Singapura menyambut kedatangan tahun baru 2026 dengan penuh gilang-gemilang, menutup tirai ulang tahun ke-60 negara itu dengan harapan bagi masa depan yang lebih cerah.
Tatkala jam berdetik tepat 12 tengah malam, orang ramai yang membanjiri kawasan pesisiran Marina Bay dan Kallang terpaku menyaksikan acara kemuncak pertunjukan bunga api yang menerangi langit.
Di The Kallang - nama baru bagi Hab Sukan Singapura - suasana dimeriahkan dengan konsert kumpulan K-pop Super Junior serta pertunjukan bunga api selama 35 minit yang menjadi tumpuan ramai.
Sebelum itu, pada 8 malam, polis menutup Jambatan Jubilee, kawasan pesisiran Fullerton dan Taman Merlion susulan jumlah pengunjung yang terlalu ramai.
Kawasan pesisiran Esplanade, Marina Bay Sands dan Jambatan Helix turut ditutup menjelang 10.40 malam, manakala Stadium Riverside Walk dan Pusat Sukan Air ditutup sekitar 11.10 malam, lapor The Straits Times.
Sementara itu, mereka yang memilih untuk meraikan tahun baru di estet kejiranan masing-masing terpesona dengan sambutan sepanjang malam di Boon Lay, Keat Hong, Marsiling, Nee Soon, Punggol, Tampines dan Woodlands.
Detik tahun baru turut diraikan di lima pusat rekreasi pekerja migran dan lebih 10 asrama, diserikan dengan persembahan langsung, gerai makanan dan permainan karnival.
Tujuh sambutan di estet kejiranan anjuran Persatuan Rakyat (PA) itu menampilkan kegiatan unik, seperti pesta tanpa alkohol di Woodlands Waterfront dan pertunjukan api di One Punggol.
Seramai 8,500 pengunjung memeriahkan sambutan yang diadakan buat julung kali di Woodlands Waterfront.
Mereka dihiburkan dengan persembahan DJ yang bertenaga serta juadah ringan seperti aiskrim, ‘hotdog’, mi goreng dan teh tarik.
Di hab masyarakat One Punggol, parti bermula awal sebelum matahari terbenam, dengan aktiviti melukis karikatur, persembahan masyarakat dan permainan tembak buih ‘foam blaster tag’.
Sebilangan pengunjung turut berkumpul di laluan larian bersebelahan padang terbuka untuk menyaksikan acara utama malam itu, iaitu pertunjukan 200 dron dan bunga api.
Pada 11.45 malam, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, hadir di pentas untuk menghitung detik tengah malam bersama penduduk.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau berkata meskipun 2025 merupakan tahun yang mencabar, rakyat Singapura telah berganding bahu untuk memastikan negara terus maju.
Walaupun menjangkakan 2026 turut bakal dipenuhi cabaran dan ketidaktentuan, Encik Gan melahirkan keyakinan ia akan menjadi tahun yang baik selagi rakyat terus bekerjasama.
Tepat tengah malam, langit Punggol diserikan dengan pertunjukan bunga api berwarna-warni selama hampir lapan minit, berserta persembahan api, sekali gus melengkapkan kemeriahan sambutan tahun baru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg