Segala-galanya berlaku begitu cepat.
“Apabila saya tersedar, saya berada di atas bumbung bersama banduan yang bebas apabila gelombang raksasa meruntuhkan penjara di mana dia berada.”
Demikian singkap Encik Muhammad Iqbal, sambil mengingati lelaki separuh abad yang lembut hati dan penyabar, apabila beliau tersedar setelah lemas seketika, ditenggelami ombak tsunami pada 26 Disember 2004.
Ketika ditanya bagaimana beliau masih mengingati hari itu dengan begitu jelas sekali meskipun 20 tahun telah berlalu, beliau berkata:
“Tragedi ini merupakan satu trauma bagi saya.
“Saya berusia tiga tahun sahaja dan belum lagi matang, tetapi saya telah melihat dan mengalami situasi yang sangat seram.
“Saya hampir mati dan saya melihat ramai orang yang mati.
“Jadi, imej ini tetap dalam fikiran saya dan juga bunyi seperti ombak yang kuat yang mengingatkan saya.”
Meskipun tidak lagi mudah terganggu seperti dahulu, Encik Iqbal, 23 tahun, tidak dapat menahan sebak di dada mengenangkan keluarga kandungnya yang hanyut ditelan badai.
Ibu, bapa dan kakaknya yang berusia tujuh tahun ketika itu – kesemuanya terkorban.
Titisan air mata jatuh berguguran mengingati perasaan sayu dan sunyi apabila beliau tersedar menyusuli tragedi dan mendapati dirinya keseorangan dengan kawasan sekeliling yang telah ranap dan rata.
Dalam wawancara studio di SPH Media di Toa Payoh North pada 5 Disember, Encik Iqbal, yang kini bertugas sebagai jurutera sistem, berkongsi dengan Berita Harian (BH) bagaimana beliau diselamatkan dan diberikan peluang kedua untuk menjalani kehidupan baru di Singapura.
Menurut Encik Iqbal, beliau ditemui oleh ibu saudaranya – yang merupakan adik ayahnya – melalui satu laporan akhbar di Aceh.
Ibu saudaranya yang diberi gelaran ‘ibu’, berasal dari Aceh dan menetap di Singapura setelah berumah tangga.
Oleh kerana segala surat penting seperti surat kelahiran dan sebagainya hilang, ia telah mengambil masa tiga bulan untuk mendapatkan surat keterangan baru yang membolehkan dirinya dibawa dan dijaga secara sah di Singapura.
“Pertama kali saya jumpa mak cik saya, saya agak terkejut. Siapa perempuan ini? Kenapa dia menangis di sebelah saya?
“Saya tidak kenal perempuan ini. Saya tidak mahu dia. Saya mahu mak saya. Tapi mak saya sudah pun meninggal.
“Selepas beberapa lama berbual, berkawan dan bermain dengan mak cik saya, barulah saya faham yang dia ini mak cik saya dari Singapura, iaitu adik kepada bapa saya,” kenang Encik Iqbal.
Apabila pertama kali menjejakkan kaki di Kota Singa pada 23 Mac 2005, Encik Iqbal menceritakan bagaimana derianya terjejas.
Beliau tidak dapat melupakan malam yang bermandikan cahaya, sesuatu pengalaman baru kerana “waktu malam di Singapura sangat terang, seolah-olah tidak pernah tidur. Manakala di kampung, waktu malam selalu gelap, hanya ada lampu di rumah”.
Malah, bau teksi membuatnya rasa mual di samping kedinginan hawa dingin. Ia merupakan satu kejutan budaya bagi dirinya.
Usaha Encik Iqbal menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di kota yang tidak dikenali bukanlah mudah.
Namun beliau dapat melakukannya berkat sokongan dan kasih sayang tidak putus-putus oleh keluarganya – mak cik, pak cik dan kakak saudara – yang masih menjaganya sehingga ke hari ini.
Beliau dapat rasakan kasih sayang ibu saudaranya yang lebih tegas dan pak ciknya, yang lemah lembut dan dipanggil ‘ayah’.
“Saya lebih manja dengan ‘ayah’ saya sebab dia lemah lembut.
“Jadi, tentang kasih sayang ini, boleh dikatakan cukup seimbang. Saya ada ‘tough love’ dan ‘soft love,” ujar Encik Iqbal.
Malangnya ‘ayah’ meninggal dunia akibat barah pada 1 Disember 2022.
“Apabila tiba Disember, perasaan sedih, rindu dan takut meningkat.
“Saya ada fikiran negatif seakan-akan sesuatu buruk akan jadi dan fikiran saya ni menjadi kenyataan pada dua tahun lalu sebab pak cik saya meninggal dunia pada 1 Disember.
“Saya harus melawan fikiran negatif ini, seperti layak tak saya meraikan hari jadi, sebab terlalu banyak benda yang sedih berlaku pada Disember.
“Syukur alhamdulillah, saya mempunyai kakak saudara yang selalu suka ‘kecohkan’ hidup saya dan dia suka buat kejutan hari jadi dan sebagainya.
“Kerana kakak saudara saya, perasaan sedih setiap Disember berkurangan,” kongsinya.
“
Apabila tiba Disember, perasaan sedih, rindu dan takut meningkat. Saya ada fikiran negatif seakan-akan sesuatu buruk akan jadi dan fikiran saya ni menjadi kenyataan pada dua tahun lalu sebab pak cik saya meninggal dunia pada 1 Disember. Saya harus melawan fikiran negatif ini, seperti layak tak saya meraikan hari jadi, sebab terlalu banyak benda yang sedih berlaku pada Disember.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg