Mungkinkah satu lagi gempa bumi bakal berlaku? Mungkinkah satu lagi tsunami akan melanda?
Itulah antara persoalan yang berlegar dalam fikiran mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, ketika beliau memasuki Aceh, Indonesia, susulan berlakunya gempa bumi yang mencetuskan tsunami pada 26 Disember 2004.
Encik Tan yang ketika itu Komander Pasukan Sokongan Bantuan Kemanusiaan, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) berpangkat Kolonel, sukar membayangkan kebimbangan yang turut dirasakan anggota pasukannya.
“Ia merupakan malam Tahun Baru (pasukan dikerah beberapa hari susulan tragedi) dan semua orang sedang bersiap sedia untuk menyambutnya bersama anggota keluarga tersayang dan tiba-tiba kami dikerah ke sebuah kawasan yang amat asing buat kami.
“Sebabnya kami tidak mempunyai banyak gambaran apakah yang sedang berlaku di sana pada masa itu. Adakah akan berlaku satu lagi gempa bumi? Adakah akan berlaku lagi satu tsunami?
“Kami juga memasuki zon yang sedang berhadapan dengan perang (konflik dalaman melibatkan Gerakan Aceh Merdeka atau GAM) pada masa itu.
“Dan sukar saya bayangkan kebimbangan yang dirasakan rakan pasukan saya ketika itu,” singkap Encik Tan semasa ditemui Berita Harian (BH), sempena laporan khas memperingati dua dekad bencana tsunami.
Namun, di tengah-tengah kebimbangan itu, Encik Tan berkata beliau dan pasukan askar pimpinannya tetap bersemangat membantu sedaya mungkin.
Ini didorong oleh kesedaran bahawa sedang mereka mempunyai keluarga yang menantikan kepulangan mereka, perkara yang sama tidak dapat dinikmati puluhan ribu penduduk di Aceh.
Di Aceh, dianggarkan sekitar 130,000 nyawa terkorban manakala sekitar 38,000 lagi hilang dan tidak dapat dikesan akibat bencana tsunami disebabkan gempa dasar laut Sumatera-Andaman berukuran antara 9.1 dengan 9.3 di skala Richter pada 26 Disember 2004.
Encik Tan berkata adalah penting untuk pasukannya mendekati penduduk Aceh dengan penuh ihsan dan melakukan lebih daripada yang perlu.
“Bagi saya, kalau kami dapat bawakan perubahan walau sekecil mana pun dalam kehidupan seseorang yang kami bantu, ia adalah sesuatu yang amat bermakna,” ujarnya.
Encik Tan menambah, sedang pasukan SAF dikerah untuk membantu Aceh, beliau prihatin untuk menghormati pihak berkuasa Indonesia dan mangsa yang dibantu.
“Kami tidak mempunyai garis panduan mengenai apakah yang perlu kami lakukan.
“Ada kumpulan berbeza yang turut ke Aceh untuk membantu dan memberitahu kami serta rakan Indonesia kami mengenai apakah yang perlu dilakukan dan sebagainya.
“Singapura mengambil pendekatan berbeza. Kami bertanya kepada rakan Indonesia, apakah yang mereka perlukan? Bagaimana kami boleh bantu? Bagaimana kami dapat bekerjasama untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang memerlukan,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg