Pihak berkuasa China di wilayah Guangxi telah memberkas dan menahan 52 warga Singapura kerana didakwa terlibat dalam kegiatan skim piramid.

Ia dipercayai penahanan terbesar membabitkan rakyat Singapura di luar negara setakat ini. 

Menurut MFA dan SPF, kesemua 52 tahanan itu ditangkap sebagai sebahagian daripada operasi penguatkuasaan undang-undang yang lebih luas di Guangxi, selatan China, terhadap kegiatan yang disyaki skim piramid dan kesalahan yang berkaitan. 

Siasatan oleh pihak berkuasa China masih dijalankan, dan SPF telah menghubungi pihak polis di China untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Berkongsi kepada media Singapura di ibu pejabat MFA di Sherwood Road pada 4 September, Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, berkata Kedutaan Singapura di Beijing dan Konsulat Jeneral di Guangzhou telah melawat kesemua 52 tahanan itu sebanyak tiga kali.

Lawatan tersebut dilakukan bagi memantau keadaan dan kesejahteraan mereka serta menghulurkan bantuan konsular.

Ia termasuk menyampaikan permintaan daripada mereka yang ditahan, menyampaikan mesej daripada anggota keluarga, dan mengendalikan urusan pentadbiran.

Di Singapura, pegawai MFA sedang berhubungan dengan waris terdekat tahanan.

Cik Sim memberitahu pihak media bahawa beliau telah bertemu dengan anggota keluarga sebahagian besar tahanan berkenaan.

“Kami sedang melakukan sebaik mungkin untuk membantu mereka mengharungi masa yang sukar ini.

“Meskipun kami memberikan bantuan konsular kepada rakyat Singapura yang terjejas, saya ingin menegaskan bahawa pemerintah Singapura tidak campur tangan dalam proses kehakiman dan siasatan negara lain, sama seperti kita mengharap pemerintah luar negara menghormati undang-undang dan proses perundangan kita.

“Pemerintah Singapura akan terus memberi perhatian kepada kes ini dan menekankan bahawa proses undang-undang yang adil perlu diberikan kepada warga kita,” kata Cik Sim.

MFA dan SPF tidak memberikan butiran lanjut mengenai kes itu atau status siasatan yang sedang dijalankan.

Tidak jelas sama ada warga China atau warga asing lain turut ditangkap dalam operasi di Guangxi itu.

Lazimnya, mereka yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah di China boleh ditahan sehingga 37 hari sebelum pihak pendakwa raya membuat keputusan sama ada mahu meluluskan penahanan rasmi mereka.

Seterusnya, proses siasatan dan pengumpulan bukti boleh mengambil masa antara dua dengan tujuh bulan.

Pihak pendakwaan kemudian akan meneliti kes berkenaan sebelum ia dibawa ke mahkamah.

Berdasarkan maklumat umum, proses semakan itu boleh mengambil masa antara sebulan dengan beberapa bulan.

Penangkapan rakyat Singapura di Guangxi itu berlaku di tengah-tengah tindakan tegas secara besar-besaran di seluruh negara oleh pihak berkuasa China terhadap kegiatan jualan piramid.

Antara 2021 dengan 2025, China telah menyiasat lebih 200,000 kes skim piramid dan pelanggaran dalam kegiatan jualan langsung, ujar Pentadbiran Negeri bagi Pengawalseliaan Pasaran.

Pentadbiran tersebut pada November 2025, berkata ia akan terus membanteras kegiatan sedemikian secara tegas.

Di bawah undang-undang jenayah China, menganjurkan atau mengetuai kegiatan skim piramid merupakan satu kesalahan.