Ketika jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah mencetuskan pertikaman lidah antara pegawai Indonesia dengan negara jirannya, Singapura dan Malaysia, sebuah lagi negara yang turut terjejas, Timor Leste, sebaliknya mengambil pendekatan lebih berdiam diri.

Pertikaian itu berlaku ketika Indonesia berdepan kritikan yang semakin meningkat berhubung tindakannya menangani kebakaran hutan yang menyebabkan pencemaran udara merentas sempadan.

Bagaimanapun, tidak banyak reaksi terbuka daripada pemerintah Timor Leste meskipun negara itu turut dilanda jerebu tebal.

Selain kenyataan Presiden Timor Leste, Encik José Ramos-Horta, kepada penyiar Britain, BBC, yang diterbitkan pada 21 Oktober, hampir tiada reaksi diplomatik secara terbuka daripada Dili berhubung isu tersebut.

Dalam kenyataan itu, Encik Ramos-Horta. menegaskan bahawa Timor Leste akan “menuntut pihak yang menyebabkan kebakaran tersebut bertanggungjawab” selepas jerebu melanda negaranya pada awal Oktober.

Beliau turut memberi amaran mengenai bahaya jerebu terhadap kesihatan kanak-kanak dan menggesa pemerintah supaya menutup sekolah bagi melindungi pelajar.

Pengarah Direktorat Nasional Kawalan Pencemaran (DNCP), Encik Arlindo Silveira, berkata Timor Leste akan menyediakan laporan mengenai kesan pencemaran jerebu rentas sempadan untuk dikongsi dengan negara anggota Asean.

Menurut agensi berita Timor Leste, Tatoli, pada 20 Oktober, laporan tersebut akan memperincikan kesan jerebu terhadap negara itu.

Namun, selain kenyataan berkenaan, tidak banyak petunjuk bahawa Dili telah mengambil langkah diplomatik yang lebih meluas bagi menyuarakan kebimbangannya.

Encik Ramos-Horta sebelum ini menyifatkan asap daripada kebakaran hutan di selatan Papua, Indonesia, sebagai begitu tebal sehingga “menyelubungi seluruh” negaranya.

Keadaan itu turut disahkan penduduk tempatan, termasuk Cik Maria Jeronimo, yang menguruskan sebuah pusat peranginan di Pulau Atauro.

Pulau tersebut terletak kira-kira 32 kilometer dari ibu kota Dili, jika diukur mengikut jarak garis lurus merentasi laut.

Atauro terkenal dengan perairannya yang jernih dan kepelbagaian hidupan marin, menjadikannya destinasi popular dalam kalangan penyelam serta pencinta pelancongan laut.

Pada hujung minggu, pulau itu biasanya meriah dengan kehadiran pengunjung, terutama ketika pasar minggu yang diadakan setiap Sabtu.

Pusat peranginan di tepi pantainya juga sering menerima tempahan penuh daripada pelancong yang mahu menikmati keindahan alam semula jadi.

Namun, suasana di pulau tersebut berubah apabila jerebu mula menyelubungi kawasan berkenaan.

Menurut Cik Maria, beliau mula menyedari perubahan itu pada 12 Oktober apabila langit kelihatan berbeza daripada biasa.

Menurutnya, matahari kelihatan sangat merah ketika hampir terbenam sehingga pemandangannya menyerupai gerhana.

“Namun, matahari terbit masih boleh dilihat, walaupun warnanya berbeza daripada biasa.

“Lazimnya, ia kelihatan sangat merah atau jingga, tetapi kali ini warnanya tidak sama,” katanya kepada Berita Harian (BH), ketika ditemui di pulau itu pada 18 Oktober.

Dalam keadaan cuaca biasa, Pulau Atauro dapat dilihat dengan jelas dari Dili, begitu juga pemandangan ibu kota itu dari pulau berkenaan.

Bagaimanapun, Cik Maria menambah, jerebu tebal menyebabkan Dili dan kawasan tanah besar sukar dilihat dari Atauro.

Walaupun keadaan itu menjejas pemandangan, beliau berkata sektor pelancongan di pulau tersebut setakat ini tidak menerima kesan besar.

Namun, beliau menerima aduan daripada seorang pelancong Portugal yang menyatakan bahawa jerebu mengganggu pengalamannya ketika bercuti.

“Ia bukan aduan besar. Bagaimanapun, orang datang ke sini untuk menikmati pemandangan dan cuaca. Jadi, apabila pemandangan terlindung, ia tetap menjejas pengalaman mereka,” katanya.

Seorang pelancong Britain, Encik Chris Bradley, yang mengunjungi Atauro bersama isterinya dari Jepun, Cik Mai Yamamoto, pula berkata jerebu tidak banyak menjejas pengalaman percutian mereka.

Pasangan itu mendaki di sepanjang kawasan pantai menuju ke sebuah bukit di pulau tersebut pada 18 Oktober

Encik Bradley mengakui keadaan jerebu semakin pulih, walaupun pemandangan Dili dari Atauro masih terlindung oleh asap.

“Namun, bagi kami, pemandangan bukan perkara paling penting di sini. Saya rasa penduduk di sini lebih penting dan mereka benar-benar hebat. Mereka sangat mesra,” katanya kepada BH.

Di Dili pula, jerebu tebal menyebabkan pemandangan sepanjang pesisir pantai ibu kota itu menjadi kabur.

Dalam keadaan cuaca cerah, patung Cristo Rei setinggi 27 meter, yang terletak di atas sebuah bukit di Tanjung Fatucama, biasanya dapat dilihat dengan jelas dari kawasan pesisir Dili.

Namun, ketika jerebu melanda, mercu tanda terkenal itu sukar dilihat.

Seorang wanita Indonesia, Cik Ruth Frans ‘Susan’ Susana, yang menguruskan sebuah restoran Indonesia popular di pusat bandar Dili, berkata keadaan udara begitu buruk sehingga beliau terpaksa memakai pelitup muka ketika keluar rumah pada minggu kedua Oktober.

Cik Susan, yang sudah menetap di Dili selama 17 tahun, berkata keadaan berjerebu masih dapat dirasakan ketika beliau berjalan menuju ke gereja pada 18 Oktober.

Pada mulanya, beliau menyangka langit yang kelihatan kelabu dan suram menandakan hujan akan turun.

Namun, cuaca ketika itu sebenarnya panas.

“Rupa-rupanya, langit kelihatan kelabu disebabkan jerebu.

“Ketika saya melihat ke arah bukit di belakang bandar, saya langsung tidak dapat melihat bentuknya kerana terlindung sepenuhnya oleh jerebu.

“Biasanya, bukit itu dapat dilihat dengan jelas, malah kami boleh membezakan warna hijau dan coklat pada lerengnya,” katanya kepada BH.

Berbeza dengan Singapura dan Malaysia yang dilanda jerebu akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, pencemaran udara yang menjejas Timor Leste berpunca daripada kebakaran hutan di bahagian barat Pulau Papua, Indonesia.

Kawasan kebakaran itu terletak kira-kira 1,600 kilometer dari Timor Leste, berdasarkan jarak garis lurus.

Direktorat Nasional Meteorologi dan Geofizik (DNMG) Timor Leste dalam buletin rasminya pada 12 Oktober menjelaskan bahawa asap kebakaran dari Papua dibawa ke Dili oleh angin monsun Australia.

Keadaan itu menyebabkan mutu udara di ibu kota tersebut merosot ke paras tidak sihat, dengan bacaan Indeks Mutu Udara (IQA) mencecah 165 antara 6 dengan 12 Oktober.

Dalam buletin susulan pada 14 Oktober, DNMG memberi amaran jerebu terus menyelubungi beberapa kawasan Timor Leste, terutama daerah Lautem, Baucau dan Viqueque di bahagian timur negara itu.

Timor Leste terletak di bahagian timur Pulau Timor, manakala bahagian barat pulau tersebut merupakan sebahagian daripada wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Sementara itu, peta interaktif yang dibangunkan rangkaian pertubuhan bukan pemerintah (NGO) alam sekitar, MapBiomas Indonesia, menunjukkan kebakaran hutan telah memusnahkan kawasan seluas 313,777 hektar (sekitar 4.3 kali ganda saiz Singapura) di bahagian barat Pulau Papua yang berada di bawah pentadbiran Indonesia.

Pulau Papua dikongsi antara Indonesia di bahagian barat dengan Papua New Guinea di bahagian timur.

Menurut data tersebut, keluasan kawasan yang terbakar meningkat dengan pesat sejak Jun, sebelum mencapai paras tertinggi setakat ini pada September.

Wilayah Papua Selatan mencatatkan kawasan kebakaran paling luas, iaitu 255,274 hektar.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Indonesia, Encik Arrmanatha Nasir, berkata Presiden Prabowo Subianto, telah menjadikan usaha menangani kebakaran hutan sebagai keutamaan nasional.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media bersama Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, pada 27 Oktober.

Menurut Encik Arrmanatha, Presiden Prabowo telah mengarahkan semua sumber negara yang tersedia digunakan bagi memadamkan kebakaran, termasuk operasi menggugurkan air dari udara, penggunaan ais kering dan teknologi pengubahsuaian cuaca.

Pemerintah Indonesia juga telah mengerahkan kira-kira 71,000 anggota pasukan darat serta menggerakkan sekitar 51 unit pesawat udara ke wilayah yang diberi keutamaan dalam operasi memadamkan kebakaran.

“Harap maklum bahawa apabila kami melindungi rakyat sendiri, kami juga melindungi negara jiran dan rantau ini. Kami memahami kebimbangan negara jiran kami,” kata Encik Arrmanatha.

Beliau menambah bahawa Indonesia akan terus bekerjasama melalui saluran Asean yang sedia ada, termasuk Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

Menurutnya, Indonesia komited menggunakan segala teknologi yang tersedia bagi menangani kebakaran hutan yang sukar dikawal.

“Kami akan terus menggunakan semua teknologi yang ada untuk memadamkan kebakaran.

“Namun, akhirnya keadaan alam semula jadi akan menentukan sejauh manakah usaha kami berjaya kerana, seperti yang diketahui, cabaran utama sekarang ialah fenomena El Niño yang teruk,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti