecerdasan buatan (AI), kerana pelaku ancaman kini bergerak lebih pantas dan lebih canggih dengan penggunaan AI.
“Singapura akan berusaha bertindak lebih awal, bertindak pada skala nasional dan bertindak sepantas ancaman itu. Peralihan ini merupakan bahagian penting dalam strategi keselamatan siber Singapura 2026 yang kami lancarkan hari ini,” kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri.
Beliau berucap pada perasmian Minggu Siber Antarabangsa Singapura ke-11 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.
Encik Shanmugam berkata strategi keselamatan siber Singapura yang dikemas kini adalah lebih luas daripada cara pertahanan siber negara dibangunkan setakat ini.
“Ia merangkumi cara kita akan mengukuhkan infrastruktur kritikal dalam ruang siber yang lebih luas, membina keupayaan untuk AI dan kuantum, memperdalam kerjasama global serta melabur dalam ekosistem dan tenaga kerja keselamatan siber kita,” katanya.
PDNS yang baharu, yang dijangka dilancarkan pada 2027, akan dikendalikan Pusat Perintah Keselamatan Siber Nasional di bawah Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), menurut Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha).
Akta itu, yang berkuat kuasa pada 2024, membenarkan pihak berkuasa meminta individu, syarikat dan penyedia perkhidmatan internet membuang atau menyekat akses kepada kandungan yang disyaki diguna untuk melakukan jenayah.
Antaranya ialah perjudian haram dan pinjaman wang haram, kesalahan berkaitan dadah, penipuan dan aktiviti siber berniat jahat.
CSA berkata perkhidmatan baharu itu akan mempunyai perlindungan untuk “memastikan kuasa di bawah Ocha digunakan secara bertanggungjawab”.
Agensi itu berkata “proses penilaian dan pengesahan yang kukuh” akan dijalankan sebelum laman web berniat jahat disekat, bagi mengurangkan risiko positif palsu dan memastikan keputusan menyekat laman web boleh dipertanggungjawabkan.
Individu atau organisasi yang terjejas oleh penyekatan laman web itu boleh mendapatkan pemulihan melalui proses pertimbangan semula dan rayuan sedia ada di bawah Akta tersebut.
Perkhidmatan penyekatan laman web berniat jahat yang serupa telah dilaksanakan di Australia, Canada, Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat.
Pada 2022, Pasukan Petugas Antara Agensi Menentang Perisian Tebusan di Singapura mengesyorkan penggunaan PDNS sebagai satu bentuk “pertahanan huluan” untuk menghalang penyerang berniat jahat yang diketahui daripada sampai kepada pengguna internet di sini.
Ini kerana penyerang sedemikian boleh memperdaya pengguna supaya memuat turun perisian hasad dari laman web berniat jahat. Perisian itu boleh mencuri data syarikat pengguna atau menguncinya sehingga wang tebusan dibayar.
Melayari ruang siber dengan selamat kini semakin sukar. Menurut laporan ‘Landskap Siber Singapura’ terkini yang diterbitkan CSA pada Jun, bilangan sistem komputer yang dijangkiti perisian hasad dan dikesan di Singapura meningkat lebih seganda kepada 284,300 pada 2025, berbanding 117,300 sistem yang dijangkiti pada 2024.
“Singapura mesti meningkatkan tahap keselamatan siber dalam seluruh ekosistem kita,” kata CSA pada 13 Oktober.