Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura pertahan pendirian tegas terhadap vape, tolak kritikan NGO asing

Aug 30, 2025 | 9:47 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, menyangkal hujah Gabungan Penyokong Pengurangan Bahaya Tembakau Asia Pasifik (Caphra) yang antara lain mendakwa pendirian tegas Singapura terhadap vape akan antara lain menutup pintu kepada alat yang boleh mengurangkan bahaya bagi perokok dewasa dan menyebabkan penyebaran vape secara terlarang.
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, menyangkal hujah Gabungan Penyokong Pengurangan Bahaya Tembakau Asia Pasifik (Caphra) yang antara lain mendakwa pendirian tegas Singapura terhadap vape akan antara lain menutup pintu kepada alat yang boleh mengurangkan bahaya bagi perokok dewasa dan menyebabkan penyebaran vape secara terlarang. - Foto BM oleh RUBIAH MOHD

Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, telah menyangkal kritikan sebuah badan bukan pemerintah yang berpangkalan di New Zealand, Gabungan Penyokong Pengurangan Bahaya Tembakau Asia Pasifik (Caphra), terhadap pendirian tegas Singapura berhubung vape.

Keutamaan pemerintah adalah keselamatan dan kesihatan warga Singapura, kata Encik Shanmugam ketika ditemui media di sisi sebuah acara masyarakat di kawasan undinya di Chong Pang pada 30 Ogos.

Sementara itu, pihak yang menyokong vape mempunyai kepentingan mereka sendiri.

Dalam kenyataan Caphra, penyelaras eksekutif badan itu, Cik Nancy Loucas, mengkritik pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan 2025 bahawa Singapura akan menganggap vape sebagai masalah dadah.

Beliau berkata langkah itu akan antara lain menutup pintu kepada alat yang boleh mengurangkan bahaya bagi perokok dewasa dan menyebabkan penyebaran vape secara terlarang.

Tambahnya, pengambilan nikotin melalui vape harus dibenarkan.

Menolak hujah itu, Encik Shanmugam yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara menarik perhatian bahawa vape boleh menyampaikan jumlah nikotin yang sama dengan empat paket rokok, selain boleh mengandungi bahan lain, termasuk bahan berbahaya seperti etomidate.

“Bolehkah anda katakan ia baik untuk anda?” ujarnya.

Tambahnya, Cik Loucas sering tampil berucap di Forum Tembakau dan Nikotin Sedunia (GTNF), sebuah persidangan tahunan yang membincangkan masa depan industri tembakau dan nikotin.

Encik Shanmugam berkata forum itu juga disokong oleh syarikat tembakau utama seperti Philip Morris, British American Tobacco, Imperial Brands dan JTI.

“Kesimpulan saya ialah mereka merupakan proksi, dibayar oleh industri tembakau, yang ingin menggalak pengambilan nikotin menerusi vape.

“Mereka tidak peduli jika ada bahan lain boleh diambil menggunakan vape juga,” kata beliau.

Tambahnya, langkah seperti melarang penggunaan vape akan menjejas perniagaan mereka.

Encik Shanmugam berkata hujah seperti yang dibuat Caphra merupakan hujah lama yang sering digunakan untuk menggesa bagi membenarkan penggunaan dadah.

Namun, pendekatan tegas Singapura terhadap dadah telah memastikan keselamatan negara, dengan kadar jenayah yang lebih rendah dan golongan belia dilindungi daripada gejala dadah.

Pada 28 Ogos, Singapura mengumumkan pelbagai langkah yang bertujuan membendung penyalahgunaan vape dan etomidate daripada berleluasa di sini.

Antara lain, pengimport etomidate boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan disebat hingga 15 kali mulai 1 September.

Penyalah guna etomidate kali pertama berusia bawah 18 tahun pula akan didenda $500, sementara yang lebih dewasa akan didenda $700.

Mereka juga perlu melalui program pemulihan mandatori hingga enam bulan.

Langkah itu diumumkan dalam satu sidang media yang diterajui tiga menteri iaitu Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee dan Encik Shanmugam.

Menarik perhatian langkah Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mempertingkat tahap penguatkuasaan di pusat pemeriksaan, Encik Shanmugam berkata pegawai ICA bersama agensi lain akan berusaha dengan baik untuk memutuskan aliran vape di sempadan negara di samping langkah penguatkuasaan lain di dalam negara.

Tambahnya, pihak berkuasa juga akan memanfaatkan teknologi dalam usaha ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg