Singapura mencatat pencapaian terbaiknya dalam sejarah penyertaan di Pertandingan WorldSkills dengan meraih 27 pingat di pertandingan tahun ini di Shanghai, China, dari 22 hingga 27 September.

Pertandingan WorldSkills ke-48 itu, yang merupakan pertandingan kemahiran terbesar di dunia, menghimpunkan lebih 1,400 peserta dari lebih 70 negara dan wilayah untuk bertanding dalam 64 bidang kemahiran.

Pertandingan WorldSkills Singapura yang diadakan setiap dua tahun pula menyediakan wadah bagi golongan muda menunjukkan kebolehan mereka, meningkatkan penguasaan kemahiran serta menguji keupayaan mereka berdasarkan piawaian kecemerlangan yang tinggi.

Antara penerima pingat ialah mahasiswi di Sekolah Seni, Reka Bentuk dan Media di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Nur Insyirah Hanna Nor Azhar, 20 tahun, yang meraih pingat gangsa bagi bidang Seni Permainan Digital Tiga Dimensi (3D).

Kata bekas pelajar Politeknik Nanyang (NYP) itu kepada Berita Harian (BH), semasa di politeknik, komponen dalam proses menghasilkan permainan 3D biasanya dibahagikan mengikut modul dan setiap tugasan mengambil masa sekitar lapan minggu.

Dalam Pertandingan WorldSkills di Shanghai yang menghimpunkan lebih 1,400 peserta dari lebih 70 negara dan wilayah untuk bertanding dalam 64 bidang kemahiran, bekas pelajar Politeknik Nanyang, Cik Nur Insyirah Hanna Nor Azhar, membuktikan penguasaannya dalam bidang tersebut dengan meraih pingat gangsa.
Dalam Pertandingan WorldSkills di Shanghai yang menghimpunkan lebih 1,400 peserta dari lebih 70 negara dan wilayah untuk bertanding dalam 64 bidang kemahiran, bekas pelajar Politeknik Nanyang, Cik Nur Insyirah Hanna Nor Azhar, membuktikan penguasaannya dalam bidang tersebut dengan meraih pingat gangsa. - Foto WorldSkills Singapore

Namun, di pertandingan WorldSkills itu, beliau perlu menggabungkan pelbagai komponen tersebut dan menyiapkannya dalam hanya empat hari.

“Pengalaman ini mengajar saya supaya lebih sabar dan belajar untuk bergerak ke hadapan. Dulu, kalau ada sesuatu yang tidak kena, saya akan meluangkan banyak masa memikirkannya. Tetapi dalam pertandingan ini, saya perlu belajar untuk tidak terlalu memikirkan apa yang sudah berlalu dan terus fokus kepada perkara yang seterusnya,” katanya.

Tiga lagi pelajar Politeknik Republik pula menerima Pingat Kecemerlangan, anugerah yang diberikan kepada peserta yang mencapai tahap kecemerlangan tinggi dengan memperoleh sekurang-kurangnya 700 mata, tetapi tidak memenangi pingat emas, perak atau gangsa.

Mereka ialah Cik Nur Fatimah Khur Sheed Ahmad Shah, 21 tahun, bagi bidang Pengurusan Kaunter Hotel (Hotel Reception), Encik Arfan Amirun Arfiee, 21 tahun, bagi bidang Teknologi Kenderaan Rel dan Encik Shafriel Nur Iman Shammuain, 18 tahun, bagi bidang Sistem Pesawat Tanpa Pemandu.

Kedua-dua bidang Teknologi Kenderaan Rel dan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu merupakan kemahiran baharu yang diperkenalkan dalam Pertandingan WorldSkills tahun ini.

Singapura juga meraih pingat pertamanya dalam bidang Pembinaan Digital sejak mula menyertai bidang tersebut di Pertandingan WorldSkills Edisi Khas pada 2022.

Secara keseluruhan, kontinjen Singapura meraih empat pingat perak, empat pingat gangsa dan 19 Pingat Kecemerlangan dalam pertandingan kemahiran terbesar di dunia itu.

Pencapaian tersebut termasuk anugerah dalam ketiga-tiga bidang kemahiran yang disertai Singapura buat kali pertama tahun ini, iaitu Teknologi Kenderaan Rel, Pengujian Perisian dan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu.

Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Negara, Dr Syed Harun Alhabsyi, berada di Shanghai bagi menghadiri Majlis Pembukaan serta memberikan sokongan kepada kontinjen Singapura.

Pengerusi Majlis WorldSkills Singapura merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITE, Encik Peter Lam, berkata dalam satu kenyataan media bahawa para peserta Singapura telah menunjukkan ketabahan dan kegigihan dalam memenuhi piawaian tinggi yang ditetapkan dalam pertandingan itu.

“Kami amat bangga dengan pencapaian mereka. Yang paling penting, mereka telah menunjukkan apa yang boleh dicapai golongan muda apabila mereka berusaha untuk memberikan yang terbaik.

“Kami berharap pencapaian mereka dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai belia Singapura untuk mencabar diri dan meneroka perkara yang boleh mereka capai melalui kemahiran,” katanya.