Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura perlu lakar inovasi keselamatan, bangun keupayaan baharu tangani ancaman siber
Inovasi berkesan bermula daripada masalah sebenar, berakhir dengan penyelesaian berjaya
S’pura perlu lakar inovasi keselamatan, bangun keupayaan baharu tangani ancaman siber
Singapura perlu melakar inovasi dalam keselamatan siber dengan membangunkan pendekatan serta keupayaan baharu untuk menangani ancaman pada masa hadapan dan bukan sekadar bertindak balas terhadap ancaman tersebut semata-mata.
Menegaskan demikian, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata langkah itu merangkumi usaha menilai cabaran keselamatan siber menjangkau tempoh semasa, dan melabur dalam keupayaan yang mungkin diperlukan Singapura kelak.
Menurutnya, keselamatan kecerdasan buatan (AI) dan kriptografi pascakuantum merupakan dua bidang, yang menyaksikan perkembangan teknologi mewujudkan cabaran baharu yang mungkin tidak dapat ditangani secukupnya oleh penyelesaian sedia ada.
Ketika berucap pada acara Hari Inovasi SiberSG di Pusat Konvensyen Suntec pada 10 November, beliau berkata:
“Pihak yang mempunyai niat jahat menggunakan AI untuk menjadikan serangan siber lebih canggih dan melancarkannya dengan kelajuan serta skala lebih besar.
“Pada masa yang sama, teknologi baharu seperti AI berejen atau agentic AI mewujudkan cabaran keselamatan baharu yang baru mula kami pelajari.”
Cik Rahayu menukil contoh isu penggodaman sistem pembekuan di pasar raya di serata Eropah baru-baru ini yang sekali gus menyebabkan sebahagian besar makanan yang seharusnya dibekukan menjadi rosak dek peningkatan suhu, akibat sistem tersebut digodam.
Oleh demikian, beliau berkata negara ini harus sentiasa membangunkan inovasi, pendekatan dan inovasi baru agar ancaman baru dapat diatasi.
“Sebagai sebuah negara kecil, kita perlu bersikap pragmatik dan terus memanfaatkan idea serta teknologi terbaik dari seluruh dunia.
“Namun, sekiranya penyelesaian sedia ada tidak menangani keperluan keselamatan dan operasi secara memadai, kita harus mempunyai kepakaran serta keupayaan untuk membangunkan penyelesaian sendiri,” ujarnya.
Dari segi usaha pembangunan dan inovasi ini, beliau berkata Pejabat Program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) CyberSG (CRPO) telah memberi dana sekitar $44 juta kepada 23 projek penyelidikan sejak 2023.
CRPO dilancarkan oleh Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) pada Ogos 2023 dan secara dasar merupakan ‘kilang idea’ berhubung keselamatan siber negara.
Cik Rahayu menambah bahawa hal ini adalah satu asas kukuh ke arah pembangunan inovasi, tetapi beliau menggesa agar tahap inovasi ini dibawa ke peringkat seterusnya.
“Matlamat kami bukan sekadar membangunkan lebih banyak teknologi, tetapi untuk membina keupayaan yang akan membantu Singapura memikirkan terlebih dahulu isu yang mungkin timbul, dan menangani cabaran keselamatan siber yang baharu,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut berkata bagi memastikan sesebuah inovasi itu lebih berkesan, ia harus bermula dengan sesuatu masalah yang benar dan membawa kepada penyelesaian yang berhasil.
Ini memerlukan pihak inovator untuk memahami cabaran operasi, kekangan praktikal, dan keperluan sebenar pelanggan.
Malah, ia memerlukan kerjasama lebih erat antara pihak yang mencetuskan inovasi dengan pengguna akhir, supaya penyelesaian yang dibangunkan mengambil kira keperluan operasi sebenar.
Beliau memberi contoh syarikat keselamatan siber tempatan Protos Labs, yang bekerjasama dengan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan sektor awam untuk membangunkan NEXUS.
NEXUS merupakan wadah yang menggabungkan penilaian risiko dan maklumat ancaman siber untuk membantu organisasi mengenal pasti dan mengutamakan risiko siber.
Kerjasama ini, kata Cik Rahayu, memberi gambaran kerjasama yang terjalin dari peringkat awal proses inovasi supaya isu dan penyelesaian sesuai dapat dilakar.
Beliau turut meletakkan harapan agar Singapura menjadi pelantar pelancar atau launchpad bagi syarikat keselamatan siber yang ingin bersaing di peringkat sejagat, memandangkan negara ini dapat menghimpunkan penyelidik, pembangun teknologi dan pengguna.
Ini membolehkan pihak masing-masing “membangunkan, menguji dan mengetengahkan penyelesaian mereka sebelum ia dibawa ke pasaran lebih besar”, tambahnya.
Cik Rahayu berkata: “Kami mahu Singapura menjadi tempat syarikat tempatan boleh membina asas yang kukuh sebelum berkembang ke peringkat antarabangsa, serta tempat yang syarikat antarabangsa boleh bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan bagi membangunkan serta mengesahkan penyelesaian bagi rantau ini.”