Sebagai langkah mencegah kemasukan mpox dari luar negara, Singapura telah memulakan pemeriksaan suhu dan visual di kededua pusat pemeriksaan udara dan laut sejak 23 Ogos.
Walaupun tiada penerbangan langsung antara Singapura dengan negara yang dilanda wabak mpox setakat ini, Kementerian Kesihatan (MOH) bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah menyediakan pemeriksaan suhu dan visual di lapangan terbang Changi dan Seletar ke atas pelancong dan kru yang tiba dalam penerbangan dari tempat yang mungkin terdedah kepada wabak mpox Clade I.
Dalam satu kenyataan pada 4 September, MOH berkata langkah saringan yang sama juga telah dilaksanakan di pusat pemeriksaan laut untuk anak kapal dan penumpang yang tiba dengan kapal dari kawasan yang dilanda mpox.
Nasihat kesihatan telah disediakan di pusat pemeriksaan udara supaya pelancong boleh mengambil langkah berjaga-jaga peribadi yang diperlukan untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti.
Pelancong dinasihatkan supaya mematuhi nasihat tersebut terutama jika mereka dalam perjalanan ke dan dari negara yang terjejas, tambah MOH.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata dalam satu sidang media pada 4 September bahawa semua pelancong dikehendaki melaporkan simptom berkaitan mpox seperti demam atau ruam dan sejarah perjalanan melalui Kad Ketibaan Singapura (SGAC).
Mereka yang mengalami demam, ruam dan/atau simptom yang serasi dengan mpox akan dinilai oleh doktor di sempadan, dan seterusnya dirujuk ke hospital untuk penilaian dan ujian lanjut, jika perlu.
Dalam pada itu, Encik Ong menambah bahawa MOH sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) untuk menyediakan pelan kontingensi sejak pandemik Covid-19.
“Sekolah-sekolah mempunyai protokol sedia ada yang cukup berkesan untuk menangani wabak seperti tangan, kaki dan penyakit mulut, dan ia adalah relevan dalam menentang mpox Clade I. Ini termasuk memastikan amalan kebersihan yang baik di kalangan pelajar dan menyaring mereka untuk simptom,” ujar beliau.
MOH bersama Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) juga sedang menjalankan pengawasan air sisa di 120 dormitori pekerja asing dan Pusat Suai Tugas.
Sekiranya kes mpox dikesan, terdapat protokol untuk pengasingan, pengangkutan ke hospital bagi kes yang disyaki untuk menjalani ujian dan penilaian, serta langkah-langkah pembendungan untuk menyokong pekerja dalam pemulihan mereka dan mencegah sebarang penularan selanjutnya di dalam dormitori.
Encik Ong turut menjelaskan bahawa mereka yang sihat tidak perlu memakai pelitup.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat bukti ketara jangkitan pernafasan dari luar isi rumah seperti kawasan awam, maka kita perlu menilai semula dasar ini.
“Satu langkah yang boleh kita pertimbangkan kemudian ialah keperluan memakai pelitup di dalam pengangkutan awam atau di dalam ruang yang sesak,” kata Encik Ong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg