Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura perkenal 3 inisiatif AI bagi sektor kewangan, rancang permudah bayaran QR
S’pura perkenal 3 inisiatif AI bagi sektor kewangan, rancang permudah bayaran QR
Singapura sedang melancarkan tiga inisiatif kecerdasan buatan (AI) peringkat nasional untuk membanteras jenayah kewangan, menambah baik pembiayaan bagi perniagaan kecil, serta membolehkan ejen AI membuat transaksi dengan selamat bagi pihak pengguna.
Berucap di Festival FinTech Singapura pada 18 November, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong berkata misi itu akan menghimpunkan institusi kewangan, syarikat teknologi, penyelidik dan agensi awam.
Ia bertujuan membina keupayaan bersama supaya mereka dapat mencapai lebih banyak perkara berbanding jika mana-mana institusi berusaha secara bersendirian.
Singapura turut akan menguji penyelesaian yang berpotensi, dibandingkan dengan amalan terbaik dan piawaian global. Penyelesaian yang berjaya akan dibawa ke peringkat pelaksanaan yang lebih meluas.
Bagi memperkukuh keupayaan negara mengesan dan menggagalkan jenayah kewangan, Encik Gan, yang juga pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), berkata negara ini perlu menghubungkan maklumat merentasi sistem kewangan sambil memperkukuh pengesanan dalam setiap institusi.
“Penipuan tidak terhad kepada satu bank sahaja. Wang mangsa boleh melalui beberapa institusi dalam beberapa minit. Kita tidak akan dapat mengurangkan risiko ini sekiranya setiap institusi hanya melihat bahagian transaksinya sendiri,” tambah beliau.
Beliau berkata satu kajian rintis sedang dijalankan bersama lima bank. Data transaksi mereka dikumpulkan secara selamat, membolehkan model AI mengesan corak yang tidak dapat dilihat oleh mana-mana bank secara bersendirian.
MAS akan memulakan satu kajian reka bentuk awal 2027 untuk membangunkan pelan induk, termasuk model tadbir urus dan operasinya, tambah beliau.
Singapura juga mahu membantu perniagaan, terutamanya syarikat kecil dan sederhana (SME), mendapat akses yang lebih baik kepada pembiayaan menerusi data yang lebih luas.
Dengan menggunakan data itu, AI dapat mengenal pasti maklumat dan corak yang mungkin terlepas pandang oleh pendekatan tradisional, memberikan pemberi pinjaman gambaran lebih menyeluruh tentang kelayakan kredit sesebuah firma, kata Encik Gan.
Singapura akan menjemput syarikat teknologi AI untuk membangunkan dan menguji penyelesaian menggunakan data sintetik yang realistik, kata Encik Gan.
Ujian itu akan menilai sama ada AI dan data yang lebih lengkap boleh membantu menjadikan pembiayaan SME lebih mudah diakses dan mengambil kira keperluan masa depan.
Hasil ujian itu juga akan membantu menentukan data dan infrastruktur yang diperlukan untuk mengembangkan penyelesaian yang berkesan dalam jangka panjang.
Singapura turut akan meneroka cara membolehkan ejen AI membuat transaksi dengan selamat bagi pihak pengguna.
Walaupun ejen AI dapat memudahkan pengurusan tunai dan mempercepat pembayaran, ia mesti beroperasi mengikut had kuasa yang ditetapkan. Institusi dan syarikat tetap bertanggungjawab atas tindakannya, dengan langkah keselamatan disediakan sejak awal.
Singapura akan bekerjasama dengan industri untuk menguji penggunaan teknologi itu dalam persekitaran terkawal. Usaha itu juga melibatkan persetujuan bersama tentang identiti, kuasa, tanggungjawab dan cara sistem berbeza berfungsi bersama.
“Kami mahu menjadikan Singapura pusat inovasi AI terkemuka, dengan dasar, piawaian dan infrastruktur yang menyokong penggunaan ejen AI yang dipercayai dalam sektor kewangan,” katanya.
Encik Gan turut melancarkan laporan terkini bagi PayNow Generasi 2, yang menggariskan bagaimana Singapura akan menjadikan pembayaran lebih mudah, selamat dan boleh diakses bagi semua pengguna.
Ini termasuk sistem SGQR+ baharu yang membolehkan penduduk dan pelancong di Singapura membuat pembayaran menggunakan kod SGQR+ melalui aplikasi QR pilihan mereka, serta beberapa penambahbaikan lain.