Topik diikuti
Pergi ke BHkuGeran baharu bantu penyedia khidmat penting, organisasi siap hadapi ancaman kuantum
Geran baharu bantu penyedia khidmat penting, organisasi siap hadapi ancaman kuantum
Organisasi kini boleh memanfaatkan geran baharu bagi menguji kaedah baharu dalam melindungi sistem masing-masing daripada ancaman komputer kuantum akan datang, yang berupaya memecahkan sistem penyulitan (encryption) bagi menggodam maklumat sensitif dan urus niaga digital hari ini.
Geran Permulaan Selamat-Kuantum atau Quantum-Safe Kickstarter Grant, yang dilancarkan Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura, terbuka kepada semua organisasi dengan keutamaan diberikan kepada pemilik Prasarana Maklumat Penting (CII) seperti sektor perbankan dan kewangan, tenaga serta infokomunikasi.
Geran itu membiayai sehingga 70 peratus kos projek, dengan pihak syarikat menanggung selebihnya iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus.
Sokongan baharu yang jumlah peruntukannya belum didedahkan itu diumumkan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, pada hari kedua Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) pada 14 Oktober.
“Dengan teknologi kuantum, kita sedang mengejar masa untuk menggantikan kriptografi dalam sistem yang rumit... (Perkara ini) menuntut langkah awal,” kata Cik Teo.
Sistem selamat-kuantum menggunakan kaedah kriptografi – iaitu penggunaan kod untuk menukar data supaya hanya boleh dibaca oleh penerima khusus – yang direka untuk menangkis serangan komputer kuantum.
Meskipun masih belum pasti bila komputer kuantum akan cukup berkuasa untuk memecahkan sistem penyulitan yang diguna pakai secara meluas ketika ini, CSA menegaskan bahawa organisasi perlu mula membuat persiapan dari sekarang.
Proses peralihan ini akan mengambil masa kerana kriptografi tersemat merentasi pelbagai aplikasi, rangkaian dan prasarana, yang seringkali melibatkan beberapa vendor teknologi.
“(Setiap organisasi) perlu menilai risiko masing-masing, menentukan keutamaan bagi sistem dan data, serta mengenal pasti bahagian yang mana penyulitan sedia ada boleh dipecahkan.
“Mereka perlu... menguji kaedah penyulitan alternatif dan memindahkan sistem mereka secara berperingkat,” kata Cik Teo, sambil menambah bahawa organisasi lebih besar mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk memindahkan sistem mereka secara selamat.
Sehubungan itu, CSA telah mengeluarkan nasihat baharu pada 14 Oktober bagi menyarankan organisasi yang terdedah kepada ancaman kuantum supaya merangka pelan peralihan menjelang 2027 dan melengkapkan proses tersebut sepenuhnya menjelang 2035, selaras dengan piawaian antarabangsa.
Ini merangkumi organisasi yang menyimpan maklumat sensitif yang harus kekal sulit bagi tempoh beberapa tahun, serta pihak yang menyediakan perkhidmatan seperti komunikasi dan urus niaga digital.
Nasihat baharu itu dikeluarkan selepas CSA menyampaikan panduan kepada pemilik CII pada Jun, yang menetapkan sasaran lebih ketat bagi mereka melengkapkan pemindahan sistem CII menjelang 2031.
Pemilik CII juga wajib menyerahkan pelan peralihan selamat-kuantum rasmi kepada CSA menjelang Mac 2027, serta memastikan sistem baharu yang diperoleh menyokong teknologi selamat-kuantum menjelang Januari 2028.
Panduan baharu itu mengesyorkan organisasi yang mengendalikan maklumat sensitif supaya menilai tahap pendedahan risiko mereka, mengenal pasti sistem yang paling penting, serta berbincang dengan vendor teknologi dan rakan kongsi mengenai huraian selamat-kuantum sedia ada.
Apabila organisasi sudah bersedia untuk menguji kaedah baharu bagi menangani ancaman kuantum, mereka boleh memanfaatkan geran tersebut yang akan menyokong projek perintis sehingga enam bulan, bermula 1 November 2026 hingga 31 Oktober 2027.
Permohonan kini dibuka dan CSA akan menilai sama ada projek yang dikemukakan layak serta mampu memberikan nilai strategik.
Pihak berkuasa mungkin memberi keutamaan kepada permohonan yang menunjukkan impak signifikan terhadap ekosistem keselamatan siber Singapura.
Pihak yang berminat boleh mengemukakan permohonan melalui e-mel ke qsafe-kickstarter@csa.gov.sg.