Singapura memerlukan lagi 3,000 sukarelawan menjelang 2030 untuk menyumbang masa dan tenaga dalam bidang seperti menemani individu yang memerlukan sokongan sosial, membimbing golongan muda serta membantu keluarga.

Keperluan mendapatkan lebih ramai sukarelawan tetap itu timbul sedang Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) memperluas peranan mereka dalam membantu individu dan keluarga.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata pada 23 Oktober bahawa kegiatan sukarelawan kini semakin berkembang, dengan mereka mengambil peranan yang lebih meluas.

Ini termasuk membantu individu dan keluarga mencapai matlamat tertentu, membina hubungan jangka panjang dengan mereka serta akhirnya memimpin sukarelawan lain atau mengendalikan program.

Sebagai contoh, sukarelawan di rumah perlindungan belia yang sebelum ini kebanyakannya berperanan sebagai teman kini boleh mengambil tanggungjawab sebagai mentor.

Mereka akan bekerjasama dengan kakitangan untuk memahami matlamat setiap belia dan memberikan bimbingan berstruktur sepanjang proses pemulihan mereka sehingga kembali ke masyarakat.

Sukarelawan berpengalaman juga akan mempunyai lebih banyak peluang untuk memimpin program, membimbing sukarelawan baharu dan membantu membentuk inisiatif, kata Encik Masagos di majlis Anugerah Sukarelawan dan Rakan Kerjasama MSF 2026 yang diadakan di Paradox Singapore.

Encik Masagos berkata beberapa organisasi telah berjaya menggerakkan sukarelawan pada skala lebih besar.

Lebih 1,100 mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) telah menjadi sukarelawan untuk membantu keluarga ComLink+ melalui satu kursus yang dibangunkan bersama universiti itu dengan MSF, dengan menyumbang lebih 20,000 jam sukarelawan.

Sukarelawan, Cik Mildred Tan, 68 tahun, yang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada majlis tahun ini, telah berkhidmat dengan MSF selama lebih 25 tahun dalam bidang termasuk pembangunan wanita, pengukuhan keluarga dan perlindungan individu yang mudah terjejas.

Beliau mula mengenali kegiatan sukarelawan melalui ibunya, yang membawa anak-anaknya bersama untuk membantu sejak Cik Tan berusia kira-kira 10 tahun.

Pengalaman beliau mencerminkan nilai penglibatan berterusan yang ditekankan Encik Masagos. Beliau berkata usaha sedemikian menunjukkan peralihan ke arah penglibatan sukarelawan untuk tempoh lebih panjang, selain mengambil tanggungjawab lebih besar terhadap individu dan tujuan yang mereka sokong.

“Perubahan yang bermakna memerlukan masa dan jarang berlaku secara lurus tanpa sebarang cabaran,” katanya sambil menambah bahawa hubungan yang dibina atas dasar kepercayaan boleh memberikan kanak-kanak dan keluarga galakan serta kestabilan yang diperlukan untuk mengharungi kemunduran.

Antara inisiatif sukarelawan baharu yang sedang diuji ialah Project Care, yang melibatkan mahasiswa yang sedang mengikuti atau telah menamatkan program kaunseling peringkat sarjana.

Mereka akan memberikan sokongan berasaskan pengetahuan kaunseling kepada keluarga, termasuk membantu keluarga memahami dan mengurus emosi, mendalami keperluan serta tingkah laku anak-anak, dan membina keyakinan dalam aspek keibubapaan serta penjagaan.

Satu lagi inisiatif baharu, Rakan Sokongan Peralihan, akan memadankan sukarelawan dengan kanak-kanak dan golongan muda yang ditempatkan di luar rumah keluarga mereka.

Sukarelawan akan menyediakan kehadiran orang dewasa yang stabil dan dipercayai ketika mereka berpindah antara tempat penjagaan.

Mereka juga akan memberikan sokongan emosi dan kesinambungan penjagaan sepanjang peralihan itu, dengan tujuan membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan persekitaran serta hubungan baharu, di samping menyokong kestabilan penempatan dan usaha penyatuan semula keluarga.

Rangkaian MSFCare telah mula menguji kedua-dua inisiatif itu dan merancang untuk memperluasnya kepada 300 sukarelawan menjelang 2027.

MSF berkata perubahan dalam kegiatan sukarelawan mencerminkan usaha menjadikan sukarelawan sebahagian daripada rangkaian sokongan yang lebih konsisten bagi individu dan keluarga, sambil melengkapi usaha pasukan profesional.

Walaupun kegiatan sukarelawan kini mengambil bentuk yang lebih berstruktur dan khusus, Cik Tan, yang merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata dorongan di sebalik kegiatan itu kekal mudah, iaitu keinginan untuk membawa perubahan yang bermakna.

Mengenang perubahan dalam kegiatan sukarelawan, Cik Tan berkata usaha itu semakin berstruktur sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk melalui syarikat dan organisasi yang mampu menggerakkan kumpulan besar sukarelawan, berbanding merekrut mereka seorang demi seorang.

Namun, beliau menegaskan bahawa kegiatan sukarelawan harus kekal mudah disertai, termasuk bagi mereka yang hanya mampu meluangkan sedikit masa.

“Kegiatan sukarelawan harus bermula dengan keinginan seperti ‘Saya mahu membantu’, dan ia bermula dengan satu tindakan yang mudah,” katanya.

Beliau memberikan contoh seorang wanita yang dikenalinya yang memasak sup untuk jirannya yang baru menjalani pembedahan.

Tindakan kecil itu akhirnya berkembang menjadi satu persahabatan, malah wanita tersebut kemudian menawarkan bantuan untuk membeli barangan dapur bagi jirannya itu setiap kali beliau ke pasar raya.

“Jika saya dapat meluangkan sejam pada hujung minggu, itu bagus. Jika saya hanya dapat meluangkan sejam sebulan, itu juga bagus,” kata Cik Tan.

“Perkara ini seharusnya sesuatu yang anda gembira lakukan dan benar-benar ingin lakukan.”

Beliau berharap kegiatan sukarelawan juga dapat diwariskan dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

Cik Tan mengimbas kembali pengalamannya membantu ibunya mengendalikan gerai minuman di pesta mengumpul dana untuk sebuah badan amal kanak-kanak. Pengalaman itu mendedahkannya kepada kegiatan sukarelawan sejak kecil.

Beliau kemudian menyertai Girls’ Brigade semasa di sekolah dan menjadi guru tuisyen sukarela bagi kanak-kanak di sebuah rumah perlindungan pada setiap Sabtu.

Cik Tan berkata beliau juga berusaha mewariskan nilai yang sama kepada anak lelakinya.

“Semoga anak lelaki saya dapat mewariskan nilai-nilai ini kepada anak-anaknya kelak,” katanya.

Beliau menambah bahawa kegiatan sukarelawan tidak semestinya perlu dihentikan apabila seseorang memasuki peringkat kehidupan yang berbeza.

“Sebagai sukarelawan, anda boleh terus menyumbang dari tahun ke tahun, walaupun selepas berkahwin. Walaupun anda sudah menjadi ibu atau nenek, anda masih boleh terus menyumbang.”

MSF menyampaikan 266 anugerah pada majlis tersebut bagi mengiktiraf sukarelawan, organisasi dan rakan kerjasama dalam sektor khidmat sosial.

Cik Tan merupakan satu-satunya penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti